BERNAMA
SHAH ALAM: Pelajar yang terselamat dalam kemalangan maut di New Zealand yang meragut nyawa seorang Timbalan Dekan dan seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dijangka dibawa pulang ke tanah air Sabtu ini.
Penolong Naib Canselor Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Prof Madya Dr. Ahmad Redzuan Abd Rahman berkata, Siti Aishah Mohd Razi, 21, dijangka pulang bersama tiga pensyarah iaitu Nosrham Firdaus, Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli dan Ismail Sualman serta isteri Ismail, Narjis Sanip yang turut sama dalam lawatan sambil belajar ke New Zealand itu.
Kelima-lima mereka akan pulang ke tanah air dengan penerbangan Royal Brunei Airlines yang bertolak pada pagi Sabtu ini dan dijangka tiba di Malaysia pada tengah hari.
Bagaimanapun, Ahmad berkata Siti Aishah akan menjalani pembedahan kecil sebelum pulang ke tanah air dan beliau (Ahmad) akan terbang ke New Zealand malam ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan pelajar-pelajar di sana.
Katanya, ketiga-tiga pensyarah itu dan isteri Ismail tidak menyertai kumpulan yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kematian Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shafiee Ahmad, 51, dan Maryam Sakinah Ahmad, 21, pelajar tahun dua jurusan penyiaran yang berasal dari Kampung Pinang Jawa, Kuching, Sarawak.
Van yang dinaiki kumpulan itu terbabit dalam kemalangan dengan sebuah trak di North Putaruru Tirau, Hamilton kira-kira 200 km dari Auckland pada pukul 8.15 malam tadi waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).
Mengenai keadaan pelajar yang cedera semasa kemalangan semalam, beliau berkata, Amirul Abdul Rashid, 21, dan adik kepada Siti Murni Ayu Mohd Amirul, salah seorang pelajar yang tercedera, Mohd Khairul Fitri masih lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di Waikato.
Siti Murni Ayu pula yang cedera ringan telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini, katanya.
Ditanya mengenai urusan membawa pulang jenazah, beliau berkata, kedua-dua jenazah masih lagi berada di hospital di Waikato itu dan urusan membawa pulang menaiki pesawat akan dilakukan secepat mungkin dengan bantuan pihak kedutaan tetapi masanya belum lagi dapat ditentukan.
Sementara itu, balu Shafiee, Sarimah Shuhaimi, 46, berkata, beliau menerima berita duka pemergian suaminya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMs) daripada seorang pensyarah yang menyertai rombongan ke New Zealand itu pada pukul 10.00 malam tadi.
"Saya tidak percaya, hubungi telefon bimbit kawan dia balik," katanya ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 8 di sini semalam.
Beliau yang bekerja sebagai pengurus di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor berkata, beliau agak berat untuk melepaskan suaminya ke luar negara kali ini, tidak seperti sebelum ini di mana beliau lazimnya akan bersalaman dengan suaminya sebelum perjalanan.
"Saya tidak tengok dia pergi, berat hati nak pergi hantar... dia ada SMS saya dan pesanannya itu 'maafkan abang'," katanya yang menerima pemergian Shafiee dan memberitahu anak-anaknya selepas menerima berita sedih itu.
Anak sulung arwah, Muhammad Zulhusni, 19, berkata, semasa beliau menghantar ayahnya ke kampus di mana peserta rombongan berkumpul sebelum ke lapangan terbang, ayahnya kelihatan ceria kerana telah lama merancang perjalanan ke New Zealand tetapi beliau dapat merasakan agak berat bagi ibunya untuk melepaskan ayahnya ke luar negara kali ini.
Selain daripada Mohamad Zulhusni, Shafiee meninggalkan tiga lagi anak iaitu Jama'atul Adauyah, 17, Mariatul Qadtiah, 16, dan Muhammad Zulakmal, 8.
1 ulasan:
Saya turut bersedih di atas kejadian yang menimpa kedua-dua mangsa. Mudahan-mudahan keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan dan saya doakan roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.
Catat Ulasan