HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Disember 2008

Mindanao:Harapan pembaca, warga Harakah ditunaikan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR- Walaupun saudara Islam kita jauh di perantauan namun, ingatan dan harapan pembaca Harakah dan Harakahdaily untuk meringankan derita dan keperitan umat Islam Mindanao, Filipina tidak dikesampingkan.

Justeru, merealisasikan niat ikhlas para pembaca dan orang ramai, yang telah banyak menyalurkan sumbangan dana ke Tabung Harakahdaily.com, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menyampaikan derma sejumlah RM3,000.00 kepada wakil Harakah dan Harakahdaily Azamin Amin pagi tadi.

Azamin akan turut serta di dalam misi bantuan kemanusiaan ke Mindanao bersama sepasukan rombongan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) yang diketuai oleh Presiden Amal, Husin Ismail yang akan berangkat ke wilayah Islam itu sehari sebelum Hari Raya Aidiladha pada 7 Disember (Ahad) sehingga 12 Disember ini.

Selain itu, semalam derma 'kilat' di kalangan warga kerja Harakah yang turut bersimpati berjaya mengumpulkan kira-kira RM230.00 akan turut diagihkan kepada kanak-kanak yatim piatu dan warga emas di Mindanao melalui pembelian barangan keperluan seperti makanan, pakaian, alatan pelajaran dan lain-lain.

Lutfi dalam kenyataannya turut merakamkan terima kasih kepada semua umat Islam khususnya pembaca Harakah dan Harakahdaily yang begitu prihatin dengan nasib yang menimpa saudara seagama di nusantara malah menghargai kepercayaan yang diberikan kepada Harakah dan Harakahdaily dalam usaha membantu gologan malang ini.

Katanya, selain sumbangan dan dana untuk mangsa kekejaman ISA, orang ramai turut menyalurkan derma untuk membantu golongan susah sama ada di negara mahupun khusus kepada mangsa pelarian perang seperti di Mindanao, Kemboja,Myammar dan bencana yang menimpa Acheh suatu ketika dulu.

Sementara itu Amal akan melakukan sembelihan daging korban berjumlah 37 lembu dan 39 kambing untuk diagihkan kepada umat Islam yang mana hidup melarat akibat peperangan yang sedang berlaku di Wilayah Islam itu.

Menurut Husin angka pelarian perang di Cotabato, Marawi dan beberapa bandar lain di Mindanao sudah menjangkau 600,000 umat Islam dan kehidupan mereka sangat daif dan memerlukan kepedulian masyarakat antarabangsa.

"Masyarakat Islam Bangsamoro memerlukan bantuan doa, pakaian, ubat-ubatan dan makanan untuk meneruskan perjuangan menuntut hak mereka yang telah di rampas oleh Kerajaan Filipina.

"Amal berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang tampil untuk menghulurkan derma dan membuat Aqiqah untuk masyarakat di sana. Program kita tidak terhad untuk Aidiladha sahaja bahkan akan terus ada aktiviti susulan," katanya.

Untuk menderma atau maklumat lanjut boleh mengubungi Pegawai Amal, Muhammad Faiz Mohd Nor di talian 017-2488130 atau layarai laman web AMAL di www.amalmalaysia.net/v1/ - mks._

Tiada ulasan: