HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Disember 2008

SIRI TIGA: MASALAH RASUAH AGENDA TERAKHIR ABDULAH

Ruhanie Ahmad


Azam dan cita-cita Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membanteras rasuah memang amat terserlah dalam 130 hari pertama beliau jadi Perdana Menteri. Maka, lanjutan kepada tulisan saya mengenai tajuk di atas dalam siri satu (4 Disember 2008) dan dua (5 Disember 2008), sama-samalah kita ikuti kenyataan Abdullah mengenai rasuah pada 13 Februari 2004, yang dilaporkan oleh media tempatan seperti berikut:

“Kerajaan akan meneruskan perang menentang rasuah dan penyelewengan kewangan yang dilakukan oleh mana-mana firma dan syarikat perniagaan di Malaysia melalui penguatkuasaan undang-undang tanpa mengira siapa mereka. Seperti juga ahli politik, pemimpin korporat perlu mematuhi standard amalan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan di samping menjaga kepentingan pelabur dan pemegang kepentingan. Langkah itu perlu diambil untuk mengukuhkan amalan tadbir-urus di negara ini sekaligus meneruskan pelaksanaan agenda-agenda penting yang terkandung dalam Dasar Penswastaan Malaysia. Tanpa sebarang rasa takut atau berat sebelah, mereka yang tidak mentadbir syarikat dengan betul akan menerima padahnya kerana penyalahgunaan serta penyelewengan oleh sebuah syarikat mampu merosakkan seluruh ekonomi negara.”

Pada 14 Februari 2004, sama ada secara terancang atau sebaliknya, media tempatan pula mendapatkan komen Tun Mahathir terhadap tindakan yang dikenakan ke atas Eric Chia dan Kasitah. Secara gentleman, Mahathir menjawab: “usaha membanteras rasuah secara bersungguh oleh kerajaan, termasuk penangkapan tokoh korporat dan Menteri Kabinet, merupakan sesuatu yang baik.”

Pada 15 Februari 2004, seolah-olah untuk menolak persepsi negatif di kalangan rakyat jelata ketika itu, Mingguan Malaysia pula menyiarkan secara panjang lebar, satu wawancara berjodol Lawan Rasuah Bukan Gimik Politik - Kesungguhan Perdana Menteri Cetus Kesan Psikologi Luar Biasa.

Bukti Awal

Mukadimah kepada wawancara dengan Presiden Transparency International Malaysia (TI), Tunku Abdul Aziz Ibrahim, adalah seperti berikut:

Pertuduhan rasuah ke atas dua individu ternama, tokoh perniagaan Tan Sri Eric Chia Eng Hock dan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gadam, dalam masa selang sehari menjadi berita paling hangat. Semua pihak umumnya melihat itu bukti awal kesungguhan kerajaan mahu memerangi rasuah.

Antara intisari utama di dalam wawancara tersebut pula adalah seperti berikut:

Tindakan Abdullah membanteras rasuah menunjukkan adanya keazaman politik yang tegas pada kerajaan untuk membanteras rasuah, tidak kira sama ada ia dilakukan oleh pegawai rendah polis, atau orang yang mempunyai pengaruh dan berkuasa. Ini petanda yang baik kerana sejak bertahun-tahun ini (di era Tun Mahathir) kerajaan telah hilang banyak kredibiliti manakala BPR pula dilihat tidak berkesan.

Tetapi, persepsi itu sekarang sedang berubah. Ini bukan hanya kerana sekarang kita melihat ada dua kes melibatkan orang kenamaan, tetapi kerana langkah-langkah yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan (pimpinan Abdullah).

Langkah-langkah yang digariskan oleh Abdullah sepatutnya dilakukan sejak lama dulu. Tetapi, apa yang menjadi hambatan ialah kurangnya political will. BPR telah melakukan yang terbaik, tetapi mereka juga terkekang oleh beberapa keadaan.

Dabik Dada

Negara ini sedang berubah. Rasanya seperti menghirup udara segar, seperti keluar dari Kuala Lumpur dan masuk ke Taman Negara.

Abdullah diingatankan supaya tidak dilihat terlalu banyak membuat janji-janji. Orang sedang memerhatikannya. Orang menunggu-nunggu apakah yang hendak dilakukan melalui Institut Etika Awam dan Pelan Integriti Nasional.

Abdullah belum lagi setahun menjadi Perdana Menteri. Masih terlalu awal untuk menilai apa yang telah dan sedang dilakukan (dalam konteks usaha membanteras rasuah).

Demikianlah intisari wawancara Mingguan Malaysia dengan Tengku Abdul Aziz. Memang sukar untuk dipastikan sama ada Abdullah membaca kandungan wawancara berkenaan. Tetapi, pada 16 Februari 2004, Abdullah seolah-olah mendabik dada mengenai tindakannya membanteras rasuah. Abdullah dilaporkan oleh Utusan Malaysia dengan jodol Abdullah: Perangi Rasuah Lahir Dari Hasrat Sendiri.

Hasrat Abdullah

Menurut laporan tersebut, Abdullah berkata bahawa tindakan tegas kerajaan dalam usaha memerangi sepenuhnya gejala rasuah adalah lahir daripada hasrat Abdullah sendiri walaupun tahap rasuah di negara ini tidak mencapai peringkat yang terlalu teruk. Akhbar berkenaan juga memetik Abdullah sebagai berkata seperti berikut:

“Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan berkaitan usaha untuk membasmi rasuah adalah sebenarnya lahir daripada saya kerana saya menganggap bahawa rasuah itu jika dibenarkan, ia akan menjadi semakin parah.”

Pada 18 Februari 2004, Abdullah pula menyatakan di Tehran, Iran, bahawa beliau “komited dalam usaha perangi rasuah.”

Seterusnya, Abdullah memberi amaran berikut:

“Pihak berkuasa akan bertindak jika mempunyai bukti yang cukup serta berkeyakinan tindakan pendakwaan akan berakhir dengan pesalah rasuah menerima hukuman. Saya sentiasa komited dalam usaha memerangi rasuah kerana ia ibarat kanser yang boleh memusnahkan masyarakat.”

Gimik PRU11

Selanjutnya, Abdullah menegaskan bahawa usaha beliau memerangi rasuah bukannya satu gimik politik menjelang PRU11. Usaha itu, tambah beliau, akan berterusan sampai bila-bila. Kenyataan ini dibuat dalam satu wawancara dengan Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) sempena lawatan Abdullah ke Iran untuk menghadiri Sidang Kemuncak D-8.

Setelah mengikuti seluruh kenyataan dan tindakan Abdullah seperti di atas, pastinya kita hairan mengapakah Abdullah membuat kenyataan anti-rasuah di Iran? Pasti kita juga tertanya-tanya, mengapakah Abdullah perlu menafikan bahawa tindakan anti-rasuah yang dilaksanakan di era awal kepimpinannya “bukannya satu gimik politik menjelang PRU11” tetapi satu tindakan “yang akan berterusan sampai bila-bila.”

Mengapakah Abdullah membuat penafian itu? Mungkinkah pemikiran sub-subsconcious Abdullah ketika itu menyedari bahawa tindakan beliau adalah semata-mata demi mencapai matlamat jangka pendek untuk menghalalkan sesuatu agenda rahsia oleh pihak-pihak tertentu, dan pada waktu yang sama, memang benar usaha beliau mengeluarkan kenyataan demi kenyataan mengenai rasuah adalah satu gimik untuk PRU11?

Bagaimanapun, soal sama ada usaha Abdullah membanteras rasuah seperti dihuraikan di atas hanya satu gimik PRU11 atau sebaliknya, memang sukar untuk dipastikan pada ketika tersebut. Seperti kata Tunku Abdul Aziz dalam wawancaranya dengan Mingguan Malaysia, “Abdullah belum lagi setahun menjadi Perdana Menteri. Masih terlalu awal untuk menilai apa yang telah dan sedang dilakukan (dalam konteks usaha membanteras rasuah).”

Tiada ulasan: