BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal yang berkuasa di bawah 250cc dinasihati agar tidak memandu melebihi kelajuan 60 kilometer sejam bagi mengurangkan risiko kecederaan parah dan kemalangan maut, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Sureth Singh.
Beliau berkata kajian Malaysia Institute of Road Safety Research (MIROs) menunjukkan apabila motosikal ditunggang tidak melebihi kelajuan maksimum 60km sejam, impak kemalangan dapat dikurangkan ketika dalam keadaan kecemasan apabila penunggang masih boleh mengawal motosikal yang ditunggang ketika itu.
Menurutnya dari bulan Januari sehingga Ogos tahun ini kadar kemalangan jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal meningkat sebanyak 230 kes (9.7 peratus), di mana tahun lepas jumlahnya adalah 2,373 kes.
Katanya kadar kemalangan melibatkan motosikal di Vietnam menurun sehingga 90 peratus tahun ini berbanding tahun sebelumnya setelah penunggang di negara itu dinasihatkan supaya menunggang tidak melebihi kelajuan 60 km sejam.
Sureth berkata demikian kepada pemberita pada satu persidangan media selepas mengedarkan topi keledar percuma, risalah serta pelekat berkenaan kepentingan pemakaian topi keledar dan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak di sini hari ini.
Beliau berkata selain Vietnam, beberapa negara lain turut memperkenalkan "advisory speed limit" supaya penunggang motosikal tidak memandu melebihi 60 kilometer sejam.
"Saya ingin menjelaskan kepada orang ramai bahawa tidak ada niat kerajaan untuk mewajibkannya atau mengeluarkan saman berhubung perkara ini, ia adalah semata-mata kelajuan yang disyorkan," katanya.
Sureth seterusnya menyarankan orang ramai memakai topi keledar dengan cara yang betul dan menukar topi keledar selepas lima tahun penggunaannya bagi meningkatkan kualiti keselamatan di jalan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan