HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 September 2008

Petani kesal Peladang tidak bantu, berpuluh relung sawah rosak

Mohd Sabri Said


LARUT - Keenganan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Daerah Kecil Selama, Perak membuang tunggul kayu lama yang terdapat dalam petak sawah membuatkan berpuluh-puluh relung sawah di Kampung Garuk rosak teruk.

Adanya tunggul lama itu membuatkan semua jentera membajak atau menuai mengalami kerosakan atau terbenam apabila sedang beroperasi terutamanya ketika melalui kawasan bertunggul.

Rata-rata penduduk di situ telah mencadangkan hal berkenaan kepada PPK dalam setiap perbincangan namun sikap pandang sepi menyukarkan petani memperolehi hasil projek kelompok yang diusahakan sejak tahun 1993 lagi.

Bukan sekali dua kejadian itu berlaku malahan setiap kali kerja membajak atau menuai jentera akan mengalami kerosakan serius takkala mesin pemutar sawah atau menuai terkena tunggul kayu lama yang berada di petak sawah berkenaan.

Harakahdaily telah mengadakan tinjauan ke situ mendapati, masalah tersebut tidak akan selesai selagi PPK tidak bertindak segera dengan kerjasama orang kampung membersihkan dahulu tunggul lama yang ada antaranya di bawah permukaan tanah.

Seorang petani, Ishak Ahmad, 58, mengatakan, penduduk rela mengadakan gotong-royong bersama PKK bagi menangani masalah itu kerana sawah itu milik mereka.

PKK terangnya, boleh arahkan musim ini agar air jangan disalirkan untuk tujuan pembersihan kerana tunggul atau batang kayu hanya boleh dikeluarkan pada musim kemarau atau tanah kering.

"Kami sedia bergotong-royong dengan PKK untuk kebaikan bersama kerana bila ada hasil petani juga mendapat keuntungan. Golongan belia juga boleh dikerahkan membantu mengeluarkan tunggul lama itu dengan bantuan jentera, " jelasnya.

Kata Ishak, kami rela musim depan alami kerugian kerana tidak turun mengerjakan sawah seperti biasa semata-mata untuk menyelamatkan padi di musim akan datang.

Talib Pin 65 pula menjelaskan, akibat PPK tidak mahu membelanjakan kewangan akhirnya petani terpaksa tanggung kerugian.

Dulu katanya, sebelum PPK memperkenalkan projek kelompok tahun 1993 petani mengusahakan petak sawah secara tradisional iaitu menanam dan membanting.

Padi yang diperolehi amat membanggakan kerana tunggul tidak menjadi masalah tetapi setelah golongan belia lebih berminat kerja di bidang industri di Kulim Hi-Tech, petani veteran terpaksa menyerahkan kepada PPK yang mengeluarkan modal manakala tenaga kerja menabur benih diserahkan kepada petani masing-masing.

"Hasil memang memuaskan sewaktu kerja cara tradisional tetapi apakan daya generasi muda tidak berminat ke sawah setelah industri di Kulim Hi-Tech mengamit mereka dengan pendapatan yang lebih tinggi. Maka, dari situlah PKK mengambil alih dengan memperkenalkan projek kelompok, " terangnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Bayu, Mohd Saleh Zainal Abidin berharap PKK yang dijangka turun padang pada 15 September ini mendengar sendiri keluhan petani dan seterusnya merangka plan baru terhadap sawah di situ.

Apa yang penting sekali ialah buang semua tunggul kayu dengan bantuan penduduk kampung dalam masa terdekat kerana petani rela musim depan tidak perolehi pendapatan asalkan kerja-kerja yang selama ini bermasalah dapat di atasi.

"Sebagaimana yang dimaklumkan pada semua petani Insya Allah pada 15 September ini PPK, Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian akan turun padang meninjau sendiri masalah yang kita hadapi. Waktu itu, petani boleh memberikan cadangan bernas untuk mereka fikirkan demi manafaat semua pihak, " katanya yang juga pesara tentera. - mks._

Tiada ulasan: