HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 September 2008

SUARA HATI MENGENAI BN MUTAKHIR

Ruhanie Ahmad


Saya mengikuti perkembangan siasah Barisan Nasional (BN) secara aktif sejak penubuhannya di era Tun Razak Hussein pada 1973 – sejak 35 tahun yang lalu. Tapi, saya tidak pernah menyaksikan BN dalam keadaan yang amat kalut seperti hari ini.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang merangkap Perdana Menteri pun begitu juga. Waktu BN ditubuhkan beliau berkhidmat dengan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pimpinan Razak.

Oleh itu, sewajarnya Pengerusi BN hari ini menjadi tokoh negara yang mampu menangani masalah BN secara bijaksana dan berkesan.

Sewajarnya Pengerusi BN hari ini insaf bahawa masalah BN ketika ini bukan masalah kecil dan bukan juga masalah adhok. Sebaliknya, masalah BN hari ini – di era pasca PRU 12 – adalah masalah yang strategik dan structural.

Strategik

Lantaran itu, penyelesaiannya juga memerlukan penggabungan, penggemblengan dan penjanaan minda secara strategik, komprehensif, jujur dan ikhlas. Ia membabitkan semua pemimpin komponen BN. Ia juga perlu membabitkan party elders yang masih sudi memberikan nasihat dan pengalaman mereka demi keperkasaan dan survival BN di hari muka.

Pada waktu yang sama, penyelesaian kepada masalah strategik dan structural ini mestilah dilakukan secara tegas tetapi dengan penuh berhemah, dengan semangat kesetiakawanan yang tulen dan komitmen yang abadi terhadap destini bersama rakyat jelata Malaysia di hari-hari mendatang.

Kalau perlu dibawa bersama pakar dan ahli fikir negara yang prihatin terhadap kestabilan siasah Malaysia dan keperkasaan BN, jemputlah mereka. Demi Malaysia, jangan malu dan jangan ego.

Oportunis

Lebih penting lagi, jangan terlalu bergantung kepada para penasihat yang langsung tidak mempunyai perspektif dan pengalaman sejarah yang mendalam dan positif.

Amat penting lagi, sekali-kali jangan dengar nasihat kelompok tertentu yang berhasrat menjadikan kecelaruan BN sebagai modal mereka memanipulasikan situasi ini demi memenuhi kepentingan dan matlamat peribadi mereka.

Apa yang saya huraikan di atas hanya suara hati yang cetek dan dangkal daripada seorang ahli UMNO dan pendukung setia BN. Ia bukan nasihat. Juga bukan mesej untuk menginsafkan Pengerusi BN mengenai apa yang wajar beliau lakukan terhadap BN pada ketika ini.

Bijaksana

Ramai sahabat surfers dan bloggers pernah menyindir saya mengapakah saya terlalu bodoh dan taksub dengan BN sehingga waktu “bahtera sedang karam” pun saya tetap berbicara mengenai BN dengan penuh passion dan kekecewaan.

Saya hargai dan hormati apa sahaja yang disuarakan oleh sahabat-sahabat saya mengenai BN. Pokoknya, kalau BN umpama “bahtera yang karam” biarkanlah kita karam bersamanya.

Tetapi, kita juga perlu berani bertindak hingga ke saat terakhir dan tidak mengaku kalah kepada sesiapa. Syaratnya, bertindaklah secara berani, tegas, ikhlas, jujur, strategik, berkhemah dan bijaksana!

Tiada ulasan: