HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 September 2021

Ulangtahun ke-5 penubuhan: Wan Saiful ingatkan Bersatu lahir lawan kleptokrat

KHAIRULANUAR YAHAYA

Wan Saiful berkata, pemimpin parti itu telah diperangi kerana melawan kleptokrat.

“Kita juga terbukti tidak berkompromi dengan tekanan kleptokrat. Kita ini parti yang telah terbukti istiqamah dan tidak gentar bercakap yang benar walau apa pun risiko.

“Anak muda, golongan profesional, dan rakyat semua peringkat yang mahu menaikkan pemimpin yang bersih, inilah wadah yang perlu disertai.

“Kitalah yang boleh menaikkan lapisan baru dengan agenda yang tulus, baik untuk negara mahupun untuk parti,” kata Wan Saiful.

Beliau juga berkata, Bersatu telah ditubuhkan lima tahun lalu dengan semangat kental untuk merubah negara.

Parti itu dilahirkan bagi menghapuskan bencana rasuah dan kleptokrasi yang disifatkannya begitu teruk.

“Sejak itu, pelbagai rintangan telah dilalui. Bermula dengan kesukaran mendaftarkan parti.

“Selepas diluluskan, diancam pula untuk digantung pendaftarannya. Mengambil risiko bertanding puluhan kerusi dalam PRU14 tetapi menang hanya belasan.

“Terpaksa menjaga amanah kuasa dalam keadaan parti-parti seangkatan mempunyai keutamaan yang amat berbeza,” kata Wan Saiful.

Tambah beliau, Bersatu juga telah mengambil risiko untuk keluar daripada gabungan Pakatan Harapan demi mengembalikan agenda bangsa dan agama.

Akibatnya, Bersatu telah berpecah dan hilang tokoh-tokoh awal dan terkini hilang kemuncak kuasa.

“Semuanya diharungi dengan tabah. Keutamaan paling tinggi kekal sama. Iaitu memperjuangkan tadbir urus yang bersih dan telus, menjaga kebajikan rakyat, dan membina ekonomi terbuka berteraskan sistem pasaran, pastinya sambil meletakkan agenda bangsa dan agama paling atas.

“Kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman, sentiasa menjadi agenda yang dipertahan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Wan Saiful yakin, sekiranya Bersatu membulatkan tekad, memberanikan diri, dan memperjelas tawaran kepada rakyat, parti itu bukan sahaja boleh berbangga kerana telah mencapai usia 5 tahun malahan mereka boleh yakin akan terus memimpin di tahun-tahun akan datang.-SM

Tiada ulasan: