HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Disember 2009

Bekas pensyarah anjur kelas dewasa belajar Jawi




UTUSAN ONLINE

SETIU - Biarpun tidak mendapat sebarang imbuhan, bekas pensyarah, Ayub Ahmad, 57, berasa bangga dapat menabur bakti mengajar tulisan Jawi kepada penduduk kampung khususnya warga emas melalui Kelas Dewasa Kampung Langkap dekat sini sejak enam bulan lalu.

Ayub yang sebelum ini berkhidmat di Institut Aminuddin Baki (IAB), Pahang merupakan satu-satunya tenaga pengajar di kelas dewasa itu yang kini telah menampung lebih 50 pelajar berusia antara 30 tahun hingga 70 tahun.

Mereka yang menyertai kelas secara percuma itu datang dari Kampung Langkap, Kampung Kasar, Kampung Merbau Menyusut dan Kampung Sungai Bari.

Ayub berkata, walaupun menganjurkan kelas itu secara percuma, dia gembira dapat memerah keringat bagi berbakti tanpa memikirkan soal wang ringgit.

''Bagi saya, itu bukan caranya untuk mendapatkan wang sebaliknya saya lebih gembira kerana dapat menabur ilmu agama yang ada pada diri saya secara percuma,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menerusi kelas dewasa itu katanya, golongan berkenaan dapat diajar dan dibimbing dalam bahasa ibunda secara lebih berkesan selain bacaan al-Quran.

''Kita mendapati ramai golongan dewasa serta warga emas tidak dapat menguasai Jawi dengan baik sehingga menyebabkan mereka sukar untuk menulis dan membaca tulisan ini apatah hendak membaca al-Quran.

''Tetapi dengan adanya kelas dewasa seperti ini, saya akan mengajar mereka secara berperingkat seperti menulis, mengeja dan membaca Jawi,'' katanya yang pernah menjadi pensyarah Pengurusan Pendidikan Komuniti di IAB.

Kelas anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Langkap dengan kerjasama Masjid Kampung Langkap itu disertai kira-kira 30 orang ketika ia mula dibuka dan kini lebih 50 orang mengikutinya.

Ayub berkata, semasa kelas itu mula beroperasi, pelajarnya terpaksa menulis di atas lantai kerana ketika itu tiada lagi kemudahan meja.

Menurutnya, walaupun terpaksa belajar dalam kepayahan serta serba kekurangan, mereka tidak berputus asa untuk datang ke kelas itu bagi mempelajari bahasa Arab.

''Sungguh pun begitu, atas usaha para pemimpin JKKK kampung ini, kami mendapat bantuan meja dan kerusi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap, Asha'ari Idris yang akhirnya boleh menampung 60 orang,'' katanya.

Ayub memberitahu, pihaknya juga terpaksa menolak permohonan lain kerana kekurangan kemudahan kerusi serta meja.

Tiada ulasan: