BERNAMA
[DIKEMAS KINI, pukul 7 petang]
KUALA LUMPUR: Hujan sederhana dan kadangkala lebat dijangka berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Melaka sehingga esok.
Keadaan itu juga dijangka boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebing-tebing sungai, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan itu juga meramalkan hujan sederhana dan kadangkala lebat di Sarawak sehingga Rabu ini yang dijangka boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan tebingtebing sungai.
Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan dijangka berterusan sehingga petang ini.
Dalam pada itu, lebih 300 orang penduduk di beberapa kawasan di tiga daerah di Melaka terpaksa dipindahkan berikutan banjir kilat yang melanda sejak awal pagi tadi berikutan hujan lebat.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata kawasan terlibat ialah di daerah Alor Gajah iaitu Taman Awan Biru dan Kampung Belimbing Dalam dengan masing-masing penduduk yang dipindahkan berjumlah 67 orang dan lapan orang.
Di Melaka Tengah, ia melibatkan 56 orang yang dipindahkan dari Taman Rambai Utama dan 150 orang dari Kampung Enam, katanya ketika dihubungi.
Di Jasin, seramai enam orang dipindahkan di Simpang Bekoh, Rim (6 orang) dan Selandar (9 orang).
Jurucakap itu berkata kesemua mangsa banjir ditempatkan di bangunan sekolah, balai raya dan juga Taman Bimbingan Kanak-kanak.
Katanya, kawasan yang dinaiki air merupakan kawasan rendah, yang dinaiki air antara 0.5 hingga 1 meter.
Mangsa dijangka pulang malam ini atau esok berikutan cuaca cerah di sebelah petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan