HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 September 2008

Wisma Putra mohon bantuan, kerjasama Yaman dan Somalia pantau kapal

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menubuhkan satu unit khas bagi memantau kapal tangki Malaysia yang ditawan lanun di Teluk Aden, antara Yaman dan Somalia, selain memohon bantuan dan kerjasama daripada kedua-dua negara itu bagi memastikan anak-anak kapal, yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan Filipina, selamat.

Wisma Putra turut memohon Kementerian Luar Yaman dan Somalia untuk menggiatkan usaha bagi membebaskan dengan selamat krew kedua-dua kapal tangki MISC Bhd yang ditawan lanun pada 19 dan 29 Ogos, dan memastikan laluan selamat kapal-kapal Malaysia melayari Teluk Aden.

"Malaysia akan mencadangkan kepada negara-negara lain yang kapal-kapalnya terlibat dalam insiden serupa untuk mengemukakan usul kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu," demikian menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, unit khas yang ditubuhkan khusus untuk memantau perkembangan terkini kedua-dua insiden akan diketuai Bahagian Konsular dan kementerian akan terus memantau situasi dan perkembangan menerusi semua saluran diplomatik.

Wisma Putra turut melahirkan kebimbangan terhadap insiden penawanan kapal tangki Malaysia kedua, MT Bunga Melati V pada 29 Ogos.

Kapal tangki kedua MISC, dipercayai ditawan oleh lanun tidak dikenali di perairan antarabangsa di luar pantai Yaman pada 9.50 malam, bersama 41 anak kapal, yang 36 daripadanya adalah rakyat Malaysia manakala lima lagi rakyat Filipina.

Semasa kejadian, kapal tangki, yang membawa muatan 30,000 tan metrik petrokimia, sedang dalam perjalanan ke Singapura dari Yanbu, Arab Saudi.

Pada 19 Ogos, kapal MT Bunga Melati II, ditawan oleh sekumpulan lanun bersenjata di Teluk Aden, antara Yaman dan Somalia.

Kapal, yang membawa muatan minyak sawit dengan anak kapal terdiri daripada 29 rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina, diserang pada kira-kira 10.09 malam, semasa dalam perjalanan menuju ke Rotterdam dari Dumai, Sumatera.

Lanun yang menawan kapal berkenaan menuntut wang tebusan US$3 juta (US$1 = RM3.39).

Tiada ulasan: