Usaha kesan pembantu rumah warga Sri Lanka dipergiat
Oleh ARIFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI, 2.30 petang]
KUALA LUMPUROperasi di kawasan tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa kini ditumpukan kepada tiga perkara iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pengosongan rumah dan pemulihan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kini operasi SAR diteruskan di kawasan terbabit dan tempoh bila operasi itu akan tamat masih belum dibuat.
Dalam tempoh sejam lagi pasukan SAR akan tiba di lokasi mangsa kelima, yang dipercayai terperangkap atau tertimbus.
Mangsa ialah pembantu rumah dari Sri Lanka.
Wanita tersebut yang dipercayai bernama Lourdes Mary, 30an, merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan Dr. N. Yogeswari, yang turut terkorban dalam tanah runtuh tersebut Sabtu lalu.
Selain itu pasukan SAR akan membawa pemilik rumah untuk pulang ke kawasan rumah mereka yang runtuh untuk mencari barangan atau dokumen penting.
"Mereka hanya akan dibawa sekiranya keadaan benarbenar selamat dan hari ini mungkin mereka akan dibawa naik atas," kata beliau di tempat kejadian.
BERITA TERDAHULU
Layanan buruk: Polis siasat dakwaan suami mangsa
KUALA LUMPUR Polis sedang menyiasat dakwaan suami salah seorang mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, di sini yang mendakwa menerima layanan buruk daripada pasukan keselamatan ketika beliau meminta menyelamatkan isterinya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis telah menghubungi suami kepada mendiang Eng Yee Peng, 30, untuk tampil ke pusat operasi SAR bagi membantu siasatan.
Sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan suami mangsa mendakwa beliau diberi cangkul oleh pasukan penyelamat dan memintanya mencari isterinya sendiri.
"Saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan semalam pihak polis telah menghubungi suami mangsa. Tetapi beliau tidak memberi sebarang jawapan, mungkin beliau masih berkabung.
"Bagaimanapun saya jamin siasatan terperinci akan dilakukan berhubung dakwaan ini. Kita ingin tahu siapakah individu yang sebenarnya berbuat demikian," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini tiada laporan polis yang dibuat oleh suami mangsa itu berhubung perkara itu dan ini tidak bermakna polis tidak akan siasat dakwaan itu.
Sementara itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga Sri Lanka, yang dipercayai tertimbus, masih giat dijalankan.
Menurut Khalid, pasukan SAR belum mendapat sebarang petunjuk daripada mesin pengesan dan unit anjing pengesan pihak bomba.
"Pasukan SAR sedang lakukan yang terbaik dan fokus kita tertumpu kepada rumah nombor satu. Setakat ini pasukan SAR telah menggali tanah sedalam lima kaki.
"Ada kemungkinan mangsa yang dipercayai tertimbus itu digelongsor ke lokasi lain. Kita teliti semua kemungkinan," katanya.
Wanita tersebut yang dipercayai bernama Lourdes Mary, 30an, merupakan pembantu rumah kepada doktor haiwan Dr. N. Yogeswari, yang turut terkorban dalam tanah runtuh tersebut Sabtu lalu.
Beliau berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat berjalan lancar hari ini dengan cuaca yang baik sambil diperhatikan pakar Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) yang memberi nasihat dari semasa ke semasa.
Setakat ini, mereka yang terkorban dalam insiden tanah runtuh yang menimbuskan 14 banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama awal Sabtu lepas kekal empat orang iaitu Yogeswari, 40, akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, dan warga Indonesia Surinah, 30an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan