HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 November 2009

Umno mungkin ambil alih peranan MCA

BERITA HARIAN ONLINE


ROME: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno mungkin terpaksa mengambil alih peranan MCA dalam membantu masyarakat Cina jika kemelut kepemimpinan parti itu yang kini bertambah gawat tidak diselesaikan segera.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno tidak mahu campur tangan, tetapi bimbang masalah dalaman MCA akan memberi kesan negatif terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya berniat baik dan bukan mahu campur tangan. Tetapi saya bimbang dengan masalah MCA, parti yang senior dalam BN. Sokongan masyarakat Cina sangat penting dan kritikal untuk mengukuhkan BN.

“Adalah tidak manis bagi Umno memainkan peranan MCA. Kita cuba buat dan dapat sokongan menggalakkan. (Sebenarnya) bukan kerana mereka tidak menyokong BN, tetapi mereka tidak gembira dengan apa yang berlaku dalam MCA. Kalau saya orang Cina pun, saya tak sokong MCA,” katanya ketika ditemui pada hari terakhir Sidang Kemuncak Keselamatan dan Jaminan Makanan Dunia 2009 di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kemelut terbaru dalam MCA berikutan penyingkiran Ketua Pemuda, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun bersama tujuh yang lain daripada Majlis Presiden.

Muhyiddin menegaskan BN tidak mahu kehilangan sokongan masyarakat Cina yang terbentuk menerusi jalinan dengan MCA sejak sekian lama.

“Jika situasi dalam MCA begitu, Umno menyatakan mari kita tolong untuk sementara waktu. Kita membantu masyarakat Cina kerana mereka penting sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia.

“Mereka perlu dibantu dan saya rasa mereka mahu BN membantu, tetapi jika parti yang mewakili masyarakat Cina menghadapi masalah, sudah tentu mereka tidak gembira. Kita tidak mahu mereka meninggalkan BN.

“Pada pilihan raya kecil, bila kita katakan kita mahu membantu orang Cina dan India, mereka menerimanya kerana mereka yakin dengan kepimpinan melalui Umno.

"Namun, kita tidak boleh terus menanggung beban itu sendiri kerana ia tanggungjawab yang besar. Kita mahu MCA, Gerakan dan MIC memainkan peranan masing-masing," katanya.

Tiada ulasan: