HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Disember 2008

UMNO bincang calon 9 Dis.

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU – UMNO Bahagian Kuala Terengganu akan mengadakan perbincangan mengenai pemilihan calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas Hari Raya Aidiladha ini.

Ketuanya, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada 9 Disember ini bagi membincangkan semua perkara berhubung persiapan pilihan raya kecil kerusi berkenaan termasuk pemilihan calon.

‘‘Ketika ini, soal calon yang akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak dibincangkan.

‘‘Ia sebagai menghormati pemergian Allahyarham Datuk Razali Ismail,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pusat Kuala Ibai di sini hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan diadakan selepas UMNO Kuala Terengganu selesai mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham dan menyambut Hari Raya Aidiladha.

‘‘Kita akan mengadakan perbincangan secara dalaman berhubung pemilihan calon sebelum kita mencadangkan nama-nama calon kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Said,” ujarnya.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong berikutan kematian mengejut Razali ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB) di Genting Highland, Pahang pada Jummat lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lepas, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Razali memperoleh 32,562 undi, manakala Mohamad (31,934 undi) dan Maimun (685 undi).

Tiada ulasan: