HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 September 2008

JPJ beri amaran batal lesen dan permit bas jika naikkan tambang dan guna ulat

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Lesen dan permit syarikat bas yang menggunakan khidmat "ulat tiket" dan sewenang-wenangnya menaikkan harga tiket semasa musim perayaan akan dibatalkan serta-merta, kata Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Salim Parlan.

Beliau berkata pengusaha bas tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga tiket atau menggunakan khidmat ulat tiket kerana kerajaan sudah memberi kuota subsidi diesel dan surcaj 30 peratus bagi meringankan beban mereka.

"Kita akan siasat dan jika didapati tambang yang dikenakan berlebihan, pembatalan lesen dan permit akan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Salim turut menasihatkan orang ramai supaya membeli tiket di kaunter tiket dan tidak dengan ulat tiket atau orang tengah yang membolot tiket bas dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

"Kami akan pergi bertemu penumpang dan pengusaha bas kerana kami tidak mahu tunggu maklumat daripada mereka sahaja untuk mendapatkan maklum balas tetapi akan tengok sendiri," katanya

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh melancarkan kempen Ops Bersepadu di plaza tol berkenaan dengan kerjasama Plus Expressways Berhad.

Suret berkata menjelang Hari Raya Aidilfitri, kempen itu akan diperhebatkan bagi mencapai sasaran pemakaian dan penggunaan topi keledar serta tali pinggang keledar termasuk di bahgian belakang dengan berkesan.

"Kita menggalakkan pengguna menggunakan topi keledar yang mempunyai cop Sirim dan menjadikan pemakaian topi dan tali keledar sebagai satu budaya," katanya.

Tiada ulasan: