HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 Disember 2008

Chow Kit diberi nafas baru

SINAR HARIAN ONLINE


KELAB SULTAN SULAIMAN – Chow Kit dan kawasan sekitarnya akan diberi nafas baru dalam usaha mengembalikan kawasan itu sebagai pusat tumpuan orang ramai, tempat membeli-belah dan juga destinasi pelancongan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata bagi merealisasi hasrat itu, kementerian itu telah melaksanakan Program Gerakan Tumpuan (PGT) di kawasan berkenaan dengan menjalankan pelbagai aktiviti yang boleh menjurus kepada kemasyhuran jenamanya.

“Chow Kit masyhur dengan pasar dan gerai-gerai yang menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai. Adalah menjadi hasrat kerajaan dan agensi di bawahnya mengembalikan kemasyhuran itu agar ia dan warganya tidak tercicir daripada arus pembangunan dan pembaharuan yang sedang dilaksanakan kerajaan,” katanya selepas merasmikan PGT Kawasan Chow Kit di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pihak harus berganding bahu memberi tumpuan ke kawasan Chow Kit untuk melaksanakan aktiviti yang boleh menjurus kepada kemasyhuran jenamanya dan boleh dicapai jika faktor seperti kebersihan kawasan, keselamatan dan penjajaan teratur dititikberatkan.

“Kawasan ini wajar dinaiktarafkan dan dibangunkan infrastrukturnya. Tindakan penguatkuasaan bagi membendung Chow Kit daripada unsur jenayah, penagihan dadah, penjajaan tidak berlesen, pendatang asing tanpa izin, pengemis serta kutu rayau harus ditingkatkan,” katanya.

Beliau berharap pelaksanaan PGT di Chow Kit oleh semua agensi dan jabatan bertanggungjawab dalam bidang penguatkuasaan akan membendung kawasan itu daripada anasir jenayah.

Tiada ulasan: