HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Disember 2008

20 beg sisa babi dicampak tepi jalan

UTUSAN ONLINE


KLANG - Orang ramai di sini terkejut apabila menemui lebih 20 beg plastik mengandungi sisa babi yang dibuang di tepi jalan berdekatan Carrefour Klang di sini malam tadi.

Penolong Ketua Kampung Batu 3, Jalan Kapar di sini, Mohd. Subandi Abu Dardak berkata, beg-beg plastik tersebut ditemui oleh seorang penduduk kampung kira-kira pukul 7 malam.

Menurut beliau, sebaik menemuinya, penduduk tersebut terus melaporkan kejadian itu kepadanya.

"Setiba di lokasi, saya terkejut apabila melihat begitu banyak beg plastik yang mengandungi sisa haiwan seperti usus, perut dan kulit dicampak di tepi jalan.

"Ia turut mengeluarkan bau busuk dan meloyakan," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, beliau terus menghubungi Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Beliau memberitahu, pegawai Jabatan Alam Sekitar MPK yang memeriksa kandungan beg-beg tersebut kemudiannya mengesahkan ia adalah daging babi.

Kawasan berkenaan kemudiannya dibersihkan dan sisa-sisa babi itu dihantar ke tempat pelupusan sampah.

Mohd. Subandi menambah, beberapa penduduk kampung telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan: