Oleh Amir Abd Hamid
KUALA LUMPUR: “Walaupun hanya diberitahu ukuran rambang Shah Rukh Khan, kami yakin dapat menyiapkan baju Melayunya,” kata Pengarah Urusan butik Sovereign Wear (SW), Huzry Fionnawatty Hussein.
Butik SW beroperasi di Plaza Damas di sini, adalah penaja busana rasmi pelakon Hindustan itu yang dijadualkan menerima anugerah darjah kebesaran Melaka di Seri Negeri sempena Hari Jadi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-70, yang akan berlangsung di Seri Negeri, Melaka, esok.
Huzry Fionnawatty berkata busana rasmi tajaan butiknya untuk aktor terkenal Hindi itu ialah baju Melayu cekak musang menggunakan kain hitam dan mempunyai lima butang.
Songkok serta bengkung yang akan dipakai Shah Rukh Khan pula disediakan Institut Seni Malaysia Melaka (Isma).
Kemunculan Shah Rukh Khan memakai baju Melayu cekak musang lengkap bersamping dan songkok, esok dijangka mendapat perhatian peminat setianya.
“Kami mempunyai masa hanya dua hari untuk menyiapkan pakaian rasmi berkenaan yang akan dijahit menggunakan kain ‘Italian Crepe’.
“Malam kelmarin kami baru menerima tempahan secara rasmi. Tempoh singkat menjadi cabaran bagi kami, tambahan pula kami tak dapat mengukur sendiri badan Shah Rukh Khan, namun ia satu cabaran bermakna buat kami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, dia sering menerima tempahan membuat pakaian rasmi penerimaan anugerah serta adat istiadat daripada orang kenamaan dan menjangka tidak bermasalah menyiapkan pakaian berkenaan berikutan diberikan ukuran rambang saiz badan aktor itu.
Katanya, dia diberitahu Shah Rukh Khan bersaiz sederhana dengan tinggi 176 sentimeter (sm), bahu (60 sm), ukur lilit leher (49 sm), dada (114 sm), pinggang (110 sm) manakala pinggul (118 sm).
“Saya sendiri akan berada di Istana Villa di Ayer Keroh iaitu tempat persinggahan Shah Rukh Khan bagi perjalanan singkat sehari untuk menerima anugerah berkenaan,” katanya yang turut menyediakan sepasang lagi baju simpanan, jika berlaku sebarang masalah.
Hadir sama di butik SW semalam ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Melaka, Datuk Kapten (B) Ab Karim Sulaiman serta dua wakil Isma, Noriah Ahmad dan Noor Azlina Yunus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan