HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Disember 2008

Kerajaan timbang pampasan bagi mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan bayaran pampasan kepada mangsa tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa Sabtu lalu.

Ia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebentar tadi.

Tragedi itu meragut lima nyawa dan memusnahkan 14 buah banglo.

Beliau menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) hari ini menafikan dakwaan yang ia gagal memberi respon positif terhadap aduan oleh penduduk Bukit Antarabangsa berhubung beberapa isu dari yang membabitkan soal hakisan tanah hingga pemotongan pokok di kawasan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Norhayati Ahmad berkata, tindakan segera dilaksanakan sama ada oleh MPAJ atau pemaju bagi menangani masalah.

"Misalnya, selepas menerima aduan mengenai hakisan yang disyaki berlaku di jalan utama ke Bukit Antarabangsa pada September, kami segera menghantar pakarpakar kami ke situ dan membina sangkah batu bagi menyekat hakisan seterusnya," kata beliau kepada Bernama di sini.

Ekoran kejadian tanah runtuh yang besar pada pagi Sabtu di kawasan itu yang meragut empat nyawa, penduduk di Bukit Antarabangsa mendakwa bahawa pihak berkuasa termasuk MPAJ telah gagal melaksanakan tindakan sewajarnya untuk mengelakkan bencana itu.

Antara lain, mereka mendakwa majlis tempatan itu gagal memberi respon terhadap aduan mereka bahawa terdapat pergerakan tanah di kawasan itu beberapa hari sebelum berlaku tragedi itu.

Sementara itu, Norhayati berkata MPAJ kini bersiap sedia untuk memulakan kerjakerja pembersihan dan memulihkan ameniti sebaik saja operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

"Kami menjangka memulakan kerja minggu depan," katanya dan menjelaskan bahawa pada masa ini majlis tempatan adalah antara mereka yang membantu pihak berkuasa memindahkan penduduk di kawasan terjejas.

Tiada ulasan: