Masih terdapat pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh
Oleh ARIFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI, 5 petang]
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menyifatkan sebagai khabar angin "cakap-cakap" bahawa anggota polis dan tentera menceroboh masuk rumah yang dikosongkan di kawasan tanah runtuh Bukit Antarabangsa.
Beliau menganggap ia hanya khabar angin selagi tiada laporan polis dibuat.
"Jika betul ada tentera dan polis masuk ke rumah penduduk, buat laporan polis dan minta jangan sebarkan khabar angin, kerana kita tidak mahu operasi terganggu. Kita akan halusi laporan dan siasat," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini hanya enam laporan polis dibuat, lima melibatkan kes hilang harta benda manakala satu lagi laporan tidak puas hati mengenai ada pihak yang tidak berkaitan berada di kawasan itu.
"Laporan itu hanya dibuat oleh mereka yang rumah mereka terjejas akibat tanah runtuh dan bukan dari mereka yang rumah mereka dikosongkan," katanya.
Khalid berkata, polis akan meningkatkan kawalan di rumah-rumah yang telah dikosongkan dan di rumah yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku pada pukul 4 pagi kelmarin dan meragut empat nyawa serta menimbus 14 banglo.
Beliau juga berkata, usaha untuk mengesan pembantu rumah warga Sri Lanka yang berusia 30 tahun giat dijalankan dan polis telah memaklumkan kepada Kedutaan Sri Lanka.
Wanita itu dilaporkan tidak dapat dikesan sejak kejadian tanah runtuh Sabtu lepas.
Khalid berkatam wanita itu telah berkerja dengan keluarga mangsa Dr N. Yogeswari selama enam tahun.
Yogeswari, 40, merupakan salah seorang mangsa yang terkorban.
Tiga lagi ialah akauntan Eng Yee Peng, 30, Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, dan warga Indonesia Surinah, 30an.
Khalid berkata operasi hari ini menjadi lebih mencabar apabila hujan turun sejak awal pagi menyebabkan kerja-kerja mencari dan menyelamat terpaksa dibuat secara berhati-hati.
"Masih terdapat pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan