Abdul Rahim Sabri |
"Politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar (BN) tahun 2004 tidak berulang.
"Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008," coret Husam di blognya Cetusan Hati semalam.
"Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin- pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah."
Tidak jelas maksud "peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita..." sama ada merujuk pemimpin PAS atau pemimpin BN kerana sebelumnya Husam banyak merujuk kes yang melingkari barisan pemimpin utama negara.
Husam bagaimanapun menjelaskan bahawa mereka yang mahukan perubahan tidak harus terperangkap dalam kerenah yang sama.
"Keadaan (BN) nampaknya kritikal. Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas. Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak.
"Kemuncup-kemuncup sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan," tulisnya lagi.
Exco itu juga mengingatkan betapa pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif "parti Asri sekeluarga."
Muncul ketika dua pegawai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan digugurkan, dan desas-desus digantikan dengan mereka yang dekat dengan anggota keluarganya, coretan blog Husam ini menguatkan tanggapan bahawa pentadbiran Kelantan masih lagi bergolak.
Coretan yang penuh berlapik itu bagaimanapun tidak menyebut secara jelas perkembangan politik di negerinya, sekali gus meletakkan orang ramai dalam keadaan terus berteka-teki.
Isu dua pegawai tersebut mendapat perhatian luar biasa kerana diura-urakan berkaitan rapat dengan dakwaan wujudnya pengaruh keluarga Nik Abdul Aziz dalam pentadbiran negeri.
Setelah muncul kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, isu pengaruh keluarga menteri besar rancak diperkatakan.
Nik Amalina juga mengakui wujudnya perbincangan peringkat keluarganya selama beberapa kali berhubung pelantikan Abdul Ariffahmi.
Kemudian perkara ini disahkan oleh Nik Abdul Aziz sendiri dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini awal bulan ini.
Sementara itu, seorang bekas pegawai mantan menteri besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menulis di blognya bahawa Anual Bakhri terpaksa melepaskan jawatan tersebut.
"Anual dalam pesanan mesej ringkasnya (kepada saya) sekadar berkata, 'beliau mengundur diri dalam keadaan yang sukar'," kata Anuar Hashim di Perakite semalam.
Setiausaha akhbar Nik Abdul Aziz, Mohd Saiba Yaakob, yang turut berundur, dipetik berkata beliau difahamkan Anual Bakhri digugurkan susulan pertikaian beberapa pihak kerana dianggap "gagal memberi nasihat politik yang betul kepada menteri besar dalam beberapa isu penting mutakhir ini."
Mengulas isu panas tersebut, kerana dianggap satu lagi tanda pergolakan dalaman PAS negeri, Nik Abdul Aziz hari ini bagaimanapun menafikan dua setiausahanya itu dipecat.
Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS petang ini, lapor Harakahdaily.net, beliau berkata Anual Bakhri sudah lama berniat berbuat demikian.
Pegawainya itu mahu menumpukan kepada bidang penulisan dan syarikat penerbitannya, selain masalah kesihatan anak bongsunya, lapor media rasmi PAS itu lagi.
Nik Abdul Aziz dipetik berkata pengunduran dua pegawainya itu bukan rombakan tetapi "prosedur biasa" pelantikan politik.
Beliau juga menafikan desas-desus Husam, yang hadir di mesyuarat tersebut walaupun diura-urakan tidak mahu menyertainya, meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan