HALAMAN SANTAI

Selasa, 14 September 2021

Undang-undang antilompat parti P Pinang dah cukup bagus, kata wakil rakyat

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said berkata, pilihan 
raya semula membolehkan pengundi menarik balik mandat yang diberikan 
kepada wakil rakyat jika mereka bertukar parti.

GEORGE TOWN: Ahli politik dari Pulau Pinang berkata, walaupun mereka mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan pilihan raya semula, undang-undang antilompat parti di negeri berkenaan sudah “cukup bagus” untuk mencegah wakil rakyat daripada berbuat demikian.

Ini susulan kenyataan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said bahawa beliau akan menyerahkan notis usul kepada Speaker Azizan Harun untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen, yang akan mempertanggungjawabkan Ahli Parlimen atas tindakan melompat parti.

Ahli politik berkenaan berkata, walaupun cadangan itu bagus untuk memastikan kestabilan dalam jangka panjang, Pulau Pinang sudah mempunyai undang-undang antilompat parti sendiri.

Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang Sim Tze Tzin berkata, pilihan raya semula boleh menjadi “serabut” dan “mimpi buruk logistik”. Katanya, ia akan mengakibatkan ketidaktentuan dalam politik buat masa yang lama.

“Pilihan raya semula membabitkan terlalu banyak tenaga kerja untuk menjalankan kempen tandatangan, ambil terlalu banyak masa. Ia juga mengganggu tugas penggubal undang-undang,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu kepada FMT.

“Bahkan di negara-negara paling maju, pilihan raya semula menimbulkan lebih banyak masalah. Tetapi hakikatnya di negara ini, kita belum bersedia.”

Katanya, undang-undang antilompat parti negeri itu sudah berfungsi dalam mencegah wakil rakyat daripada beralih ke parti lain kerana ia akan mengakibatkan kerusi mereka dikosongkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lee Khai Loon juga berpandangan sama.

Tanpa undang-undang seperti itu katanya, pilihan raya semula sangat penting bagi demokrasi dan membolehkan pengundi mempertanggungjawabkan Ahli Parlimen atau ADUN mereka.

Exco negeri Zairil Khir Johari berkata, walaupun pilihan raya semula idea yang bagus, “undang-undang antilompat parti sudah wujud”.

“Wujud lebih banyak kebimbangan mengenai ketidakstabilan jika tindakan melompat parti tidak dibendung,” katanya.

ADUN Perak Leong Cheok Keng berkata, undang-undang pilihan raya semula di peringkat negeri boleh menyelesaikan isu wakil rakyat yang tidak menunjukkan prestasi baik atau yang melompat parti ke baharu di pertengahan penggal.

“Bagaimanapun harus diperuntukkan dengan jelas dalam undang-undang yang diusulkan itu kriteria dan keadaan yang akan mencetuskan pilihan raya semula,” wakil rakyat bebas itu.

Ketua Pembangkang Perak Abdul Aziz Bari berkata, walaupun bertukar parti dibenarkan dalam sistem Parlimen Westminster, pilihan raya semula akan menjadi jalan yang baik bagi pengundi untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap wakil rakyat mereka.

Pemimpin DAP itu berkata, dengan kemajuan teknologi, referendum untuk pemilihan wakil boleh dilakukan secara dalam talian.

Dalam pengumumannya baru-baru ini, Azalina berkata, salah satu cara untuk mencegah wakil rakyat daripada berpaling tadah adalah dengan mengadakan pilihan raya semula berdasarkan undang-undang antilompat parti yang dicadangkan.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, pilihan raya semula akan membolehkan pengundi menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat jika mereka bertukar parti.

Pilihan raya dapat diadakan di kawasan-kawasan yang terbabit agar rakyat dapat memilih wakil baharu jika mereka mahu.

Bekas Ahli Parlimen, Shahrir Samad turut menyokong seruan Azalina dengan berkata, DUN boleh menggubal undang-undang berkaitan pilihan raya semula.

Katanya, ini akan membenarkan pengundi memecat Ahli Parlimen, selain mengingatkan bahawa kerusi itu bukan hak milik tetap atau boleh digunakan untuk tawar-menawar.

Tiada ulasan: