HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Disember 2008

Penduduk bimbang kejadian tanah runtuh

SINAR HARIAN


SUBANG – Lebih 100 penduduk Taman Subang Murni, dekat sini berada dalam kebimbangan apabila tanah di cerun bukit berhampiran kawasan perumahan mereka didapati terus mendap setiap hari.

Penduduk Hider Abd Hamid, 38, berkata, keadaan di situ bertambah buruk sejak seminggu lalu apabila hujan lebat melanda di kawasan ini yang mempercepatkan lagi proses hakisan di cerun bukit berkenaan.

Menurut Hider, cerun bukit setinggi kira-kira 50 meter yang terletak kurang 30 meter dari kawasan perumahan mereka sangat membimbangkan dan hanya menunggu masa mengalami runtuhan jika tiada tindakan sewajarnya diambil pihak berwajib.

Beliau berkata, kejadian terbaru tanah mendap berlaku awal pagi semalam menambahkan lagi kebimbangan penduduk terhadap tahap keselamatan di kawasan cerun bukit berkenaan.

“Kejadian terbaru tanah mendap di cerun bukit ini berlaku kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam) dan kami hanya menyedari perkara ini apabila pengawal keselamatan di taman perumahan ini memaklumkan kejadian tersebut kepada kami.

“Ini memaksa laluan berhampiran kawasan ini ditutup sementara bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pemasangan ‘gabien’ di lereng cerun bukit berkenaan menghalang tanah berlumpur masuk ke laluan di kawasan ini tetapi ianya dilihat tidak akan bertahan lama kerana hujan lebat menjadikan tanah di situ menjadi berlumpur.

Hider berkata, beliau sudah beberapa kali memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pemaju namun tiada tindakan diambil bagi membaiki cerun bukit berkenaan.

“Setiap kali aduan diajukan kepada pihak pemaju alasan yang sama diberikan iaitu kawasan cerun bukit berkenaan bukan di bawah bidang kuasa mereka tetapi di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perlu dibawa ke perhatian PBT.

“Penduduk pernah melaporkan masalah di cerun bukit ini ke pengetahuan PBT, namun sehingga kini kami tidak nampak apa-apa tindakan yang sewajarnya diambil pihak terbabit,” katanya.

Beliau berharap pihak yang berwajib memandang serius perkara ini kerana ia bukan sahaja melibatkan keselamatan penduduk di sini malah turut melibatkan penduduk yang menetap di atas bukit tersebut.

“Saya berharap pihak yang berwajib dapat memandang perkara ini secara serius kerana jika berlaku tanah runtuh di sini, ia bukan sahaja melibatkan kerosakan harta benda malah kehilangan nyawa.

“Tindakan segera perlu diambil, jangan tunggu perkara yang tidak diingini berlaku, baru masing-masing sibuk melakukan ujian tanah, menghulurkan bantuan dan sebagainya,” katanya.

Tiada ulasan: