HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Disember 2009

T'ganu laksana program 'rempit sifar'

BERNAMA


Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri Terengganu untuk melaksanakan program 'rempit sifar' dan program 'jinak rempit' tahun depan bagi memastikan gejala sosial yang semakin membarah di kalangan remaja di negeri itu dibendung.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata peruntukan yang besar itu menggambarkan langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan golongan belia di negeri itu tidak berterusan terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah.

"Rempit ini masalah universal... tahun depan kita tambah peruntukan untuk program rempit sifar dan program jinak rempit kepada RM5 juta. Selain program yang akan dilaksanakan ini, kita juga mendapat kerjasama daripada pihak polis dari segi penguatkuasaan undang-undang.

"(Bagaimanapun) kita berpendapat masalah rempit ini boleh selesai dengan adanya kesedaran bersama. Kita melihat kepada program di peringkat awalan, bukan tengok mereka (menunggang) motosikal baru nak ambil tindakan. Kempen juga akan dibuat secara berterusan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Abdul Rahin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung langkah kerajaan negeri menyelesaikan masalah sosial di kalangan belia negeri itu.

Namun menurut Mohd Abdul Wahid, langkah kerajaan menambah peruntukan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia, tidak menyelesaikan masalah sosial yang berlaku.

Abdul Rahin ketika menjawab soalan asal Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mengenai peruntukan kerajaan dalam membangun modal insan belia, berkata kerajaan negeri telah merangka pelbagai aktiviti menerusi rancangan pembangunan belia 2009 -2013 untuk tujuan itu.

"Antaranya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk pembinaan kompleks niaga belia di setiap kawasan parlimen seluruh negeri. Kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman menerusi koperasi belia, mewujudkan kembali belia niaga tani dan ternak dan lain-lain.

"Dalam bajet 2010, Menteri Besar (Datuk Ahmad Said) telah umumkan RM30 juta kepada program pembangunan belia," tambahnya.

Tiada ulasan: