HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 September 2008

BN mula bermesyuarat, Ahmad jumpa PM pertahan kenyataan

Oleh G. MANIMARAN
(Dikemas kini)


PETALING JAYA: Pertemuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang dijangka 'lebih panas' dengan pelbagai isu semasa telah memulakan mesyuaratnya ketika Ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berkata, beliau berpegang pada segala apa yang telah dinyatakan sebelum ini.

Pendirian itu dinyatakan oleh beliau dalam pertemuannya dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya tengah hari tadi.

Kata Ahmad, beliau menyerahkan kepada BN untuk memutuskan tindakan susulan.

BERITA TERDAHULU:

Mesyuarat BN petang ini dilihat 'panas' fokus isu domestik, tangani pelan Pakatan


(Dikemas kini) PETALING JAYA: Jika mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bulan lalu memfokus kepada isu status Parti Maju Sabah (Sapp), pertemuan petang ini perikatan itu dilihat 'lebih panas' dengan pelbagai isu semasa.

Mesyuarat akan bermula pukul 3 petang ini. Ia akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri.

Dua isu yang pasti menarik perhatian ialah gesaan Gerakan dan MCA agar bertindak tegas dalam soal berkaitan dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, yang melabelkan masyarakat Cina negara ini sebagai pendatang dan penduduk penumpang ketika berkempen di Permatang Pauh

Gerakaan sejak minggu lalu menggesa agar BN menggubal kod etika dan membentuk lembaga disiplin bagi memastikan anggota parti gabungan itu tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menyinggung perasaan anggota lain.

Malah, pada Jumaat dan Ahad lalu parti itu meminta Dewan Tertinggi BN memanggil mesyuarat dengan secepat mungkin bagi membincangkan perkara tersebut memandangkan perasaan tidak puas hati semakin meningkat di peringkat akar umbi berikutan kenyataan Ahmad yang dianggap oleh Gerakan dan MCA sebagai bersifat perkauman.

Malah, Gerakan menyatakan pendiriannya jika tiada perubahan dalam BN, ia kemungkinan akan memutuskan untuk keluar BN kelak.

BN dijangka tetap akan membincangkan isu Sapp yang lebih dua bulan lalu mengisytiharkan ia tidak yakin dengan kepimpinan BN dan bercadang membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menetri di Dewan Rakyat.

BN telah membincangkan isu Sapp dalam pertemuan lalu tetapi tidak membuat sebarang keputusan atas surat tunjuk sebab yang telah dijawab oleh parti dari Sabah itu.

Keputusan kemungkinan ditentukan hari ini.

Mesyuarat hari ini juga mungkin panas ketika tarikh sasaran 16 September yang ditetapkan oleh Pakatan Rakyat mahu membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan.

Isu berkenaan dijangka disentuh ketika hampir 50 anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) kini berada di Taiwan bagi mengikuti lawatan sambil belajar.

Semalam, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya masih dalam laluan kukuh untuk membentuk kerajaan menjelang 16 September ini.

Semalam Abdullah menegaskan, beliau "sangat tidak gembira" dengan kenyataan Ahmad hari ini yang menyalahkan Gerakan dan tetap mempertahankan kenyataannya yang berbau perkauman berhubung masyarakat Cina di negara ini.

Pada sidang akhbar ringkas pada majlis berbuka puasa di Wisma Putra di sini, Abdullah berkata, kenyataan Ahmad itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

"Saya sangat tidak gembira dengan situasi ini... saya akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini... semestinya," kata beliau dipetik Bernama.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan Ahmad pada sidang akhbar di bangunan Umno Pulau Pinang hari ini yang menyalahkan Gerakan dan tetap mempertahankan pendiriannya berhubung kenyataannya yang berbaur perkauman bahawa masyarakat Cina merupakan pendatang di negara ini.

Ahmad didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika berceramah pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata, tindakan yang sewajarnya ke atas Ahmad akan diputuskan selepas beliau dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak bersemuka dengan Ahmad esok (Selasa) bagi mendapatkan penjelasan daripadanya.

"Kami akan minta beliau (Ahmad) menjelaskan mengapa keadaan sedemikian berlaku dan tindakan akan diputuskan (selepas itu)," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri berkata, Ahmad telah menjelaskan bahawa beliau membuat kenyataan berdasarkan fakta sejarah dan bukannya berunsur perkauman seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

"Beliau (Ahmad) melahirkan rasa kesal yang amat sangat yang beliau juga rasa tidak senang hati langsung kerana apa yang dia cakap itu yang padanya fakta sejarah telah disalah-ertikan oleh sebuah surat khabar yang buat pemberitaan sedangkan surat khabar lain tidak buat.

"Apa yang berlaku itu kononnya amalan kebebasan untuk bercakap, menyuarakan pandangan sesuka hati mengikut apa yang dirasai oleh orang yang berkenaan yang membuat kenyataan. Ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sementara itu Abdullah enggan mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dalam blognya bahawa peristiwa 13 Mei akan kembali berulang sekiranya peralihan kuasa pucuk pimpinan negara tidak dilakukan dengan segera.

"Tak payahlah cerita pasal blog hari ini," tegasnya.

Tiada ulasan: