UTUSAN ONLINE
PUTRAJAYA – Berkuat kuasa tahun depan, semua penghuni pangsapuri tidak lagi dibenarkan menyidai kain di beranda rumah bagi mengelakkan panorama yang boleh menjejaskan imej taman perumahan dan perbandaran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, garis panduan mengenainya telah diluluskan dan undang-undang mungkin dikuatkuasakan untuk bertindak ke atas mereka yang gagal mematuhi peraturan tersebut.
Katanya, garis panduan baru itu mengkehendaki tempat dan peralatan penyidaian kain yang khas diwujudkan dalam kawasan pangsapuri.
“Majlis Negara bersetuju bahawa pelaksanaan garis panduan mengenai penyidaian kain ini akan menyelesaikan masalah penyidaian kain yang tidak teratur serta menjejaskan imej di bandar.
“Kita akan cuba melalui pesuruhjaya Pengurusan Harta Bersama (COB) untuk menguatkuasakan tindakan ini seperti menyediakan tempat yang khusus (untuk menyidai kain) serta menggunakan peralatan yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan di sini hari ini.
Menurut Najib, sekiranya garis panduan yang diluluskan itu gagal menampakkan hasil, maka pindaan undang-undang mungkin dijalankan untuk membolehkan tindakan diambil ke atas mereka yang melanggar peraturan itu.
“Sekiranya tindakan (melalui pesuruhjaya COB) ini tidak berkesan, maka pindaan ke atas undang-undang akan dipertimbangkan,” katanya.
Najib juga memberitahu, kerajaan telah bersetuju untuk menyeragamkan papan tanda iklan di seluruh negara bagi menambah keindahan di sesebuah kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tetapi ada beberapa masalah teknikal yang perlu dilihat secara lebih mendalam lagi, pertamanya tentang implikasi undang-undang berhubung dengan negeri atau PBT yang telah menandatangani perjanjian konsesi dengan syarikat pengiklanan untuk tempoh tertentu.
“Dan bagi negeri dan PBT yang tiada masalah, garis panduan ini akan diguna pakai oleh mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan