HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 September 2008

Abdullah minta kerajaan Sabah percepat laksana projek pembangunan

BERNAMA


KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan Sabah mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan yang diumumkan dalam Bajet 2009.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan semua projek pembangunan itu berjalan lancar, yang akhirnya kebaikan serta faedahnya akan dinikmati rakyat.

"Kita mempunyai perancangan projek pembangunan yang baik tetapi pelaksanaannya juga penting dan saya berharap bajet pembangunan (2009) akan membantu untuk memajukan lagi negeri Sabah," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di sini malam ini.

Majlis dianjurkan oleh pejabat setiausaha kerajaan persekutuan Sabah.

Abdullah turut mengingatkan kerajaan negeri supaya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan prihatin dengan kehendak serta keperluan mereka, sekaligus menjayakan misi pembangunan negara iaitu Wawasan 2020.

Beliau berkata selain Kota Kinabalu, beliau juga akan melawat kawasan lain di Sabah dalam masa terdekat bagi memantau sendiri keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat.

"Saya mahu tengok sama ada terdapat tempat yang mana program pembangunan tidak dilaksanakan sebab kita mempunyai perancangan yang baik dan kita telah menyediakan peruntukan yang besar untuk memastikan program pembangunan beroleh kejayaan," katanya.

Abdullah berkata satu daripada tumpuan bajet 2009 ialah pembangunan modal insan yang berkualiti di negara ini.

"Kita mahu melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti untuk memajukan negara kita dan ini boleh dilakukan dengan menambahbaik persekitaran dan memberikan latihan yang meningkatkan kemampuan mereka (modal insan)," katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga memberi perhatian kepada usaha untuk memajukan industri kecil dan sederhana.

Ini termasuk memberikan kemudahan kewangan dan peluang latihan bagi menambah keupayaan dan meningkatkan produktiviti, katanya.

"Kita mahu ekonomi kita di tahap yang kukuh walaupun peratusan pertumbuhan tidak tinggi disebabkan kenaikan harga barangan dan bahan api, kita hanya mampu mencapai tahap "moderate"," katanya

Tiada ulasan: