HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 September 2008

Penubuhan k'jaan baru mungkin terpaksa dilewatkan

malaysiakini


Tarikh sebenar penubuhan kerajaan baru mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September, sebagaimana rancangan awal, akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan, kata Pakatan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, katanya, kepimpinan Pakatan Rakyat yang bertemu hari ini yakin proses pembentukan kerajaan baru yang berlandasan agenda reformasi sedang berjalan lancar.

"Kami percaya kerajaan Barisan Nasional akan diganti dalam masa terdekat," katanya kenyataan Pakatan hari ini.

Menurutnya, Pakatan yakin mendapat bilangan ahli Parlimen yang mencukupi untuk mempunyai majoriti dalam Parlimen yang membolehkan penubuhan kerajaan baru.

"Bagaimanapun tarikh sebenar penubuhan kerajaan mungkin terpaksa dilewatkan dari 16 September sebagaimana rancangan awal akibat beberapa ahli Parlimen telah dipaksa ke Taiwan," katanya.

"Umum mengetahui negara kini masih dicengkam permasalahan politik, ekonomi dan sosial yang getir.

"Akibat kehilangan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Umno dan BN, timbul percubaan mengalih pandangan kepada isu perkauman sempit.

Kestabilan negara

"Masalah perkauman yang diapi-apikan berterusan sehingga kini menunjukkan formula BN yang dihantui kebejatan rasuah dan korupsi gagal mentadbir negara ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, api perkauman yang cuba dibakar akan mengancam kestabilan negara dan kebajikan rakyat.

"Kepimpinan BN yang semakin lemah juga menyaksikan parti tersebut semakin berpecah dan semakin hilang arah.

"Melihat kepada perkembangan semasa inilah, ramai Ahli Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan BN dan memutuskan untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat menegaskan bahawa kami tidak pernah dan tidak perlu membeli atau menyogok Ahli Parlimen berkenaan untuk menyertai kami.

"Mereka didorong oleh kesedaran sendiri serta memberikan komitmen menyokong agenda perubahan," tambahnya.

'Rampas hak rakyat'

Kenyataan itu juga mendakwa terdapat segelintir elit pemerintah Barisan Nasional yang diketuai Umno, bercita-cita untuk mencipta huru hara agar dapat membantut perubahan, melumpuhkan demokrasi dan merampas hak-hak rakyat Malaysia yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

"Kami khuatir seandainya masalah sengaja dibiar merebak dan berlarutan untuk memberikan alasan kepada pemerintah bertindak keras, termasuk penangkapan beramai-ramai menggunakan Undang-undang Darurat untuk membendung kemaraan rakyat yang menuntut pembelaan," kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Pakatan menyeru kepada rakyat Malaysia, termasuk penyokong Umno untuk bertenang dan tidak terperangkap dengan retorik perkauman.

"Marilah kita rakyat Malaysia bersama-sama berusaha keras untuk memperbaiki keadaan ekonomi kita yang semakin teruk dan menyambut perubahan yang akan memberi harapan baru kepada kita semua.

"Kami percaya apa pun jua usaha BN hanyalah dapat melambatkan proses pertukaran kerajaan tetapi tidak dapat menggagalkannya kerana formula BN telah gagal," kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: