HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Disember 2009

Kerana Melayu perjuangan Umno makin luput

M Faqih


KOTA BHARU: Biar pun kajian mendapati perjuangan berteras bangsa dalam masyarakat majmuk tidak lagi relevan, namun Umno enggan keluar dari belenggu perkauman.

Ramai percaya perjuangan berteraskan bangsa akhirnya akan pupus. Keadaan yang sama bakal menimpa Umno sekiranya dogma itu terus dipertahankan.

Ini dapat dilihat kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang menganggap kenyataan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu melantik Cina Muslim warak sebagai Menteri Besar sebagai gimik politik.

Seorang pensyarah, Nadzir Awang Ahmad pula menganggap kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengejutkan orang Melayu.

Pensyarah berkenaan menulis di sebuah akhbar tempatan sekiranya dasar itu diamalkan kerajaan Pakatan Rakyat, lebih ramai lagi orang bukan Melayu akan menjadi Menteri Besar.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan menyatakan kesediaan kerajaan PAS meminta perlembagaan negeri bagi melantik Cina Muslim sebagai pemimpin kerajaan negeri.

Mengulas itu tersebut anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, amalan melantik pemimpin Islam yang berwibawa tanpa memilih bulu adalah amalan Islam sebenar.

“Saya amat bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ia memperlihatkan perjuangan Islam tidak sempit dan melangkui sempadan bangsa.

“Sedangkan pemimpin Umno sebelum ini mendakwa Malaysia sebagai negara Islam, namun mengapa pula pemimpin yang patuh kepada ajaran agama tidak mahu dicontohi,” katanya.

Beliau percaya perjuangan Umno semakin luput kerana ideologi yang dipertahankan sejak 1946 sudah tidak sesuai lagi dalam situasi masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

Oleh itu katanya beliau menyokong penuh cadangan Tuan Guru Nik Abdul bagi memberi peluang pemimpin Cina Muslim yang warak menjadi ketua kerajaan.

Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria berkata, pemikiran Menteri Besar Kelantan melangkau sempadan bangsa sehingga menyebabkan Umno semakin gelisah.

Kata beliau Umno tetap mahu mempertahankan perjuangan berteraskan bangsa bukan bagi kepentingan rakyat, sebaliknya bagi mendapat faedah peribadi mereka.

Adun Dabong, Ariffabillah Ibrahim berkata, cadangan Menteri Besar itu tidak mustahil dilaksanakan kerana Islam tidak meletakkan bangsa sebagai fokus perjuangan.

“Cadangan tersebut amat ditakuti Umno kerana tanpa perjuangan Melayu Umno sudah tidak bermakna lagi,” tambahnya.

Pesaka, tiga kementerian didakwa mungkir janji

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun diberi janji-janji manis, Harian Inovatif Sdn. Bhd (HISB) mendedahkan bahawa syarikatnya masih belum menerima bayaran tertunggak sebanyak RM1.127 juta kerana menguruskan penganjuran Kejuaraan Silat Sedunia ke-13, 2007.

Kejuaraan tersebut adalah anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bersama-sama Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KeKKWA), Kementerian Belia dan Sukan; dan Kementerian Pelancongan.

"Sehingga kini, kita (HISB) tak dapat apa-apa bayaran dari Pesaka, (juga) termasuk dengan KEKKWA, (Kementerian) Beliau dan Sukan serta (Kementerian) Pelancongan, kita memang tak dapat langsung sumbangan," jelasPengarah Eksekutif Kumpulan HISB, Raja Norasmah Lela.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Lembaga Pengurusan HISB, Mohd Fairuz Mohd Yusof syarikatnya seolah-olah dianiaya oleh para pemimpin Umno sendiri.

"Adakah syarikat bumiputera seperti kami (HISB) perlu dianiaya...penaungnya (program) adalah pemimpin BN kita (iaitu) Najib (Perdana Menteri)," ujarnya.

Selain Najib selaku penaung kejuaraan, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan bin Yaakob, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabeery Chik serta Pemangku Pesaka Datuk Sohaimi Mohamed kerana sering berdolak-dalih apabila bertemu dengan pihak HISB.

Ketua Pasukan Peguam yang mewakili HISB, Ramesh Kanapathy yang ditemui kemudian berkata, anak guamannya telah mengfailkan saman ke atas Pesaka.

Pun begitu, beliau berkata pihaknya tidak menyenaraikan ketiga-tiga kementerian terbabit sebagai yang dipertanggungjawabkan.

"Sebenarnya, kita saman Pesaka sahaja kerana mereka yang membuat perjanjian bertulis, kementerian-kementerian terbabit hanya terlibat secara tidak langsung," jelasnya.

"Tetapi, saya percaya Kementerian Belia dan Sukan seharusnya dipertanggungjawabkan kerana merekalah pihak berwajib menyelenggara sukan di negeri ini."

"Maka, sebarang masalah seharusnya dirujuk juga kepada mereka. Yang anak guaman kami mahu, tuntutan wang tertunggak (RM1.127), tidak lebih dari itu," katanya.

RM800 juta: Kelantan warisi kes zaman Umno/BN

Harakahdaily


KOTA BARU: Kerajaan negeri Kelantan terpaksa menghadapi dilema membayar ganti rugi RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan apabila mewarisi keputusan pentadbiran Umno-BN sejak 35 tahun lalu.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata masalah itu berpunca daripada pembatalan projek pada tahun 1975.

Bagaimanapun, Husam berkata, kerajaan negeri akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Tinggi Kota Baru semalam mengarah kerajaan negeri membayar gantirugi sebanyak RM800 juta kepada syarikat pembalakan Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar syarat perjanjian mereka.

Ia merupa kes pampasan terbesar yang pernah dicatatkan dalam kes saman sivil di negara ini.

Kes itu dipercayai difailkan pada tahun 2004.

Husam Musa berkata, rayuan tersebut akan dibuat menerusi seorang peguam kanan.

“Biar pun mereka menang kes tersebut semalam, namun kerajaan bersetuju untuk membuat rayuan bagi mendapatkan keputusan di sebaliknya.

“Sepatutnya isu tersebut diselesaikan kerajaan negeri ketika itu (BN) memandangkan mereka telah membatalkan konsesi yang ditandatangani,” katanya pada persidangan media di Kota Darulnaim hari ini.

Media hari ini melaporkan kerajaan negeri diarah Mahkamah Tinggi Kota Bharu membayar RM800 juta kepada Timbermine Sdn Bhd kerana melanggar beberapa perjanjian yang ditandatangani 35 tahun lalu.

Jumlah ganti rugi itu termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar, ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Husam berkata, syarikat itu menerima konsesi daripada kerajaan negeri pada 20 Julai 1964 untuk mengusahakan tanah di kawasan hulu Kelantan.

“Di kawasan itu juga ada aktiviti pengganas komunis. Dan saya difahamkan syarikat tersebut sanggup melakukan aktiviti pembalakan biar pun berlaku kesukaran.

“Kemudian semasa diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 18 Mac 1975 kerajaan telah membatalkan perjanjian tersebut,” katanya.

Menurutnya ekoran pembatalan tersebut, dalam tempoh sebulan syarikat telah menghantar surat melalui peguam bagi mencabar keputusan berkenaan.

Katanya, saman telah dilakukan syarikat tersebut kepada kerajaan negeri.

“Kemudian kerajaan negeri telah menubuh satu jawatankuasa berunding dalam tempoh tiga bulan selepas surat diterima.

“Jawatankuasa tersebut pada waktu itu dipengerusikan Menteri Penerangan dan Tugas-Tugas Khas, Tengku Ahmad Rithaudeen.

“Rundingan telah dijalankan pada 12 Julai 1975 dan hasil rundingan tersebut mereka telah bersetuju menyelesaikan masalah tersebut membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta,” katanya.

Dan selepas itu ditubuh anak syarikat baru di mana kerajaan negeri mempunyai saham sebanyak 70 peratus dan Timbermine 30 peratus.

Persetujuan telah dicapai dan menteri besar telah menulis surat kepada syarikat.

Husam berkata, perkara itu berlanjutan di mana syarikat terbabit telah berurusan dengan kerajaan BN daripada 1982 sehingga 1989.

Bagaimanapun tambahnya, syarikat terbabit sekali lagi menghantar tuntutan mereka pada 2004 selepas kerajaan negeri bertukar tangan, katanya.

Husam berkata, masalah itu adalah perkara lama yang sepatutnya diselesaikan kerajaan negeri sebelum ini kerana mereka bertanggungjawab membatalkan konsesi.

Ditanya adakah kerajaan negeri terkejut dengan saman berjumlah RM800 juta, katanya kerajaan negeri akan membuat rayuan kes berkenaan.

“Biar pun pada peringkat awal kita kalah, namun kita akan bawa kes tersebut ke mahkamah lebih tinggi.

“Bukan bermakna sekarang kita kena bayar RM800 juta kerana rayuan akan dikemukakan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri pernah membincangkan kes tersebut dalam mesyuarat Exco sebelum ini.

Ibu Bapa, Pihak Sekolah Perlu Waspada Gelombang Kedua H1N1

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sekolah dan ibu bapa merupakan pihak terpenting yang perlu sentiasa berwaspada dalam berdepan dengan gelombang kedua wabak Influenza A(H1N1) apabila sesi baru persekolahan dibuka semula Ahad dan Isnin ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata ini kerana jika tiada persiapan dibuat bagi menghadapi kedatangan gelombang kedua itu, tidak mustahil ia akan membawa kesan yang lebih berbahaya kepada orang ramai.

Katanya ibu bapa perlu sentiasa memantau kesihatan anak-anak mereka dan bertindak segera dengan menghantar mereka ke hospital sekiranya didapati mereka mengalami simptom gejala serupa influenza (ILI).

"Begitu juga dengan pihak sekolah, jika didapati ada pelajar yang mengalamisindrom serupa, guru-guru perlu bertindak segera dengan mengasingkan merekasebelum mereka mendapat rawatan di hospital," katanya kepada pemberita selepasmerasmikan program "Kembali Ke Sekolah: Bersedia dan Berwaspada" di sini, hariini.Dr Hasan berkata selain itu, langkah-langkah pencegahan yang diumumkansebelum ini bagi menghindar jangkitan influenza itu seperti tidak terlalu kerapberada di kawasan sesak, menutup mulut semasa bersin, tidak berkongsi saputangan dengan orang lain juga perlu terus diamalkan orang ramai.

"Jangan ambil mudah akan jangkitan daripada penyakit ini...walaupun pada masa ini statistik menunjukkan penurunan kadar jangkitan dalam masyarakat kita, tetapi kita harus berwaspada dengan gelombang kedua yang boleh datang pada bila-bila masa sahaja," katanya.

Selain itu, kata Dr Hasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakanbahawa pandemik H1N1 dijangka berakhir sekitar 2012 memandangkan tahap bahayapenyakit ini masih kekal pada tahap enam iaitu tahap paling bahaya.

"Keadaan ini ada benarnya memandangkan pada masa kini jangkitan H1N1 dilihat masih aktif terutama di negera-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara.

"Jadi orang ramai, sekali lagi diingatkan agar terus berwaspada jika ada melawat negara berkenaan dan pastikan anda terus berjumpa doktor jika ada simptom ILI sekembalinya mereka ke negara ini," katanya.

Dalam program itu, anjuran bersama antara Kementerian Kesihatan dan syarikatLam Soon Edible Oil Sdn Bhd, sebanyak 15 sekolah di Lembah Klang akan dibekalkandengan cecair pencuci tangan Antabax manakala cecair pembasmi kuman segeraAntabax akan dibekalkan selama sebulan di kawasan tumpuan ramai di sekolahseperti kantin, dewan perhimpunan dan perpustakaan.

Antara sekolah yang mendapat bekalan itu termasuk Sekolah Kebangsaan SeriAnggerik, SK Putrajaya Presint 8(1), SK Putrajaya Presint 9(1) dan (2), SK TamanMegah, SK Seri Tasik, SK Pengkalan Tentera Darat dan SK Sentul 1.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Lam Soon Edible Oil Sdn Bhd Carmen Foo berkata program itu disasarkan kepada murid-murid sekolah memandangkan mereka antara golongan yang mudah dijangkiti penyakit itu.

"Kami memilih untuk melancarkan program ini di sekolah rendah kerana merasakan kanak-kanak berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini, mereka memerlukan peringatan yang berulang kali dan belum lagi sedar akan kesan jangkitan penyakit ini terhadap mereka.

"Justeru dengan program seperti ini sekurang-kurangnya kami dapat menjalankan tanggungjawab sosial kami dalam membantu kerajaan mengurangkan risiko penularan wabak influenza A (H1N1) terhadap kanak-kanak dan pada masa sama dapat mendidik mereka bagaimana untuk menjaga kebersihan diri dengan lebih teliti," katanya.

Rais Umum Peruntukan Dana RM200 Juta Untuk Industri Kreatif

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI


KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan jumlah pembiayaan dana industri kreatif sebanyak RM200 juta lanjutan daripada pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober lalu.

Rais berkata, dana tersebut telah diperuntukkan sebagai pemangkin kepada pembangunan aktiviti industri kreatif seperti penerbitan filem, muzik, animasi, dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

"Kita menyedari dana yang diperuntukkan kecil jumlahnya berbanding industri yang lain. Tapi kita gunakanlah dulu apa yang ada.

"Lebih baik ada daripada tiada," katanya ketika sidang media di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa pengumuman mengenai perkara ini dibuat sekarang.

Menurut beliau, pembiayaan pinjaman yang ditawarkan oleh kerajaan bermula daripada RM50 ribu sehingga RM 5 juta mengikut kelayakan pemohon dan memberitahu bahawa pembiayaan dana ini akan berjalan secepat mungkin.

Kadar faedah pembayaran balik juga turut menyenangkan peminjam iaitu dua peratus setahun yang dikira secara bulanan dikenakan kepada peminjam semasa tempoh pernafasan manakala empat peratus dikenakan selepas tamat tempoh pernafasan.

Tambah beliau lagi, tujuan utama pembiayaan ini diadakan adalah bagi menyediakan sebahagian pinjaman bagi pinjaman yang diperlukan untuk sesuatu penerbitan, pembelian aset dan lain-lain aktiviti berkaitan industri kreatif bagi tujuan pengkomersilan.

Rais berharap tidak ada golongan yang akan memandang skeptikal terhadap pengumuman ini dan berharap dana ini dapat dimanfaatkan secara sistematik dan sepenuhnya.

Bank Simpanan Nasional (BSN) telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menguruskan dana yang diperuntukkan dengan menyediakan kemudahan pinjaman untuk membiayai keperluan kewangan bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri kreatif.

"Kemudahan pinjaman industri kreatif ini layak dipohon oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan aktiviti kreatif seperti pemilik tunggal, pemilik bersama dan syarikat sdn bhd.

Entiti perniagaan mestilah menguasai sekurang-kurangnya 51 peratus oleh warganegara Malaysia," jelasnya lagi.

Rais juga berkata, permohonan ini terbuka kepada semua penggiat dan tidak memberi keistimewaan kepada pemohon yang berdaftar kepada persatuan seperti Karyawan dan Seniman semata-mata.

"Itu dikira tidak adil. Permohonan kita adalah terbuka kepada semua," katanya lagi.

Menurut Rais, industri kreatif yang layak memohon dana ini termasuk audio visual dan media baru, rekaan, seni dan kraf dan media cetak.

"Dana ini tidak hanya tertumpu kepada industri filem sahaja,semua yang terlibat dalam industri kreatif layak memohon," jelasnya.

Rais juga turut berharap agar penggiat dalam industri mempelbagaikan lagi hasil karya mereka dengan adanya pembiayaan dana tersebut.

Sementara itu, penerbit filem terkenal, David Teo menyifatkan pengumuman kerajaan itu sebagai satu rahmat.

"Saya bersyukur dengan pengumuman itu, sebelum ini satu dan pun tiada. Jadi ini satu perkembangan yang baik, katanya.

David turut gembira kerana dana yang diberikan kerajaan adalah banyak dan berharap semua pihak menggunakannya dengan bijak dan berhemah.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan akan melantik seorang auditor untuk menguruskan dana tersebut supaya pungutan wang yang dibayar peminjam dapat digunakan kembali pada masa hadapan.

PLBE: RM5 juta saguhati kepada penduduk terjejas

BERNAMA


Kerajaan memutuskan untuk memberi bayaran saguhati berjumlah lebih RM5 juta kepada 134 penduduk setinggan yang terjejas secara langsung dengan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (PLBE) di Pulau Pinang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata bayaran wang saguhati itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Bagi pemilik rumah di tanah berhakmilik, bayaran saguhati mereka sedang diproses dan akan dibayar dalam sedikit masa lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya bagi yang berkenaan, bayaran itu akan dibuat bersama dengan pampasan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Ong berkata sebahagian besar penghuni yang terlibat di Kedah dan Perak telah dibayar saguhati manakala bakinya sedang diuruskan.

"Kerajaan mengambil kira kepentingan semua penghuni yang terjejas secara langsung dengan projek ini. Pandangan, rayuan dan maklum balas daripada pemimpin masyarakat dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional di Pulau Pinang telah diambil kira," katanya.

PLBE, yang menelan belanja RM12.485 bilion, dijangka siap pada penghujung 2012.

Ia sebahagian daripada pelan induk untuk memajukan sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Kerja-kerja pembinaan PLBE, yang dijalankan MMC-Gamuda JV, berjalan lancar di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Husam: Artikel saya bukan sindir MB

MALAYSIA KINI


Datuk Husam Musa, yang menggesa pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga, hari ini menafikan tegurannya ditujukan kepada menteri besar Kelantan.

Exco kerajaan Kelantan itu berkata tulisan dalam blognya 'Malaysia atau diri' kelmarin "bukan bermaksud menuding sesiapa, apa lagi kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat", lapor media rasmi PAS.

Mengulas berita di akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menyifatkan coretan blognya itu sebagai sindiran kepada mursyidul am PAS, khususnya berhubung pelantikan menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Husam dipetik berkata ia seolah-olah ingin melaga-lagakannya dengan Nik Abdul Aziz.

husam musa interview 170507 stun"Tidak betul macam itu, kenapa saya nak sindir Tuan Guru (Nik Abdul Aziz), saya sendiri ada keluarga, ada adik-adik, bahkan adik saya sendiri pernah ditemuduga oleh sebuah agensi kerajaan negeri beberapa tahun lalu," Harakahdaily memetik beliau sebagai berkata.

"Saya nasihatkan agensi kerajaan ini jangan ambil adik saya walaupun berkelayakan, saya lakukan demikian untuk menjaga imej kerajaan negeri di samping ingin mengelak tuduhan-tuduhan macam ini daripada pihak yang tidak bertanggugjawab."

Artikel Husam tersebut tidak jelas merujuk perkembangan semasa politik Kelantan tetapi mengingatkan betapa "politik keluarga" boleh membawa kemusnahan kepada seseorang tokoh pemimpin.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas naib presiden PAS itu menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

Bagaimanapun tegurannya - yang turut menyebut PAS era kepemimpinan bekas presidennya Tan Sri Mohd Asri Muda pernah menerima jolokan negatif sebagai "parti Asri sekeluarga" - membuka pelbagai spekulasi.

Kebanyakan blog pro-PAS menganggap artikel tersebut sebagai mengulas politik semasa di Kelantan susulan kontroversi berpanjangan kedudukan Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu menteri besar yang menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, akan berundur secara rasmi Mac tahun depan daripada syarikat berkaitan kerajaan itu.

Media rasmi PAS itu turut melaporkan Husam menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan termasuk sebagai ADUN Salor.

Tidak ada sebab beliau harus berbuat demikian padahal pada masa yang sama beliau lebih menumpukan pada tuntutan royalti petroleum daripada kerajaan pusat, tambahnya.

"Lainlah kalau sudah dapat royalti besok, tuan-tuan buat khabar angin macam tu," beliau dipetik berkata, sambil ketawa.

Katanya lagi, akibat khabar angin seumpama itulah beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap blog dan beberapa akhbar harian.

Al-Quran pertama dalam bahasa Iban

Salhan K Ahmad
( eksklusif )


Terjemahan pertama al-Quran dalam bahasa Iban akan mula diterbitkan tahun depan bagi membantu golongan penutur bahasa tersebut memahami kitab suci Islam itu.

Projek penerbitan itu dimulakan dengan terjemahan edisi muqaddam, kemudian diikuti teks lengkap al-Quran pada 2011, kata pengerusi kumpulan syarikat PTS.

Terjemahan itu berpandukan naskhah terjemahan paling popular dalam bahasa Melayu Pimpinan al-Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Ainon Mohd lagi.

Beliau juga berkata terjemahan tersebut akan menjadi naskhah lengkap terjemahan al-Quran dalam bahasa etnik terbesar di Sarawak.

"Terjemahan ini menggunakan bahasa Iban laras halus, sebagaimana yang digunakan oleh penutur aslinya. Belum ada lagi naskhah sedemikian," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Justeru, individu keturunan Iban yang berminat mengetahui isi kandungan al-Quran memang mengalami masalah tiada bahan rujukan.

"Bukan semua orang Iban mampu membaca dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Lagipun membaca dalam bahasa ibunda lebih mudah difahami," kata bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu lagi.

Tambahnya, sasaran utama bagi penerbitan yang diusahakan PTS Darul Furqan Sdn Bhd itu antaranya golongan muallaf yang bertutur dalam bahasa tersebut.

"Iban adalah bahasa kaum bumiputera yang terbesar di Sarawak, oleh itu kami dapati ada pasaran niche bagi buku-buku dalam bahasa Iban," katanya dalam wawancara melalui emel.

"Golongan yang akan mendapat manfaat paling baik daripada penerbitan buku ini nanti adalah individu keturunan Iban yang sudah memeluk Islam, atau mereka yang mungkin akan memeluk Islam kerana mempunyai rancangan berkahwin dengan pasangan Islam.

"Namun kita yakin, masyarakat Iban yang tidak berminat dengan Islam pun tetap akan mendapat manfaat apabila membacanya kerana mereka akan dapat memahami dengan betul perbezaan-perbezaan pelbagai aliran agama di Malaysia."

Ainon menunjukkan satu contoh terjemahan al-Quran itu seperti dimuatkan di blog peribadinya Universiti PTS.

Ayat 1 dan 2 surah al-Asr dalam bahasa itu berbunyi: "Enggau nama Allah petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau. Allah petara ti siko besumpah enggau ari. Semua anak mensia nyadi rugi."

Ainon menjelaskan, projek dengan kos percetakan RM30,000 itu akan meluaskan penyebaran al-Quran dalam apa juga bahasa di dunia.

Tambahnya, 3,000 naskah muqaddam dan 3,000 lagi teks al-Quran bagaimanapun belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jakim.

"Pihak KDN dan Jakim boleh menubuhkan kumpulan penyemak dengan menggunakan khidmat guru agama keturunan Iban, ahli akademik, dan pendakwah lulusan aliran pengajian Islam yang boleh membaca dan mamahani bahasa Iban," katanya lagi.

Naskhah terjemahan tersebut akan dihantar kepada KDN dan Jakim untuk semakan sebelum proses percetakan, tambahnya.

JHEAIK jelas sebab tidak serbu Dr Rosli

BERNAMA


Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) tidak boleh menyerbu atau menangkap pasangan yang diperintah tinggal berasingan jika tidak mendapat arahan bertulis daripada Mahkamah Syariah, kata Ketua Penolong Pengarahnya (Penguatkuasaan) Mohd Abdul Aziz Mohd Noor.

"Jadi tidak timbul soal kami sengaja melengah-lengahkan untuk bertindak terhadap mana-mana pasangan yang didapati melanggar perintah mahkamah supaya bermufarakah," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan bapa mentua kepada bekas ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kader, yang kesal dengan tindakan JHEAIK yang memandang ringan terhadap laporannya supaya bertindak menahan anak dan menantunya itu yang didakwa tinggal bersama walaupun diperintah oleh Mahkamah Syariah supaya tinggal berasingan kerana kesahihan perkahwinan mereka diragui.

Mohd Noor Che Man, 58, gagal menahan anaknya Ilyani, 30, dan Rosli llani, 35, ketika pasangan itu meninggalkan rumah sewa pasangan itu di Lorong Masjid Mustaqim, Telipot, di Kota Bharu pada 10 pagi semalam.

"Saya pelik dengan tugas JHEAIK, mereka sepatutnya bertindak kelmarin lagi untuk menahan pasangan ini kerana Mahkamah Syariah telah mengeluarkan waran mufarakah sejak 9 Nov lalu," kata Mohd Noor.

Bagaimanapun, Mohd Abdul Aziz menjelaskan, pihaknya hanya akan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang dan peraturan jabatan negeri ini tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak yang tidak berkenaan.

Katanya, beliau sengaja mengarahkan kakitangannya supaya tidak membuat serbuan dan penggeledahan kediaman Rosli Allani kerana mahkamah belum mengeluarkan perintah itu secara bertulis kepada bahagian penguatkuasaan JHEAIK untuk mengambil tindakan terhadap pasangan terbabit.

"Ini kerana ia bukan kes serbuan dan penggeledahan biasa sebagaimana mana kes pasangan yang disyaki berkhalwat atau bersekedudukan secara haram di mana waran tangkap atau geledah boleh diperolehi dari hakim mahkamah bila-bila masa walaupun di luar waktu pejabat," katanya.

Selasa, 29 Disember 2009

Beberapa Jalan Ditutup Sempena Sambutan Tahun Baru Di Kuala Lumpur

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Beberapa jalan raya di sekitar bandaraya akan ditutup pada 31 Disember ini bersempena sambutan ambang tahun baru 2010 yang akan diadakan di beberapa lokasi termasuk di Dataran Merdeka dan Bukit Bintang.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini berkata, jalan-jalan yang akan ditutup ialah bermula dari lampu isyarat Jalan Hishamudin/Jalan Raja, hingga lampu isyarat Jalan Raja/Jalan Tuanku Abdul Rahman mulai pukul 7 malam (31 Disember) sehingga acara sambutan selesai untuk sambutan di Dataran Merdeka.

"Bagi sambutan di Bukit Bintang jalan yang ditutup bermula dari lampu isyarat Jalan Imbi/Jalan Sultan Ismail menghala ke lampu isyarat Jalan Sultan Ismail/Jalan Bukit Bintang mulai pukul 0001 pagi (31 Disember) hingga pukul 6 pagi 1 Januari 2010," katanya.

Rusli berkata, laluan-laluan di sekitar Kuala Lumpur juga dijangka akan ditutup secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan lalulintas semasa.

Husam: Pisahkan keluarga daripada pentadbiran

Abdul Rahim Sabri


kemaskini 7.35pm Exco kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa menggesa pemimpin sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan daripada kepentingan kekeluargaan.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Husam menyeru agar wujud pemisahan jelas pengaruh keluarga daripada pentadbiran negeri.

"Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang.

"Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008," coret Husam di blognya Cetusan Hati semalam.

"Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin- pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah."

Tidak jelas maksud "peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita..." sama ada merujuk pemimpin PAS atau pemimpin BN kerana sebelumnya Husam banyak merujuk kes yang melingkari barisan pemimpin utama negara.

Husam bagaimanapun menjelaskan bahawa mereka yang mahukan perubahan tidak harus terperangkap dalam kerenah yang sama.

"Keadaan (BN) nampaknya kritikal. Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas. Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak.

"Kemuncup-kemuncup sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan," tulisnya lagi.

Exco itu juga mengingatkan betapa pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif "parti Asri sekeluarga."

Muncul ketika dua pegawai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan digugurkan, dan desas-desus digantikan dengan mereka yang dekat dengan anggota keluarganya, coretan blog Husam ini menguatkan tanggapan bahawa pentadbiran Kelantan masih lagi bergolak.

Coretan yang penuh berlapik itu bagaimanapun tidak menyebut secara jelas perkembangan politik di negerinya, sekali gus meletakkan orang ramai dalam keadaan terus berteka-teki.

Isu dua pegawai tersebut mendapat perhatian luar biasa kerana diura-urakan berkaitan rapat dengan dakwaan wujudnya pengaruh keluarga Nik Abdul Aziz dalam pentadbiran negeri.

Setelah muncul kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, isu pengaruh keluarga menteri besar rancak diperkatakan.

Dalam keghairahan membela suaminya Abdul Ariffahmi yang didesak meninggalkan PMBK, Nik Amalina Nik Abdul Aziz pula secara terbuka menudingkan jarinya kepada PAS dan pemimpin-pemimpin negeri tersebut.

Nik Amalina juga mengakui wujudnya perbincangan peringkat keluarganya selama beberapa kali berhubung pelantikan Abdul Ariffahmi.

Kemudian perkara ini disahkan oleh Nik Abdul Aziz sendiri dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini awal bulan ini.

Sementara itu, seorang bekas pegawai mantan menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menulis di blognya bahawa Anual Bakhri terpaksa melepaskan jawatan tersebut.

"Anual dalam pesanan mesej ringkasnya (kepada saya) sekadar berkata, 'beliau mengundur diri dalam keadaan yang sukar'," kata Anuar Hashim di Perakite semalam.

Setiausaha akhbar Nik Abdul Aziz, Mohd Saiba Yaakob, yang turut berundur, dipetik berkata beliau difahamkan Anual Bakhri digugurkan susulan pertikaian beberapa pihak kerana dianggap "gagal memberi nasihat politik yang betul kepada menteri besar dalam beberapa isu penting mutakhir ini."

Mengulas isu panas tersebut, kerana dianggap satu lagi tanda pergolakan dalaman PAS negeri, Nik Abdul Aziz hari ini bagaimanapun menafikan dua setiausahanya itu dipecat.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS petang ini, lapor Harakahdaily.net, beliau berkata Anual Bakhri sudah lama berniat berbuat demikian.

Pegawainya itu mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat penerbitannya, selain masalah kesihatan anak bongsunya, lapor media rasmi PAS itu lagi.

Nik Abdul Aziz dipetik berkata pengunduran dua pegawainya itu bukan rombakan tetapi "prosedur biasa" pelantikan politik.

Beliau juga menafikan desas-desus Husam, yang hadir di mesyuarat tersebut walaupun diura-urakan tidak mahu menyertainya, meletakkan jawatan.

Nik Aziz sahkan dua setiausaha berundur

Abdul Rahim Sabri


Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengesahkan pengunduran dua pegawai peribadinya seperti diura-urakan sejak hujung minggu lalu.

Beliau, yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan, memaklumkan isu hangat kepada mesyuarat mingguan Dewan Harian parti itu di Kota Bharu petang ini.

Setiausaha PAS Kelantan Mohd Zaki Ibrahim memberitahu Malaysiakini selepas mesyuarat itu, setiausaha politik menteri besar Anual Bakhri Haron meletakkan jawatan berkuatkuasa 1 Januari ini, setiausaha akhbar Mohd Saiba Yaakob pula tamat kontrak sebulan selepas itu.

Ditanya sebab-sebab Anual Bakhri berundur daripada jawatan yang disandangnya sejak Disember 1999, Mohd Zaki berkata pegawai itu ingin menumpukan pada kegiatan penulisannya.

Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, yang juga timbalan dua pesuruhjaya PAS Kelantan, hadir dalam mesyuarat selama 90 minit itu walaupun pada awalnya diura-urakan ingin memboikotnya.

Husam, yang dikatakan rapat dengan Anual Bakhri, diura-urakan tidak senang dengan perkembangan politik dalam kerajaan negeri itu, mutakahir ini.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Anual berkata beliau tidak ada apa-apa masalah untuk melepaskan jawatan tersebut kerana "sebelum ini selalu bercakap kemungkinan untuk melepaskan jawatan ini".

"Saya tidak ada apa (masalah), saya sudah berkhidmat 10 tahun," katanya.

Ditanya sama ada pengguguran tersebut disebabkan perkembangan dan pergolakan yang berlaku di Kelantan, Anual berkata: "Saya tidak pergi sejauh itu."

Seorang bekas pegawai mantan menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menulis di blognya bahawa Anual terpaksa melepaskan jawatan tersebut.

"Anual dalam pesanan mesej ringkasnya (kepada saya) sekadar berkata, 'beliau mengundur diri dalam keadaan yang sukar'," kata Anuar Hashim di Perakite semalam.

Seperti laporan akhbar hari ini, Mohd Saiba pula mengesahkan pengguguran itu melibatkan beliau dan Anual tetapi kedua-duanya belum menerima hitam putih keputusan tersebut.

Bercakap kepada Berita Harian, beliau difahamkan Anual digugurkan susulan pertikaian beberapa pihak terhadapnya yang dianggap "gagal memberi nasihat politik yang betul kepada menteri besar dalam beberapa isu penting mutakhir ini."

Mengulas isu panas tersebut, kerana dianggap satu lagi tanda pergolakan dalaman PAS negeri, Nik Abdul Aziz menafikan wujud pemecatan dua setiausahanya.

Bercakap dalam sidang media hari ini, lapor Harakahdaily.net, beliau berkata Anual Bakhri sudah lama berniat berbuat demikian.

Anual Bakhri mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat penerbitannya, selain masalah kesihatan anak bongsunya, lapor media rasmi PAS itu lagi.

Nik Abdul Aziz dipetik berkata pengunduran dua pegawainya itu bukan rombakan tetapi prosedur biasa pelantikan politik.

Beliau juga menafikan desas-desus Husam, yang hadir di mesyuarat tersebut walaupun diura-urakan tidak mahu menyertainya, meletakkan jawatan.

Saksi: SPRM sahkan 'tiada kes' terhadap Norza

BERNAMA


Mahkamah Sesyen Temerloh dimaklumkan bahawa seorang pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar surat kepada Umno mengatakan bahawa suruhanjaya itu "tidak ada kes" terhadap Datuk Norza Zakaria, bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang sedang menghadapi tuduhan rasuah.

Bekas setiausaha kerja Umno, Brig Jen (B) Datuk Husainy Hashim, saksi kelima pendakwaan bagi kes perbicaraan rasuah membabitkan Mohamad Norza dan ejennya Halimi Kamaruzzaman, berkata surat berkenaan telah diserahkan kepada Majlis Tertinggi Umno.

Bagaimanapun timbalan pendakwa raya Saiful Edris mendakwa keterangan oleh saksi berkenaan dibuat kerana didorong oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza.

Saiful, yang menyoal balas Husainy, bertanyakan siapa yang menandatangani surat berkenaan kerana sebelum itu beliau memberi keterangan bahawa beliau "rasa ada surat berkenaan".

"Datuk Shukri (yang menandatangani surat itu), saya tak ingat nama penuhnya, dia seorang pegawai tinggi SPRM," kata Husainy yang turut tidak mengingati tarikh surat berkenaan.

Saiful kemudiannya berkali-kali meminta Husainy mengingati siapa "Shukri" berkenaan.

Muhammad Shafee kemudian mencelah: "Berapa ramai "Shukri" dalam SPRM?"

Pengarah Siasatan SPRM ialah Shukri Abdull.

Husainy, 64, berkata mengikut surat berkenaan, SPRM meminta Umno sendiri membuat siasatan dalaman dan SPRM tidak ada kes terhadap Norza.

Ketika soal balas sebelum itu, Muhammad Shafee berkata Husainy, yang juga anggota sekretariat Umno yang meneliti kes-kes politik wang, juga telah memaklumkan bahawa Lembaga Disiplin Umno turut mendapati Norza tidak bersalah.

Saiful kemudian menyoal balas Husainy: "Datuk, Lembaga Disiplin kata tidak bersalah, tapi tak semestinya orang itu tidak bersalah.

"Ada Datuk sedar ada agensi lain yang masih boleh lakukan siasatan juga?

"Saya sedar," kata Husainy.

Perbicaraan kes itu yang bermula 10.30 pagi terpaksa ditangguhkan lebih awal kerana bekalan elektrik terputus pada 11.19 pagi.

Pada mulanya perbicaraan tetap diteruskan sehingga 1 tengah hari tetapi keadaan kurang selesa menyebabkan hakim Azuar Che Yusof menangguhkannya ke 1 Feb tahun depan.

Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada anggota perwakilan sebagai dorongan untuk mengundi beliau memenangi dalam pemilihan bagi kerusi Majlis Tertinggi pada perhimpunan agung Umno, Mac lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan pada 6.30 petang 20 Januari lepas di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di Temerloh.

SAM bidas balik Pendaftar Pertubuhan

MALAYSIA KINI


Sahabat Alam Malaysia (SAM) mempersoalkan kenyataan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang disifatkannya "sangat tidak bertanggungjawab dan tidak profesional" kerana ingin membatalkan pendaftaran NGO berpengaruh itu berdasarkan "prasangka dan andaian."

Ahli majlisnya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata SAM belum menerima aduan rasmi terhadap aktivitinya – berkaitan penentangan terhadap aktiviti pembalakan, perladangan komersial dan pembinaan empangan – yang dicurigai sebagai "kegiatan yang menggugat kepentingan negara" oleh ROS.

Tambahnya, SAM sudah "dihukum" oleh ROS melalui kenyataannya semalam yang juga memberi isyarat kepada agensi-agensi lain bawah Kementerian Dalam Negeri untuk mengambil tindakan.

Mohd Azmi berkata, isu yang dibangkitkan pertubuhan alam sekitar itu, termasuk berkaitan dasar dan bidang kuasa kerajaan, sepatutnya dijelaskan oleh kementerian berkaitan dan bukannya terletak bawah bidang kuasa ROS.

Tabiat Tidak Merokok Mungkin Prasyarat Mohon Bantuan Kerajaan - Shabery

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tabiat tidak merokok mungkin dicadangkan sebagai prasyarat untuk belia dan pelajar yang memohon bantuan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata cadangan itu disuarakan kerana banyak pihak terutamanya belia dan pelajar masih mampu membeli rokok meskipun harga rokok sudah beberapa kali dinaikkan.

"Dia kata dia miskin, dia tiada apa-apa. Tapi kalau boleh beli rokok, kita kata anda tidak layak terima apa-apa bantuan. Rokok mampu beli, kenapa lain tak mampu beli," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam bahawa mulai 1 Jan, harga minimum rokok ditetapkan kepada RM6.40 bagi 20 batang atau dikira pada harga 32 sen bagi sebatang.

Tindakan itu adalah untuk mengurangkan kemampuan membeli rokok terutamanya oleh golongan muda dan yang berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

Ahmad Shabery berkata permohonan bantuan kerajaan seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin atau bantuan lain daripada pemohon yang mampumelanggan stesen televisyen berbayar atau menghisap rokok juga perlu dipertimbangkan sebelum diluluskan.

"Orang mendakwa diri miskin dan perlu bantuan tetapi dalam masa yang sama mereka memiliki barang-barang mewah yang tak patut mereka miliki dan mereka sepatutnya tak pohon," kata beliau.

Beliau berkata meskipun peraturan itu tidak termaktub dalam mana-mana undang-undang, ia sepatutnya dijadikan pertimbangan sebelum mereka layakdiberikan bantuan atau sebaliknya.

Mengenai cadangan hasil cukai jualan rokok bukan sahaja disalurkan kepada pembangunan bola sepak negara tetapi turut disumbangkan kepada sukan-sukan yang lain, Ahmad Shabery berkata beliau akan mengemukakan kertas cadangan itu kepada Kementerian Kewangan.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) serta melancarkan Ekspedisi 1Belia 1Malaysia yang dianjurkankementeriannya dengan usahasama Majlis Belia dan Sukan.

Ekspedisi yang melibatkan 70 peserta itu akan merentasi 10 negeri, yang bermula hari ini dan berakhir pada Sabtu ini di Lenggong, Perak, bertujuan memberi pendidikan dan maklumat yang tepat kepada belia mengenai program 1Belia 1Malaysia.

Mengenai MPBN, Ahmad Shabery berkata pelbagai pandangan disuarakan sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan serta program-program yang perlu dilaksanakan untuk belia pada masa akan datang.

"Selain itu Majlis Belia Negara juga ada mengemukakan cadangan yang amat komprehensif hingga ke peringkat untuk mengantarabangsakan pergerakan belia ini termasuk mengadakan rangkaian dengan negara jiran seperti Indonesia dan negara lain," katanya.

Pemegang Kad Kredit Bakal Mula Bayar Cukai Perkhidmatan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pemegang kad kredit boleh menjangka melihat jumlah cukai perkhidmatan yang patut dibayar dalam penyata mereka secara berasingan, yang mana dikenakan cukai semasa pengeluaran, pada tempoh genap setahunnya, atau semasa diperbaharui.

Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) semalam berkata, sekiranya kad kreditbaharu dikeluarkan tahun depan sah bagi satu tahun, cukai perkhidmatan RM50 akandikenakan pada tarikh ia dikeluarkan.

Bagaimanapun, jika kad baharu dikeluarkan bagi tempoh lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh pengeluaran dan setiap tarikh genap setahun berikutnya.

Bagi kad sedia ada yang sah untuk lima tahun, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada tarikh genap setahun pengeluaran bermula 2010.

Ini kerana cukai perkhidmatan RM50 yang akan dikenakan bagi setiap kad utamadan RM25 ke atas setiap kad tambahan hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan,seperti yang diumumkan dalam Bajet 2010.

Persatuan itu berkata, cukai perkhidmatan tersebut tidak terpakai bagi kad-kad lain termasuk kad debit, kad petrol, kad caj, kad kesetiaan dan e-wang seperti "Touch n' Go".

Kelantan dilanda krisis dalaman, lagi...

Abdul Rahim Sabri


Kelantan kelihatan sedang menuju pergolakan baru dengan pengguguran dua setiausaha menteri besar, dipercayai diketahui seawal-awalnya hari ini.

Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, yang sebelum ini dianggap anak didik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mula melancarkan kritikan terselindung berhubung perlunya sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan daripada kepentingan kekeluargaan.

Menulis di blognya Cetusan Hati semalam, Husam bagaimanapun tidak menyebut secara jelas perkembangan politik di negerinya tetapi membangkitkan kritikan orang ramai terhadap dua mantan perdana menteri apabila kedua-duanya dilihat lebih mengutamakan keluarga sendiri.

Beliau juga mengingatkan betap pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif "parti Asri sekeluarga."

Sementara itu, setiausaha politik menteri besar Anual Bakhri Haron berkata kedudukan beliau dan Mohd Saiba Yaakob dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Harian PAS jam 3 petang ini.

Dihubungi Malaysiakini pagi, Anual berkata beliau tidak ada apa-apa masalah untuk melepaskan jawatan tersebut kerana "sebelum ini selalu bercakap kemungkinan untuk melepaskan jawatan ini".

"Saya tidak ada apa (masalah), saya sudah berkhidmat 10 tahun," katanya.

Ditanya sama ada pengguguran tersebut disebabkan perkembangan dan pergolakan yang berlaku di Kelantan, Anual berkata: "Saya tidak pergi sejauh itu."

Kerajaan Negeri Peruntuk Enam Juta Bangunkan Sekolah Agama Rakyat

TV SELANGOR


Kerajaan Negeri memperuntukan enam juta ringgit dalam usaha menaiktaraf sekolah agama rakyat yang selama ini terpinggir.

Menyedari sumbangan besar institusi pengajian Islam kepada pembangunan masyarakat madani, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata peruntukan ini bertujuan menaiktaraf kualiti bangunan dan prasarana sekolah pondok yang usang.

Menurutnya, Pondok Bustanul Arifin yang terletak di Banting ini antara pusat pengajian agama yang menerima peruntukan tersebut bagi tujuan membaik pulih bangunannya yang sudah daif.

Pusat pengajian yang diasaskan Ustaz Ahmad Ansori Murshid ini dibangunkan sejak tahun 2003 dan kini mempunyai bilangan pelajar seramai 130 orang.

Dr Halimah berkata demikian kepada TV Selangor selepas merasmikan Majlis Penutup Kem Bina Iman, di pusat pengajian itu petang semalam.

Dalam acara tersebut, seramai 160 pelajar lelaki seluruh Selangor dihimpunkan dalam program jati diri Kem Bina Iman di Banting Selangor.

Dr Halimah Ali berkata kem lapan hari tujuh malam dengan kerjasama Pusat Pengajian Pondok Bustanul Arifin bertujuan membangunkan potensi diri setiap pelajar selain mengenal pasti masalah mereka melalui modul SPIES.

“Program Generasi Idaman Selangor dimana kita cuba mencegah anak dari pelbagai latar belakang khususnya dikalangan remaja belia ini yang mana mereka ini datang daripada seluruh Selangor dan kita tempatkan disini 8 hari, ada yang sebulan,ada yang tiga hari dan ada diantara kalangan mereka ini anak-anak atau remaja yang telah terjebak dalam gejala sosial bahkan ada yang ditahan oleh polis untuk ke pondok ini”,katanya.

Isnin, 28 Disember 2009

Hasan dan Khalid belum diputuskan bersalah - Tuan Ibrahim

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Keputusan Jawatankuasa disiplin PAS untuk memanggil Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali dan Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad merupakan proses biasa untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak, kata Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS berkata, pihak jawatankuasa telah meneliti dokumen mengenai kedua-dua individu terbabit yang diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan.

"Setelah bermesyuarat pada Sabtu lalu, pihak jawatankuasa mendapati ada satu keperluan untuk memanggil kedua-dua pihak bagi mendengar keterangan mereka. Ini adalah proses biasa dalam parti," katanya ketika dihubungi Harkahdaily petang tadi.

Beliau meminta pihak media tidak membuat laporan yang menggambarkan seolah-olah Hasan dan Khalid sudah dibuktikan bersalah kerana pihak jawatankuasa belum membuat apa-apa keputusan berhubung perkara itu.

"Buat masa sekarang, pihak jawatankuasa tidak boleh cakap mereka bersalah atau tidak sebab belum mendengar keterangan daripada mereka. Sebab itu lah jawatankuasa akan memanggil mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada kedua-duanya," kata beliau kepada Harakahdaily.

Pihak jawatankuasa, ujarnya, akan menghantar surat rasmi dalam masa terdekat ini kepada Hasan dan Khalid bagi meminta mereka hadir memberikan keterangan pada tarikh yang telah dipersetujui.

Menurutnya, Khalid akan dipanggil memberi keterangan pada 7 Januari, diikuti Hasan pada 9 Januari, iaitu dua hari berikutnya.

"Kita akan hantar surat rasmi kepada mereka berdua untuk hadir pada hari tersebut," katanya.

Tuan Ibrahim juga berpuas hati dengan maklum balas yang diberikan Hasan dan Khalid yang bersedia untuk dihadapkan ke jawatankuasa berkenaan.

Ditanya hukuman yang mungkin dikenakan kepada kedua-duanya, beliau berkata perkara itu tidak boleh ditentukan lagi kerana mereka belum dibuktikan bersalah.

"Kita tidak boleh cakap apa-apa lagi berhubung hukuman yang akan dikenakan kerana sekarang ini baru dalam proses mendengar keterangan.

"Bila cakap pasal hukuman, seolah-olah mereka memang bersalah. Sedangkan mereka masih belum diputuskan sebagai bersalah," tegasnya.

Hasan disiasat berhubung tindak tanduknya yang didakwa boleh menjejaskan Pakatan Rakyat manakala Khalid pula disiasat kerana membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.

Bolehkah PR Tumbangkan BN Satu Lawan Satu?

Oleh: GONOD (sabahkini)


NAIB Presiden Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey G Kitingan dengan nada yang lemah lembut ketika memberitahu wartawan diruang legar berkata ‘PRU13 nanti kita mahu satu lawan satu dengan BN’ di mana ungkapan itu merupakan ungkapan sulung beliau sejurus selepas beliau dilantik semula ke jawatan asal PKR setelah ‘de-facto’ Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dikatakan tidak menerima perletakkan jawatan Dr Jeffrey termasuk Christina Liew.

Bagaimanapun persoalan lain yang masih menjadi tanda tanya banyak pihak bahawa kelahiran ‘Parti Cinta Sabah’ atau lebih dikenali PCS, apakah benar Jeffrey tidak terlibat langsung dengan PCS yang kini sedang dalam proses kelulusan pendaftaran daripada ROS (Registrar of Societies).

Jikalau jawapan beliau ‘tidak’, beranikah orang orang kanannya melakukan pendaftaran PCS tanpa restu daripada beliau sendiri atau mungkinkah rancangan mendaftar PCS sebagai suatu ‘ploy’ untuk ‘menggertak’ kepimpinan PKR pusat khususnya MP Batu, Tian Chua yang menjadi ‘orang tengah’ menyelesaikan krisis itu supaya melakukan sesuatu yang lebih cepat seperti yang dijangkakan.

Di sudut yang lain, sungguhpun PCS belum sah sebagai sebuah parti politik yang terdaftar dengan ROS namun kelahirannya sangat dinanti-nantikan rakyat tempatan di sini khususnya masyarakat KDM yang ‘align’ dengan Dr Jeffrey suatu ketika dulu.

Malahan kumpulan ini tidak akan berganjak dengan keputusan mereka untuk terus menghuni ‘sulap baru’ seperti PCS walaupun dalam keadaan serba kekurangan namun itu bukan penghalang utama kepada mereka untuk terus memperjuangkan ‘visi dan misi’ rakyat Sabah yang kini dahagakan ‘kebebasan bersuara’ semoga suara rakyat dapat didengari oleh pihak-pihak tertentu.

Meskipun pemergian ‘The Little Huguan Siou’ (merujuk kepada Dr Jeffrey) kembali semula ke pangkuan PKR namun pengikut-pengikut beliau yang sebilangan besarnya di kawasan Pedalaman tidak akan mengikut jejak langkahnya malah mereka akan terus bertahan sehingga berapa lamapun dalam ‘sulap baru PCS’.

Senario seumpama ini sukar untuk mempercayai bahawa gagasan PR akan dapat membulatkan tekad dan matlamat mereka untuk menyusun strategi ‘satu lawan satu bagi menentang BN’ pada PRU13 sepertimana yang diungkapkan Dr Jeffrey.

Persoalan lain, bagaimana pula dengan SAPP, PCS (jika lulus pendaftaran), Bersekutu yang bukan dalam gagasan PR? Sudah pastilah parti-parti yang berada di luar PR juga akan turut meletakkan calon-calon mereka.

Seperkara lagi yang mengekang kelancaran keberkesanan strategi itu, antara lainnya ialah kesepaduan dalaman PR itu sendiri juga sehingga kini belum kelihatan kelibat kekuatan mereka apatah lagi PKR yang sering bercakaran sesama sendiri.

Gagasan PR khususnya pemimpin-pemimpin DAP yang lebih cenderung menjadikan masalah jambatan, pondok bas, jalanraya sempit dan sebagainya sambil merakamkan gambar-gambar bersama pemimpin mereka untuk mengeksploitasikan kelemahan pembangunan kerajaan sebagai isu dan modal politik mereka adalah kurang berkesan malah membosankan rakyat kerana apa juga yang dilakukan DAP itu, rakyat menyifatkannya sebagai NATO (No Action Talk Only).

DAP harus bijak memilih isu yang boleh menarik perhatian masyarakat Tiong Hua terutamanya bagi pengundi Tiong Hua yang mendiami kawasan perumahan, bandar dan bandaraya kerana di Sabah secara tradisinya DAP dianggap sebagai sebuah parti untuk masyarakat Cina meskipun umum telah tahu bahawa DAP juga sebuah parti berbilang kaum (multi racial party).

Kesimpulannya, PR atau parti-parti pembangkang yang bukan dalam gagasan PR termasuk PCS yang sedang menunggu kelulusan pendaftarannya dari pihak ROS, harus mencari suatu pendekatan atau formula yang lebih berkesan untuk menumbangkan kerajaan BN di Sabah pada PRU13 akan datang ini.

BN di saat ini bukannya kuat sangat dan ia diibaratkan sebuah kapal bocor yang terselamat dari kimpalan sahaja dan akan bocor semula pada bila-bila masa apabila kapal itu melanggar batu karang yang kukuh dan karam di tengah lautan.

Apa salahnya berdoa senja hujung tahun?

Subky Latif


SEJAK mazhab Syafie tiba ke Malaysia sebelum kedatangan penjajah Portugis pengikutnya beramal, berdoa setiap senja hujung tahun hijrah, mohon bertaubat dan diampun segala dosa sebelumnya atau sepanjang tahun yang lalu.

Selepas saja selesai solat Maghrib yang pertama di awal tahun baru hijrah itu mereka berdoa pula mohon keampunan dan sejahtera kehidupan tahun baru itu.

Berdoa itu memang disuruh tetapi para serjana Islam mutaakhir ini menyebut tiada nas dari Al-Quran dan Sunnah menetapkan doa hujung tahun itu dibuat senja menjelang berakhirnya tahun itu.

Berdoa itu dibenarkan tetapi tidak semesti senja, bila-bila masa saja pada hari terakhir boleh berdoa baik pagi mahu pun petang.

Pandangan baru itu tidak melarang berdoa sebelum masuk Maghrib hari terakhir tetapi jangan ditetap itu saja masanya.

Kalau ia ditetap, ditakuti jadi lain pula hukumnya. Elok doa itu ibadat, takut tidak jadi ibadat lagi. Malah boleh berdosa pula.

Tetapi berdoa senja itu menjadi amalan orang mazhab Syafie di Nusantara. Siapa yang memulakannya? Dan ia tidak ditakwil pula oleh alim ulama sejak sebelum kedatangan Peringgi lagi.

Tentunya ia tidak dicetus oleh orang jahil termasuk pujangga dan para filosof. Tentunya ia disarankan oleh ulama dan sepakat pula ulama hingga ke awal tahun 1900 tidak mentakwil. Sepakat mereka dari semasa ke semasa berdoa sebelum masuk Maghrib.

Adakah mereka tidak tahu tiada nas yang menetapkan begitu? Takkanlah tertutup terus fikiran mereka hingga tiada yang terfikir tiada nas yang menentukan begitu tetapi mereka terus beramal begitu.

Sekarang ia ditakwil. Tetapi tidakkah terfikir para sarjana sekarang untuk menyelidik bagaimana adanya dan mulanya kesepakatan pengikut mazhab Syafie Nusantara beramal begitu?

Kebanyakan ulama besar silam dari Nusantara datang dari dua wilayah iaitu Pattani dan Negeri Banjar. Masyhur hingga ke Mekah sejak dulu lagi. Antara mereka Mekah itu seperti rumah kedua. Bagitu berinteraksi mereka dengan sekalian ulama yang datang bernaung di Mekah.

Hingga sumber hukum bagi ulama Tanah Melayu terletak atas empat asas iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, ijmak ulama dan qias.

Tidak bolehkah kita bersangka baik terhadap ulama tua dulu bahawa mereka juga sedar akan tiadanya nas al-Quran dan Sunnah mengenainya? Tetapi tidakkah mereka sudah ijmak tentang doa hujung tahun itu dan masa terbaiknya ialah senja menjelang waktu tertutupnya tahun baru itu?

Bila tiada yang takwil, tidakkah ia tetap dengan kehendak ijmak ulama? Dan apakah sepanjang lima kurun Islam berada di Nusantara, ulamanya tidak mampu berijtihad dan berfatwa? Adakah agaknya ulama silam itu tidak teliti dan tidak berpegang kepada ilmu seperti yang dikehendaki oleh Islam?

Tidak mungkinkah mereka mendirikan pondok-pondok di seluruh alam Melayu termasuk Di Filipina ssebelum kedatangan Sepanyol empat ratus tahun dulu berqias bahawa waktu terbaik berdoa di hujung tahun itu ialah sejurus sebelum tenggelamnya matahari hari terakhir itu?

Kalau sehari suntuk berpuasa itu sejak terbit fajar hingga terbenam matahari. Tidak sempurna puasa juka berbuka sesaat matahari terbenam. Sehingga masuk matahari barulah dikira sehari puasa.

Maka menabahkah diqiaskan genap setahun itu bermula dari masuk Maghrib pertama tahun itu hinggalah masuk Maghrib terakhir di hujung tahun.

Soal bila waktu yang terabik doa itu makbul di hari terakhir itu tidak timbul. Pagikah? Tengash harikah? Atau senjakah?

Yang pentingnya berdoa.

Kita boleh berdoa pagi. Tetapi boleh diqiaskan tahun itu belum penuh dan ada beberapa jam lagi sebelum berakhir. Begitu juga tengah hari, ada enam jam lagi atau waktu Asar ada dua atau tidak jam lagi.

Waktu beberapa jam itu berkemungkin ada lagi tambahan dosa. Satu atau dua jam pun dosa juga. Dan apabila doa itu dibuat pada minit-minit terakhir, maka genap setahun kita bersyukur atas segala nikmat yang diberi, kita bersyukur hingga ke saat yang terakhir dan kita mohon taubat dan minta ampun segala dosa hingga ke minit yang terakhir.

Bukanlah kita tidak berdoa langsung minta keampunan di sebelah pagi dan tengah hari. Kita berdoa juga, tetapi sampai habis tahun kita berdoa juga.

Walaupun apabila masuk saja tahun baru kita mohon taufik, hidayat, syufaat, keampunan dan kesejahteraan untuk sepanjang tahun, tetapi tidaklah memadai dengan sekali berdoa di awal tahun itu kita tidak berdoa lagi. Hingga ke hujung tahun kita tidak puas-puas mahu berdoa lagi.

Bukan Allah tidak faham kita sudah berdoa sebaik saja masuk tahun baru, tetapi Allah suka berdoa lagi dan lagi sehingga habis tahun dan disambung semula di tahun yang akan datang.

Mungkin kita tidak tahu sejarah dan latar belakang doa itu digalakkan pada waktu senja, kerana tidak terjumpa nas tentang ia misti dibuat waktu itu, maka takut berlaku kegelinciran.

Untuk bersangka baik kepada sekalian ulama lama, tentu adalah sandaran dan pegangan mereka menggalakkan berdoa lewat. Sekalipun tidak diketahaui sandaran mereka dari nas yang nyata, tetapi yang jelas mereka sepakat atau ijmak. Majoriti diyakini jujur dengan ilmu dan disiplin ilmunya, mereka juga tentulah teliti dan juga takut kepada Allah dan dosa.

Oleh kerana kerja-kerja mereka tidak sepenuh dicatitkan, tiada rekod bagi dijadikan saksi, tidak seteliti perawi hadis merakamkan hadis, maka buktikan seperti rekod tentang hadis sahih.

Perlu diingat, tetang tiada nas mengenainya adalah ingatan yang baik supaya kita tidak berkata ia dari al-Quran dan Nabi SAW, tetapi supaya terhindar dari memfitnah para ulama, kita boleh beranggapan ada gias dan ijmaknya.

Tidak kita terfikir ada penyelidikan mengenainya?

Cabaran Tun Mahathir, apa lagi kerajaan mahu tunggu?

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera bertindak menubuhkan suruhanjaya bebas seperti dicabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyiasat dirinya dan juga seorang lagi mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Mahathir dan Tun Abdullah kini dipalitkan dengan dakwaan masing-masing RM100 bilion dan RM270 bilion lesap akibat rasuah dan pembaziran di zaman pemerintahan mereka.

Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan tidak perlu menunggu lebih lama lagi, memandangkan Tun Mahathir sendiri mempersoal penggantinya Tun Abdullah sewaktu menjadi Perdana Menteri.

"Apa lagi kerajaan nak tunggu, perkara itu diakui oleh bekas PM sendiri, kerajaan perlu bertindak segera, sama ada tubuh Suruhanjaya Di Raja ataupun Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen menyiasat dakwaan ini", katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pendedahan buku tersebut juga tidak mustahil benar memandangkan institusi negara katanya telah rosak dan sesiapa pun menjadi perdana menteri, perkara sama tetap akan berlaku.

"Memang kerajaan ni korup dan penuh dengan penyelewengan. Zaman Najib sekarang pun sama, PKFZ la enjin jet hilang la, selagi tiada perubahan dalam institusi, siapa naik jadi PM pun perkara sama tetap akan berlaku", katanya lagi.

Sebelum ini sebuah buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, karangan Barry Wain membuat pendedahan mendakwa Tun Mahathir menghanguskan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

Ekoran pendedahan itu, beberapa pihak mendesak kerajaan segera menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat Tun Mahathir.

Tun Mahathir sewaktu mengulas dakwaan itu bagaimanapun meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang RM270 bilion sepanjang lima tahun kepemimpinan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam perkembangan sama Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib segera menubuhkan suruhanjaya bebas seperti dicabar Tun Mahathir.

"Sebenarnya Mahathir mencabar pemerintahan Umno-Bn yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak. Najib tidak perlu bertangguh-tangguh atau berdolak-dalik dan harus membentuk segera Suruhanjaya tersebut," katanya.

Suruhanjaya itu katanya hendaklah diberi bidang kuasa luas bagi menyiasat pendedahan Barry Wain dan juga mengkaji segela bentuk rasuah dan pembaziran yang dikaitkan dengan mantan PM Mahathir itu.

Bahkan tegasnya , jika perlu dan sesuai, suruhanjaya ini boleh juga mengkaji segala yang belaku di bawah pemerintahan Abdullah badawi, sebgaimana didakwa dan didesak oleh Mahathir.

Beliau turut mencadangkan agar suruhanjaya tersebut dianggotai bukan saja oleh hakim serta bekas hakim, tetapi juga tokoh-tokoh politik kerajaan serta bukan kerajaan dan tokoh-tokoh professional bagi menjamin ketelusan penyiasatan.

"Seharusnyalah ada jaminan supaya segala perakuan Suruhanjaya diambil tindakan oleh Kerajaan serta pihak berkuasa lain. Janganlah hendaknya ia ditimpa nasib seperti suruhajaya mengenai polis dan “Pita Lingam”, katanya.

Desakan keluar Pakatan seperti usaha kudeta di Perak – PJ Perak

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain tidak menolak kemungkinan demontrasi 21 pemuda mendesak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat di Selangor merupakan suatu usaha menjatuhkan kerajaan negeri itu.

“Saya tak tolak kemungkinan ia suatu usaha mereka (Umno) untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, seperti kudita yang mereka buat di Perak,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily tengahari tadi.

“Semacam di Perak, mereka (Umno) cuba adakan pelbagai helah dan demonstrasi, modul ini yang kita lihat di Perak sejak Umno tak perintah kerajaan negeri itu lagi,” katanya.

Selain menyamakan demontrasi tersebut dengan demonstrasi mengarak kepala lembu September lalu, beliau mengganggap demonstrasi tersebut dilakukan oleh segelintir yang kecewa melihat PAS bersama-sama Pakatan Rakyat memerintah Selangor sejak 8 Mac tahun lalu.

“Sama seperti demonstrasi kepala lembu berdarah sebelum ini, perhimpunan ini mungkin didalangi mereka yang kecewa apabila Umno (dan) BN gagal menguasai (kerajaan negeri) Selangor,” jelasnya.

Sekiranya anggapan tersebut benar, beliau menasihatkan kepemimpinan PAS negeri serta Pakatan Rakyat Selangor supaya tidak cepat melatah dengan aksi-aksi pemuda terbabit.

“Saya lihat PAS dan Pakatan sepatutnya tidak mudah melatah dengan permainan mereka (Umno) ini yang sengaja mencari isu (dan) jalan (tektik) walaupun tidak bermoral asalkan boleh boleh rampas Selangor seperti mereka kudeta Perak,” jelasnya.

“Keduanya, PAS dan Pakatan Rakyat sepatutnya lebih usaha mengeratkan persefahaman, semacam yang dituntut dalam Konvensyen (Pakatan Rakyat) baru-baru ini,” tambahnya.

Semalam, lebih 21 pemuda melancarkan demonstrasi kerana mengganggap PKR dan DAP mengetepikan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat ketika mentadbir negeri itu.

Mereka yang diketuai Wan Hilman Abdul Halim dilaporkan mahu menyerah memorandum kepada Pesuruhjaya PAS Datuk Dr. Mohd Hassan pagi tadi, namun gagal.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya mengarahkan Badan Perhubungan PAS Selangor supaya menyiasat dalang di sebalik perhimpunan misteri tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menegaskan bahawa mereka yang terbabit sebenarnya tidak mewakili PAS negeri itu.

Tamatkan Perkhidmatan MiG-29 Untungkan Orang Tengah?

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Benarkah tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang MiG-29 yang bernilai ratusan juta ringgit tahun depan dipengaruhi 'orang tengah' yang bakal mengaut keuntungan hasil jual beli pesawat berkenaan

Itu persoalan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut mempertikaikan pelupusan jet-jet yang berusia tidak sampai 20 tahun terbabit sedangkan India dan Rusia masih menggunakannya dalam tempoh lebih lama.

Bekas Perdana Menteri itu hairan bagaimana kerajaan mahu menggantikan pesawat pejuang pemintas itu dengan yang baru dalam keadaan ekonomi negara masih tidak menentu sekarang.

"Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta ringgit) kepada orang tengah. Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru," tegas beliau dalam blog popularnya, Che Det di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang berkata perkhidmatan MiG-29 akan diberhentikan pada tahun depan.

Ahmad Zahid memberitahu, penamatan perkhidmatan pesawat selama 10 tahun itu kerana peningkatan ketara kos penyelenggaraan dan operasi jet-jet MiG-29N sebanyak 16 pesawat itu.

Antara pesawat yang menjadi pertimbangan untuk menggantikan skuadron itu ialah SU-35, FA-18 E/F Super Hornet, JAS Gripen, Eurofighter Typhoon, Dassault Aviation Rafael, F-16 C/D Block 52 dan mungkin juga F-15 Eagle.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan sepatutnya membaik pulih pesawat-pesawat berkenaan dengan menggunakan kepakaran Rusia dan India yang turut menggunakan pesawat pejuang yang sama jika tentera Udara Diaraja Malaysia (TUDM) tidak mempunyai kepakaran.

"Tak bolehkah kita baik pulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh. Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," tegasnya.

Kata beliau, banyak yang telah dibelanjakan untuk membeli dan menyelenggara jet-jet berkenaan, malah perbelanjaan akan bertambah jika kerajaan berhasrat membeli pesawat baru

"Walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga. Kalau lupuskan ratusan juta ringgit akan hilang," jelas beliau.

Beliau berkata, walaupun pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat (AS) kononnya tahan lebih lama seperti pembelian FA-18 tetapi sebaliknya pembelian dengan negara itu tidak menguntungkan pertahanan Malaysia.

AS, kata Dr. Mahathir, mengenakan syarat yang sangat ketat sehinggakan pesawat FA-18 itu hanya boleh digunakan untuk pameran semata-mata.

"Mereka tidak beri source code yang mana ini mengehadkan kegunaan FA-18 untuk pameran sahaja," ujar beliau.

SPRM Cadang Lantik Pegawai Pendakwa Bebas

Oleh YENG AI CHUN


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang melantik pengarah undang-undang dan pendakwa bebas bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan suruhanjaya berkenaan.

Melalui cadangan seperti yang dibangkitkan oleh Makmal Rasuah di bawah enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) memerangi jenayah itu, pengarah bebas itu berkuasa memutuskan sesuatu kes tanpa merujuk kepada Peguam Negara.

Ketua Pasukan Pembantu makmal, Abdul Samat Kasah berkata, pegawai baru itu akan menentukan sama ada kes-kes tertentu perlu diteruskan ke mahkamah atau tidak.

“Ini bukan usaha mengambil alih kuasa Peguam Negara. Kuasa mutlak untuk mendakwa masih di bawah Peguam Negara dan cadangan ini tidak bertentangan dengan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan akhir masih oleh Peguam Negara. Apa pun jika keputusan wakil SPRM itu diubah, jawatankuasa kerja akan meneliti keputusan Peguam Negara sebelum meminta penjelasan," katanya kepada The Star di sini.

Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Peguam Negara berkuasa memulakan tindakan undang-undang, mengendalikan atau membatalkan mana-mana prosiding dalam mahkamah sivil.

Abdul Samat yang juga Penolong Pesuruhjaya SPRM berkata, wakil bebas itu akan berperanan sebagai pengimbang dalam suruhanjaya berkenaan.

Orang awam akan melihat kita lebih telus serta tiada campurtangan, ujarnya sambil memberitahu bahawa bekas-bekas hakim, peguam kanan atau firma guaman boleh dipertimbangkan mengisi jawatan tersebut.

“Ia jawatan kontrak. Kita tidak akan pilih mereka dari Pejabat Peguam Negara kerana akan dilihat bahawa dia akan dibayangi Peguam Negara dan tidak berani membuat keputusan sendiri,” tambahnya.

Pada masa ini, jawatan pengarah undang-undang dan pendakawaan dilantik di kalangan wakil dari Pejabat Peguam Negara.

Kata Abdul Samat, idea ini sedang diuji keberkesanannya dalam inkues Teoh Beng Hock apabila peguam Tan Hock Chuan dilantik mewakili Pejabat Peguam Negara.

Ditanya, bila kajian itu akan selesai sebelum dilaksanakan, beliau berkata, tiada had masa ditetapkan.

“Kami perlu melihat implikasi perundangan tapi kami berusaha keras untuk melaksanakan cadangan itu," tegasnya.

Cadangan tukar logo dacing BN

BERNAMA


Bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangakan agar BN merintis usaha penjenamaan semula termasuk memperkenalkan logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia.

Dalam proses penjenamaan semula itu untuk mendekatkannya dengan hati rakyat, Barisan Nasional hanya perlu "dipasarkan" dengan singkatan BN saja, katanya dalam laman webnya www.keruak.com.

Salleh, yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata penjenamaan BN itu amat penting kerana dalam suasana politik sekarang, rakyat sudah mempunyai pilihan, iaitu satu komponen BN dan satu lagi Pakatan Rakyat.

Untuk memastikan BN terus unggul dan relevan, beliau juga mencadangkan agar ia mewujudkan sistem keahlian secara terus.

"Menerusi kaedah baru ini, mereka yang komited atau minat dengan BN dan dasar serta pemimpinnya, tetapi tidak menyukai parti-parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking, akan dapat terus bersama kita," kata Salleh.

Namun, katanya, cadangan itu memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN.

Empat askar dituduh rogol gadis bawah umur

BERNAMA


Empat anggota tentera hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban kerana dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun pada 14 Disember lalu.

Nor Effendi Mohd Yusof, 22, Muhammad Khairi Mohd Rashid, 22, Ismail Darus, 20, dan Mohammad Shahrul Md Noor, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Amran Jantan.

Ia didakwa berlaku di sebuah kereta di kawasan kebun pisang dekat Masjid Kampung Teluk Pelandok, Pasir Panjang, Port Dickson, antara jam 2.10 dan 2.40 pagi.

Nor Effendi menghadapi dua pertuduhan iaitu rogol dan samun, Ismail dan Muhammad Khairi pula dikenakan satu pertuduhan rogol, dan Mohamad Shahrul dikenakan dua pertuduhan rogol.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa ASP So Phon dan mereka kesemua tidak diwakili peguam.

Keempat-empat tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin.

Kes akan disebut semula pada 29 Januari tahun depan.

Aduan polis terhadap 'penyokong, pengundi PAS'

Salhan K Ahmad
(kemaskini 3.06pm)


Pemuda PAS Selangor hari ini membuat aduan polis berhubung tindakan seorang peserta demonstrasi yang didakwa menyamar sebagai ahli parti, kata seorang pemimpin dewan tersebut.

Aduan yang sama turut dibuat terhadap sekumpulan kira-kira 20 peserta demonstrasi itu, semalam, yang didakwa cuba mensabotaj parti itu dalam hubungannya dengan Pakatan Rakyat.

Timbalan ketua dewan tersebut Ahmad Zaidi Abdul Mutalib membuat laporan itu di Shah Alam tengah hari ini, menggesa polis menyiasat perhimpunan yang menggelarkan diri mereka Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi PAS Selangor (GKPPPS) di hadapan ibu pejabat parti itu semalam.

Setiausaha dewan itu Khairul Fahmi Mat Som, yang berada di ibu pejabat polis daerah tersebut, berkata aduan itu menamakan jurucakap GKPPPS Wan Hilman Wan Abd Rahim yang mendakwa dirinya ahli PAS Gombak.

"Jadi laporan polis ini kita fokuskan juga kepada Wan Hilman kerana dia mengaku sebagai ahli PAS sebab kita nampak dia cuba menyamar sebagai ahli PAS," katanya kepada Malaysiakini selepas aduan tersebut.

"Saya tidak pasti (Wan Hilman) itu orang parti mana, yang pasti dia bukan penyokong PAS."

Tambahnya, beliau sendiri tidak dapat mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab menganjurkan demonstrasi tersebut yang menuntut PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dengan alasan dipinggirkan oleh PKR dan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Pemuda PAS Gombak Syarhan Humaizi Abd Halim pula, yang turut hadir semasa laporan polis itu dibuar, berkata aduan dibuat setelah mendapati kumpulan tersebut bukanlah mewakili PAS kawasan itu seperti didakwa.

"Kita mendapat kepastian mereka bukanlah daripada kalangan ahli kita, lebih-lebih lagi jurucakap mereka bernama Wan Hilman Wan Abd Rahim," katanya.

"Kita sudah semak dan mereka bukan ahli PAS Gombak."

Tambahnya, kepastian itu diperolehi selepas membuat semakan dengan pangkalan data senarai keahlian PAS.

"Kita dapati ini adalah cubaan untuk sabotaj (Pakatan Rakyat) dan memburuk-burukkan PAS di Selangor sebab mereka berdemo untuk minta PAS supaya jangan digunakan DAP, tetapi mereka bukan ahli PAS," katanya lagi.

Gambar Demonstrasi "Penyokong PAS" Selangor Desak PAS Keluar Pakatan

Oleh triple_j


SHAH ALAM — Khabar angin berhubung pesanan SMS yang disebarkan sejak kelmarin terjawab pagi tadi apabila sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor mendesak parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) negeri dengan segera.Mereka mahu PAS bertindak demikian ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu sebenarnya.

Ketua kumpulan itu, Wan Hilman Abdul Rahim berkata pihaknya merasakan rakan sekutu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba membelakangi PAS dalam membuat keputusan walaupun parti itu turut berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.




Wan Hilman yang juga ahli PAS dari Bahagian Gombak menafikan dakwaan kononnya kumpulannya didalangi Umno Selangor dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka dalam jumlahnya kira-kira 20 orang tidak sempat menyerahkan memorandum hari ini kerana pejabat ditutup.

Sebaliknya ia akan diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali esok pagi di pejabatnya di sini.





















“Kami merasakan PAS dipermainkan dan dibelakangi dalam membuat keputusan... kami tidak puas hati dengan cara kerajaan negeri Selangor menjaga rakyat, khususnya bangsa Melayu dan kepentingan Islam.

“Justeru, kami mahu PAS mengkaji semula kedudukan mereka dalam pakatan rakyat di Selangor,” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman bersama 21 penyokong PAS bagi mendesak parti itu keluar daripada pakatan pembangkang di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Laporan Harakah Daily semalam yang memetik kiriman SMS berkata perhimpunan itu akan diadakan di pekarangan pejabat Perhubungan PAS Selangor di sini hari ini.

Sempena perhimpunan itu, menurut SMS tersebut, satu memorandum akan diserahkan, yang bakal diterima sendiri oleh Hasan.

“Perhimpunan mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat. Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...,” tulis SMS itu dipetik portal tersebut.

sumber: http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2009/12/gambar-demo-penyokong-pas-selangor.html

Umno/ BN Kononnya Membela Rakyat, Tapi Yang Senang Adalah Wakil Rakyat !

Wartawan Buletin


DUNGUN – Tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said meminta rakyat memilih Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam majlis yang dianjurkan oleh kerajaan dibidas oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli.

Menurutnya adalah tidak profesional sebagai seorang Menteri Besar meminta sokongan dari rakyat kepada partinya dalam majlis yang dianjurkan dengan peruntukan kerajaan.

”Sumbangan kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan, ia menggunakan peruntukan kerajaan, duit rakyat, bukannya daripada duit parti,

”tidak munasabah sebagai seorang MB meminta rakyat menyokong partinya,”tegasnya ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Sumbangan Pakaian Sekolah, di sini, Ahad 27 Disember.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ahmad Said meminta ibu bapa yang hadir memilih Umn/BN dalam pilihanraya akan datang ketika berucap dalam satu Majlis anjuran Yayasan Terengganu baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata beliau, walaupun PAS bukan sebuah parti yang memerintah namun wakil-wakil rakyatnya tetap memberikan sumbangan dan bantuan kerana ia adalah merupakan satu tanggungjawab

Oleh sebab itu, katanya, wakil-wakil rakyat PAS tidak hidup mewah kerana keutamaan dan kepentingan mereka adalah kepada rakyat.

Katanya, ia bukanlah satu ‘retorika’ yang hanya cakap-cakap kosong sebagaimana slogan yang dibawa oleh Umno dan BN, ‘Rakyat Didahulukan, pencapaian diutamakan’.

”Cuba kita tengok hari ini, bila bercakap bahawa keutamaan (adalah) kepada rakyat, tapi bila naik, yang senang pemimpin-pemimpin yang jadi wakil rakyat,

”lihat kereta masing-masing, lihat rumah masing-masing, lihat pakaian kemegahan masing-masing,

”tapi bila turun ke kampung (bertemu rakyat), (mereka berkata) kita akan bela rakyat, kita akan akan bela (orang) Melayu,”jelasnya

Justeru, beliau berkata, rakyat harus menilai parti yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, atau parti yang berkhidmat dengan wang rakyat.

”Sebab itu sangat penting bagi kita (rakyat) menilai dan memilih (PAS) parti yang terus memberikan sumbangan walaupun tidak sebuah kerajaan, bayangkanlah kalau PAS menjadi kerajaan,”ujarnya ketika berucap dalam di Majlis tersebut.

Seramai 87 orang anak-anak Ibu Tunggal dalam DUN Sura telah diberikan sepasang pakaian sekolah, sempena pembukaan sessi baru persekolahan tidak berapa lama lagi.

Gadis kematian bakal tunang reda majlis batal

BERITA HARIAN ONLINE


KANGAR: Gadis yang dijadualkan bertunang dengan seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam nahas bas di Plaza Tol Ipoh Selatan kelmarin, sedih tetapi reda apabila majlis yang bakal berlangsung di rumahnya petang semalam, terpaksa dibatalkan.

Rosma Abdullah, 23, bakal tunang Allahyarham Noor Jismi Noordin, berkata beliau dan keluarga membuat persiapan rapi untuk majlis pertunangan yang dirancang selepas solat Asar di rumahnya di Jalan Harumanis, Sungai Batu Pahat, dekat sini.

“Selain menempah kek memaparkan gambar bersama bakal tunang dan menyiapkan kebaya moden untuk dipakai pada majlis pertunangan hari ini (semalam).

“Pagi tadi (semalam), keluarga membawa pulang kek yang ditempah beberapa hari lalu dari kedai di Kangar untuk diserahkan kepada saya. Kami juga sudah membeli cincin tunang di Alor Setar, pada 3 Disember lalu.

“Arwah yang memilih cincin berharga RM280 untuk disarungkan ke jari saya, tetapi kini semuanya tinggal kenangan,” kata Rosma di rumahnya, di sini.

Noor Jismi antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas bas dua tingkat, Sani Express Sdn Bhd yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara, awal pagi kelmarin.

Mangsa baru beberapa bulan bekerja di bahagian percetakan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, menaiki bas itu untuk pulang ke Perlis bagi melangsungkan majlis pertunangannya.

Rosma berkata, kejadian itu sukar dilupakan kerana kehilangan insan tersayang pada saat akhir melangsungkan majlis pertunangan.

“Saya masih menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar Noor Jismi kepada rakannya pada malam sebelum kemalangan yang mahu kepulangannya ke Perlis dirahsiakan.

“Sebelum itu, arwah berkali-kali menyatakan tidak mahu pulang menyebabkan saya hilang tumpuan tetapi sebenarnya arwah mahu merahsiakan kepulangannya dan bercadang membuat kejutan muncul pada majlis berkenaan,” katanya.

Pas Selangor didesak keluar pakatan pembangkang

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Gerakan Penyokong dan Pengundi Pas Selangor mendesak parti itu keluar daripada pakatan pembangkang berikutan rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu.

Wakil kumpulan itu, Wan Hilman Wan Abdul Rahim, berkata pihaknya merasakan rakan sekutu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP cuba membelakangi Pas dalam membuat keputusan walaupun parti itu turut berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengadakan satu demonstrasi aman dan berhasrat menghantar memorandum kepada kepemimpinan Pas Selangor semalam, atas kesedaran pengundi Pas yang melihat parti itu dipermainkan rakan sekutu dalam PR.

Bagaimanapun, katanya, memorandum itu gagal diserahkan kepada pemimpin Pas Selangor, berikutan pejabat Pas Shah Alam yang juga Pusat Khidmat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, tutup.

Wan Hilman yang mendakwa ahli Pas bahagian Gombak berkata, berikutan itu, pihaknya akan menghantar memorandum tiga halaman itu pagi ini.

Mayat bayi dalam beg plastik

Orang ramai temui janin terdampar di Sungai Klang

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam sebuah beg plastik yang diletakkan di atas pelantar konkrit berhampiran Sungai Klang di Jalan Jelatik, Datok Keramat di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mayat bayi yang masih mempunyai uri itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 1 petang.

"Bayi perempuan itu dianggarkan antara lapan hingga sembilan sentimeter (sm) panjang dan berkemungkinan baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam.

"Polis tidak menolak kemungkinan sama ada bayi terbabit dibuang di tempat lain dan hanyut kemudian terdampar di situ atau sememangnya ditinggalkan di situ," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Katanya, mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini untuk bedah siasat.

"Ini perbuatan tidak berperikemanusiaan dan kejam kerana membabitkan nyawa seorang bayi tidak berdosa.

"Kita akan tunggu laporan bedah siasat sebelum mengambil tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil untuk membantu siasatan.

Akhbar semalam melaporkan penemuan mayat seorang bayi terapung di kawasan rekreasi Lata Renyut, Kuala Balah di Jeli, Kelantan.

Lebih menyedihkan bahagian kepala bayi itu hancur dan ditemui di celah batu kawasan rekreasi terbabit.

Rakyat kita jadi buruh paksa sepanjang tempoh tahanan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Lima nelayan Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Pontianak, Indonesia diarah menjadi buruh paksa membuat kerja berat termasuk mengangkat batu setiap hari untuk membina jalan berhampiran pusat itu.

Ahmad Faizol Sulong, 23, seorang daripada lima nelayan itu berkata, mereka melakukan kerja itu secara bergilir dengan 23 nelayan lain dari Vietnam yang turut ditahan di situ.

“Walaupun terpaksa melakukan kerja buruh, kami dilayan dengan baik dan bebas bergerak serta membeli barang keperluan di kedai tidak jauh dari pusat tahanan, ” katanya antara lima nelayan tempatan termasuk tekong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bulan lalu kerana dipercayai melepasi sempadan perairan negara berkenaan untuk menangkap ikan.

Ahmad Faizol berkata, mereka juga terpaksa memakai pakaian yang diberikan oleh nelayan dari Vietnam kerana tidak mempunyai pakaian ketika ditahan di pusat itu, malah untuk makan juga mereka berkongsi dengan nelayan Vietnam dan bergilir memasak setiap hari.

“Beberapa hari selepas ditahan di situ, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri datang melawat dan memberi sumbangan ketika datang melawat kami. Kami berterima kasih kepada beliau kerana wang disumbangkannya membolehkan kami membeli keperluan di kedai selama sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam

Mengimbau kembali kejadian beliau dan empat lagi rakannya ditahan pihak berkuasa Indonesia, Ahmad Faizol berkata, mereka terpaksa bersembunyi di bahagian enjin bot ketika pihak berkenaan melepaskan tembakan dan terkejut melihat lengan kiri tekong botnya, Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, berlubang dan berdarah akibat ditembak.

“Ketika itu kami sedang mengangkat bubu yang dipasang di dalam kawasan perairan Malaysia, iaitu kira-kira tiga batu nautika dari sempadan Indonesia. Tiba-tiba, kami terlihat sebuah kapal ronda negara jiran menuju ke arah bot kami naiki.

“Kemudian, kami lihat lapan anggota pasukan keselamatan Indonesia menaiki bot kami dan membuat pemeriksaan sebelum kami dibawa menaiki kapal ronda negara berkenaan. Ketika itu juga kelihatan dua helikopter dan sebuah jet milik negara jiran berlegar-legar di udara,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Arif Rosli, 20, berkata, ketika kejadian beliau memang takut dan hanya mampu berdoa supaya mereka selamat dan kejadian itu turut menyebabkan beliau trauma untuk turun ke laut lagi, sebaliknya mahu menjadi nelayan pancing selepas ini.

Bekas pensyarah anjur kelas dewasa belajar Jawi




UTUSAN ONLINE

SETIU - Biarpun tidak mendapat sebarang imbuhan, bekas pensyarah, Ayub Ahmad, 57, berasa bangga dapat menabur bakti mengajar tulisan Jawi kepada penduduk kampung khususnya warga emas melalui Kelas Dewasa Kampung Langkap dekat sini sejak enam bulan lalu.

Ayub yang sebelum ini berkhidmat di Institut Aminuddin Baki (IAB), Pahang merupakan satu-satunya tenaga pengajar di kelas dewasa itu yang kini telah menampung lebih 50 pelajar berusia antara 30 tahun hingga 70 tahun.

Mereka yang menyertai kelas secara percuma itu datang dari Kampung Langkap, Kampung Kasar, Kampung Merbau Menyusut dan Kampung Sungai Bari.

Ayub berkata, walaupun menganjurkan kelas itu secara percuma, dia gembira dapat memerah keringat bagi berbakti tanpa memikirkan soal wang ringgit.

''Bagi saya, itu bukan caranya untuk mendapatkan wang sebaliknya saya lebih gembira kerana dapat menabur ilmu agama yang ada pada diri saya secara percuma,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menerusi kelas dewasa itu katanya, golongan berkenaan dapat diajar dan dibimbing dalam bahasa ibunda secara lebih berkesan selain bacaan al-Quran.

''Kita mendapati ramai golongan dewasa serta warga emas tidak dapat menguasai Jawi dengan baik sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menulis dan membaca tulisan ini apatah hendak membaca al-Quran.

''Tetapi dengan adanya kelas dewasa seperti ini, saya akan mengajar mereka secara berperingkat seperti menulis, mengeja dan membaca Jawi,'' katanya yang pernah menjadi pensyarah Pengurusan Pendidikan Komuniti di IAB.

Kelas anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Langkap dengan kerjasama Masjid Kampung Langkap itu disertai kira-kira 30 orang ketika ia mula dibuka dan kini lebih 50 orang mengikutinya.

Ayub berkata, semasa kelas itu mula beroperasi, pelajarnya terpaksa menulis di atas lantai kerana ketika itu tiada lagi kemudahan meja.

Menurutnya, walaupun terpaksa belajar dalam kepayahan serta serba kekurangan, mereka tidak berputus asa untuk datang ke kelas itu bagi mempelajari bahasa Arab.

''Sungguh pun begitu, atas usaha para pemimpin JKKK kampung ini, kami mendapat bantuan meja dan kerusi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap, Asha'ari Idris yang akhirnya boleh menampung 60 orang,'' katanya.

Ayub memberitahu, pihaknya juga terpaksa menolak permohonan lain kerana kekurangan kemudahan kerusi serta meja.

Tidak perlu sidang malam jika tiada isu mengarut disentuh - BNBBC

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Sikap sesetengah ahli Parlimen yang membangkitkan isu mengarut dan tidak matang seperti membawa usul memotong gaji menteri, menjadi punca sidang Dewan Rakyat terpaksa dilanjutkan hingga ke malam.

Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, jika mereka tidak membuang masa dan bercakap benda yang berulang dan yang tidak patut maka waktu asal mesyuarat adalah mencukupi.

Katanya, justeru diharapkan pada masa depan perkara-perkara yang tidak perlu, dapat disekat awal-awal lagi daripada dibawa ke sidang melalui pendirian tegas oleh Speaker.

''Kalau kita perlu pinda peraturan, maka kita pinda. Jangan biarkan isu yang tak patut dibenar dibangkitkan. Macam pembangkang bawa usul potong gaji menteri, dua jam kita bazir masa bahas usul itu.

''Untuk apa, baik saya balik kawasan tolong rakyat yang kena banjir. Lagi bawa faedah. Jadi inilah perkara-perkara yang sebenarnya menyebabkan sidang diheret ke lewat malam. Kalau kita boleh bertegas, saya yakin masa yang diberi cukup,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mencadangkan supaya sidang Dewan Rakyat dihadkan agar tidak berlarutan ke sebelah malam.

Selain bagi mengelakkan 'Peristiwa 14 Disember' yang menyaksikan Bajet 2010 diluluskan dengan majoriti tipis, Rais berkata, apa yang lebih penting ialah kerana penggubal undang-undang juga mempunyai tugas lain selaku anggota Kabinet dan wakil rakyat.

Sementara itu Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, pihak pembangkang terutamanya dalam hal ini harus bersikap matang dalam berbahas serta mengemukakan usul.

Menurutnya, usul memotong gaji menteri sebanyak RM10 atau RM1 adalah contoh tepat bagaimana masa persidangan dibazirkan begitu sahaja tanpa ada apa-apa tujuan yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan kerajaan.

''Untuk apa? Nak malukan menteri? Pembangkang kena ingat, kerajaan adalah majoriti. Kalau kita kemukakan usul potong elaun anggota pembangkang macam mana? Kalau kita buat, memang lulus usul itu.

''Tapi ini beza antara kerajaan dan pembangkang. Kita tak mahu buat kerja macam itu. Kita bercakap soal yang boleh membawa kebaikan kepada negara bukan nak menghasut atau memburukkan orang lain,'' jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, masalah tersebut timbul kerana pembangkang tidak menyelaraskan isu hingga menyebabkan kadang-kadang sampai 20 orang wakil mereka bercakap hal yang sama.

Beliau yang juga Naib Pengerusi BNBBC berkata, sebab itu pembangkang perlu ada Ketua Whip agar dapat memberi tunjuk ajar kepada wakil mereka yang rata-ratanya muka baru supaya tidak bercakap benda yang sama berulang kali.

''Selain itu Menteri sendiri ketika sesi soal jawab lisan hendaklah terus kepada kehendak soalan. Tak payah berjela-jela macam bersyarah. Kalau ada nak buat, kata ya, kalau tiada, jawab saja tak ada. Contohi Britain, sesi soal jawab lisan boleh cecah 40 soalan untuk tempoh sejam.

''Saya juga nak minta ruang pertemuan disediakan agar ahli-ahli Parlimen kalau nak berjumpa orang tak payah keluar dari bangunan Parlimen.

''Insya-Allah kalau ini dapat dilakukan, maka kita tak perlu pun lanjutan waktu sidang. Namun jika ada keperluan sebenar, saya rasa ahli Dewan Rakyat tidak ada masalah, boleh dilanjutkan ke sebelah malam cuma jangan sampai lebih tengah malam,'' ujarnya.

Ahad, 27 Disember 2009

300 ribu HIV 2015, tutup punca maksiat di Melaka

Sofi Wahab


Dijangkakan 300,000 akan dijangkiti HIV di negara ini menjelang tahun 2015. Demikian laporan akhbar Sinar Harian edisi Melaka Negeri Sembilan hari ini. Angka ini amat menggerunkan kita semua kerana ianya merupakan bala dari Allah terhadap hambaNya yang melanggar perintahNya.

Semua kita faham bahawa antara punca HIV ini merebak ialah melalui seks bebas, penagihan dadah dan sebagainya.Oleh itu saya menggesa kerajaan negeri Melaka menutup semua tempat-tempat pelacuran dan maksiat di samping memberikan kesedaran Islam kepada semua rakyat di negeri ini khususnya umat Islam. Hanya dengan menutup punca merebaknya penyakit berbahaya ini Insya Allah ianya dapat dikawal dan dikurangkan.

Pusat-pusat hiburan yang menjadi tempat berlakunya mukaddimah zina dan seks bebas ini tumbuh bagai cendawan lepas hujan di Melaka. Pusat-pusat hiburan seperti Dangdut, Disko, Kelab Malam, Diskotique, Karaoke dan sebagainya menjadi tempat hiburan sementara kononnya untuk menghilangkan kerunsingan dan kekusutan fikiran.

Tempat-tempat hiburan begini menjadi pelabuhan pertama kupu-kupu malam sebelum meneruskan operasi berikutnya. Siapa yang tidak tahu Jalan Melaka Raya yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka. Ianya bagaikan mati di siang hari tetapi hidup dan harum pada malam hari.

Jumlah pusat-pusat hiburan di Jalan Melaka Raya ini sungguh banyak. Jika kita berkunjung ke kawasan ini pada malam hari kita akan dapat menyaksikan pelbagai gelagat manusia yang datang mengunjungi tempat-tempat hiburan ini seolah-olah kita bukannya berdiri di tengah-tengah negeri umat Islam tetapi lebih mirip kepada Hatyaai atau Phuket di Thailand.

Saban hari ada sahaja berita yang tersiar di dada akhbar tentang tertangkapnya orang Islam yang berkhalwat dan berzina di sekitar negeri Melaka.

Rumah urut, Spa, salon kecantikan dan sebagainya juga didakwa menjalankan ‘perniagaan sampingan’ demi untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain dari itu Bandar Melaka juga memang terkenal dengan pusat maksiat seperti rumah urut dan Pusat Pelacuran yang kian menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negeri.

Tidak lama dahulu sebuah stesyen TV pernah membongkar kisah pelacuran yang berleluasa di sekitar Bandaraya Melaka. Sesungguhnya kegiatan jijik tersebut sudah lama berlaku tetapi semacam sengaja di biarkan oleh pihak berkuasa.

Ianya telah berlaku sejak turun temurun. Kawasan-kawasan yang terkenal dengan kegiatan tersebut adalah di Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Bunga Raya serta beberapa kawasan lain. Nama-nama seperti Pokok Kelapa, Ekspres Belakang, Rumah Hijau dan sebagainya menjadi siulan para pencinta perempuan murahan tersebut.

Harga perkhidmatan yang istimewa sehingga ke paras semurah RM30.00 menjadi penggalak kepada berkembangnya industri yang dikatakan antara yang tertua di dunia ini. Lebih malang lagi Stesyen TV itu juga mendedahkan bahawa antara pelanggan pelacur-pelacur murahan ini adalah pelajar-pelajar kolej yang rata-ratanya berketurunan melayu.

Mengapa setelah ianya didedahkan oleh Media sejak kesekian kalinya tempat-tempat begini masih beroperasi seolah-olah ianya mendapat perlindungan istimewa dari pihak tertentu. Ini yang menjadi persoalannya?

Saya menggesa pihak kerajaan negeri menutup premis-premis pelacuran, hiburan dan pusat maksiat ini serta merta bagi mengurang wabak Aids yang dijangka terus meningkat sehingga 300,000 pada tahun 2015 nanti.

Amat malang sekali jika kerajaan negeri Melaka terus mendiamkan diri tidak mahu mengambil tindakan ke atas premis-premis ini yang sah menjadi punca maksiat dan akhirnya menyebabkan Aids merebak dengan meluas.