Ruhanie Ahmad
Tumpuan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada ketika ini adalah “untuk memastikan kestabilan politik dipertahankan supaya kerajaan dapat memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan segala masalah rakyat.”
Abdullah juga berkata bahawa “maklum balas yang diterimanya mendapati rakyat sudah bosan dengan cerita-cerita politik yang tidak pernah selesai.”
Abdullah dipetik oleh Utusan Malaysia 12 September 2008, sebagai berkata seperti di atas sewaktu beliau membuat kenyataan bahawa pelan peralihan kuasa pucuk pimpinan tertinggi negara yang dipersetujui Kabinet dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jun 2010 adalah muktamad dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
Kenyataan Abdullah mengenai peralihan kuasa terbukti disanggah oleh banyak pembesar UMNO, termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan lain-lainnya. Kenyataan itu juga dipertikaikan oleh warga UMNO di merata negara.
Tetapi bagaimana dengan kenyataan Abdullah bahawa beliau kini mahu “memastikan kestabilan politik dipertahankan”?
Adakah Malaysia benar-benar mempunyai kestabilan politik pada ketika ini? Tidakkah politik Malaysia sentiasa berkocak sejak PRU 12? Bukankah kepimpinan Abdullah sendiri yang jadi punca utama kepada keadaan ini?
Kalau begitu, kestabilan politik apakah yang hendak dipertahankan oleh Abdullah pada hari ini? Insafkah Abdullah bahawa melarang warga UMNO dan rakyat Malaysia daripada mempertikaikan soal peralihan kuasa adalah tindakan mempertahankan keadaan politik Malaysia yang tidak stabil?
Dan, insafkah Abdullah bahawa kenyataan-kenyataan mutakhir yang mendesak supaya soal peralihan kuasa ini diserahkan kepada warga siasah akar umbi, adalah usaha untuk menstabilkan politik negara?
Dalam kenyataannya semalam, Abdullah juga menegaskan bahawa “maklum balas yang diterimanya mendapati rakyat sudah bosan dengan cerita-cerita politik yang tidak pernah selesai.”
Soalnya, apakah “cerita-cerita politik yang tidak pernah selesai” pada ketika ini? Benarkah soal kepimpinan Abdullah yang sudah tidak diyakini rakyat jelata merupakan satu daripada “cerita-cerita politik” tersebut?
Benarkah soal peralihan kuasa juga satu lagi “cerita-cerita politik” berkenaan? Benarkah rakyat sudah bosan dengan cerita-cerita politik” ini atau mereka mahukan “cerita-cerita politik” ini diselesaikan dengan perletakan jawatan Abdullah sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO dengan seberapa segera?
Semoga Abdullah tergugah dari mimpinya. Semoga Abdullah mampu mentafsir realiti semasa politik Malaysia dengan bijaksana. Semoga Abdullah faham dan hormati aspirasi rakyat yang mahukan perubahan pucuk pimpinan tertinggi negara demi kestabilan politik, kesejahteraan hidup dan kemakmuran tanahair! – Ruhanie Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan