Operasi SAR disambung semula pagi esok
Oleh ARIFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI, 7.40 petang]
KUALA LUMPUR Bau yang dikatakan mayat sudah reput sebenarnya bukan mangsa kelima yang dikesan, tetapi bangkai anjing, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebentar tadi.
Sejam lalu polis mengumumkan ada menemui satu lagi mayat di lokasi tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa dekat sini petang ini - pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Pun begitu, pada sidang media sebentar tadi, beliau berkata: "pegawai telah berjaya sampai ke bilik pembantu rumah, ruang tidur dan seluruh bahagian dapur, namun hanya menemui bangkai anjing."
Justeru, kata beliau, seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang juga belum ditemui.
Wanita tersebut yang dipercayai bernama Lourdes Mary, 30an, merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan Dr. N. Yogeswari, yang turut terkorban dalam tanah runtuh tersebut Sabtu lalu.
Setakat ini, mereka yang terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menimbuskan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama awal Sabtu lepas kekal empat orang iaitu Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, dan warga Indonesia Surinah, 30an.
Kata beliau, operasi SAR yang dihentikan sementara pada pukul 7.30 petang dan akan diteruskan macam biasa meliputi kawasan yang lebih luas.
"Hari pun dah malam, jadi lebih baik kita berhenti dulu dan sambung balik esok pagi dengan memberi tumpuan ke atas kawasan yang lebih luas," katanya.
Tambah beliau, sehingga kini tidak ada laporan tambahan orang hilang diterima.
Malah katanya, laporan Ikram dan Jabatan Kerja Raya menunjukkan tiada pergerakan tanah lagi.
Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Peringkat Negeri akan diadakan pagi esok.
BERITA TERDAHULU
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan mayat itu yang telah pun rebut dan berbau.
Bagaimanapun beliau tidak mengesahkan identiti mayat itu sama ada warga Sri Lanka ataupun sebaliknya.
"Selepas kita keluarkan baru boleh kita sahkan identiti mangsa... mana tahu bila kita keluarkan, tiba-tiba mayat itu lengkap berpakaian seragam macam anggota keselamatan.
"Jadi biarlah adil kepada semua pihak, kita akan umumkan identiti mangsa selepas berjaya dikeluarkan," kata beliau pada sidang media sebentar tadi.
Jelas beliau, operasi SAR akan diteruskan walaupun mayat mangsa terbaru ini ditemui.
Usaha SAR diteruskan malam kelmarin berikutan laporan bahawa seorang pembantu rumah dari Sri Lanka hilang dalam kejadian itu.
Wanita tersebut yang dipercayai bernama Lourdes Mary, 30an, merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan Dr. N. Yogeswari, yang turut terkorban dalam tanah runtuh tersebut Sabtu lalu.
BERITA TERDAHULU
60% petunjuk ada kesan mangsa ke-5 tanah runtuh
KUALA LUMPUR Operasi di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa yang kini ditumpukan kepada tiga perkara iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pengosongan rumah dan pemulihan, sudah menemui kedudukan sebenar mangsa yang dilaporkan hilang.
Menurut sumber, lokasi sebenar kedudukan mangsa iaitu warga Sri Lanka sudah ditemui dan anggota SAR sedang berusaha menggali kawasan tersebut.
Kira-kira 70 peratus petunjuk menunjukkan ada kesan mangsa.
Ketua Polis Selangor dijadual mengadakan sidang media sebentar lagi.
Pada pukul 2 petang tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dalam tempoh sejam lagi pasukan SAR akan tiba di lokasi mangsa kelima, yang dipercayai terperangkap atau tertimbus.
Mangsa ialah pembantu rumah dari Sri Lanka.
Wanita tersebut yang dipercayai bernama Lourdes Mary, 30an, merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan Dr. N. Yogeswari, yang turut terkorban dalam tanah runtuh tersebut Sabtu lalu.
Selain itu pasukan SAR akan membawa pemilik rumah untuk pulang ke kawasan rumah mereka yang runtuh untuk mencari barangan atau dokumen penting.
"Mereka hanya akan dibawa sekiranya keadaan benarbenar selamat dan hari ini mungkin mereka akan dibawa naik atas," kata beliau di tempat kejadian.
Khalid berkata, kini operasi SAR diteruskan di kawasan terbabit dan tempoh bila operasi itu akan tamat masih belum dibuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan