BERITA HARIAN ONLINE
SHAH ALAM: Kebocoran paip air dari saluran paip yang aktif di sepanjang jajaran rumah terbengkalai dikenal pasti punca utama tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada jam 3.30 pagi, 6 Disember 2008 yang mengakibatkan lima kematian dan 14 banglo musnah.
Jawatankuasa Teknikal Kajian Tanah Runtuh mendapati keadaan itu menyebabkan kandungan air dalam tanah di kawasan kegagalan cerun meningkat dan menyumbang kepada kejadian tanah runtuh di situ.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketika membacakan ringkasan laporan kajian jawatankuasa itu berkata, ia adalah antara lima faktor penyumbang kejadian selain ikatan tanah yang poros pada cerun tambakan ketika pembangunan.
Katanya, ia juga berpunca daripada kurangnya penyelenggaraan serta kerosakan pada sistem perparitan di kawasan kegagalan cerun serta hujan yang kerap sebelum kejadian sekitar Oktober dan November 2008.
"Jawatankuasa ini mengenal pasti tiga siri gelinciran mengakibatkan tanah runtuh pada hari berkenaan, yang mana setiap satu hanya berselang tiga hingga lima minit, membabitkan keluasan empat hektar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam.
Abdul Khalid berkata, ringkasan laporan siasatan kejadian tanah runtuh itu akan didedahkan kepada orang ramai mulai Isnin ini dan mereka boleh mendapatkannya daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kos berpatutan.
Katanya, status klasifikasi dokumen itu diubah dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2C, Akta Rahsia Rasmi.
Jawatankuasa teknikal khas yang diketuai Cawangan Kejuruteraan Cerun Malaysia, Jabatan Kerja Raya itu dibentuk bagi menyiasat punca kejadian dan mengenal pasti langkah perlu diambil.
Jawatankuasa itu turut dianggotai Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Metereologi, Agensi Remote Sensing, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPAJ, Mohd Asbi & Associates dan Enceal Consultans Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan