BERNAMA
SANDAKAN: Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Au Kam Wah hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta merta, sehari selepas Majlis Tertinggi SAPP membuat keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Au, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Elopura, berkata beliau kini adalah wakil rakyat bebas dan tidak mempunyai rancangan untuk menyertai mana-mana parti dalam masa terdekat ini.
Ketika mengumumkan keputusannya itu di pejabatnya di sini, beliau berkata surat mengenai keputusannya keluar daripada SAPP telah dihantar ke Ibu Pejabat parti itu di Kota Kinabalu hari ini.
"Saya membuat keputusan ini kerana saya perlu masa bersama rakyat bagi mendengar lebih banyak pandangan, komen dan perasaan daripada mereka ," kata Au, antara pengasas penubuhan SAPP pada 1994.
Katanya, beliau telah dipelawa oleh parti komponen BN yang lain dan juga oleh pembangkang untuk menyertai mereka.
"Saya menerima banyak panggilan tetapi saya beritahu mereka saya belum buat keputusan dalam tempoh terdekat ini," kata Au.
Menurutnya, pucuk pimpinan SAPP terutama presiden parti Datuk Yong Teck Lee sudah menjangkakan tindakannya itu kerana beliau tidak menghadiri mana-mana mesyuarat majlis tertinggi selepas parti itu mengumumkan untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Jun lepas.
Beliau juga tidak hadir pada mesyuarat majlis itu semalam yang membuat keputusan agar SAPP meninggalkan BN.
Au berkata, beliau belum memaklumkan keputusannya itu kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Au berkata, selain keputusan kepimpinan SAPP tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan bertindak keluar dari BN, tindakan beliau keluar parti itu turut didorong oleh senario politik negara yang berlaku pada masa sekarang.
Katanya, sejak pilihan raya umum pada Mac lepas, senario politik negara yang tidak menentu telah menjejaskan tumpuan kepada pembangunan negara dan rakyat.
"Saya rasa penting untuk kita sebagai wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat melalui proses demokrasi memberi tumpuan kepada tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat untuk membela nasib mereka.
"Kita sepatutnya mencari jalan mengatasi masalah yang dihadapi oleh mereka dan buat rancangan jangka panjang dan pembangunan negara. Saya merasakan selepas pilihan raya umum lepas, kita langsung tiada kestabilan politik untuk membuat rancangan yang terbaik baik untuk rakyat," katanya.
Timbalan Presiden SAPP DAtuk Raymond Tan yang juga Timbalan Ketua Menteri, dan Naib Presiden Kanan, Jimmy Wong, dilaporkan turut tidak bersetuju dengan tindakan SAPP keluar BN itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan