HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Disember 2008

Cadangan Muhyiddin perlu kajian mendalam...

Muda Mohd Noor


Pemimpin Umno bahagian memberi pandangan yang berbeza mengenai cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya pemilihan parti itu dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian dan bukannya seperti sekarang yang terhad kepada 2,500 perwakilan di perhimpunan agung parti itu.

Ketua Umno bahagian Pendang, Datuk Rozai Shafian berkata, pemilihan di peringkat cawangan boleh dibuat apabila pengurusan dapat dipertingkatkan.

Pengurusan tersebut, menurutnya, termasuk rekod keahlian yang tersusun supaya tidak menimbulkan masalah apabila mengundi.

"Ini perkara utama yang perlu diselesaikan kerana dilaporkan ada yang dibuat secara tangkap muat sahaja.

"Ini perkara penting kerana yang hendak dipilih ialah pemimpin utama, termasuk presiden parti yang akan menjadi perdana menteri.

"Perjalanan mesyuarat juga perlu dipantau secara teliti bagi menimbulkan pelbagai masalah termasuk kesahihan pengundi," katanya ketika diminta mengulas cadangan Muhyiddin yang juga naib presiden Umno itu.

Muhyiddin membuat cadangan tersebut selepas merasmikan bengkel pengurusan dan pentadbiran Pemuda Umno Pagoh Johor kelmarin untuk mengatasi salahlaku dan politik wang dalam parti itu.
Menurutnya, walaupun pun cadangannya itu memerlukan pindaan perlembagaan Umno, tetapi beliau yakin cara itu boleh menangani politik wang dalam parti.

Sistem pemilihan

Sementara itu, ketua Umno bahagian Wangsa Maju, Datuk Mohd Shafie Abdullah berkata, sistem pemilihan di peringkat cawangan hanya sesuai dilakukan di kawasan bandar.

Ini kerana, katanya, banyak ahli Umno di kawasan luar bandar tidak tahu apa-apa mengenai politik Umno.

"Berapa ramai yang benar-benar kenal dengan pemimpin mereka? Mereka tidak tahu siapa yang layak menjadi pemimpin.

"Akhirnya orang lain juga yang menentukan mereka, orang yang paling mudah mempengaruhi mereka ialah ketua cawangan," katanya.

Bagaimanapun, kata ketua Umno Wangsa Maju itu, kebaikan cara tersebut ialah lebih ramai ahli parti terbabit secara langsung dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Manakala, Ketua Umno bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihak berkenaan perlu membuat kajian secara mendalam sebelum cadangan pemilihan peringkat cawangan dilaksanakan.

"Kena kaji dulu kerana ia bukan boleh dilaksanakan dengan mudah untuk menentukan ia menepati matlamatnya iaitu menghapuskan politik wang.

"Saya bimbang politik wang boleh merebak ke peringkat cawangan pula," katanya.

Tiada ulasan: