KUANTAN - Akta GSA yang diperkenalkan oleh Felda semenjak tahun 1960 dulu dipercayai menjadi alat kepada kerajaan UMNO BN untuk mengongkong kebebasan para peneroka sebenarnya. Akta itu jelas merupaka satu agenda jahat mereka untuk menjadikan rakyat sebagai "kuli batak" biarpun mereka telah memperolehi geran hak milik tanah masing-masing. Kenyataan itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman (foto), dalam ceramahnya di Felda Sg.Panching Selatan malam tadi. Biarpun kehadiran para peneroka agak kurang memberansangkan, namun ia sudah menjadi lumrah dalam setiap ceramahnya sebelum ini. "Peneroka takut untuk hadir mendengar ceramah saya kerana ditekan oleh pihak pengurusan Felda. Malah, mereka juga risau akan dipantau oleh pegawai dan pengurus Felda jika hadir. Hanya yang berani sahaja akan duduk dengar di depan dan yang kurang berani akan duduk jauh-jauh" katanya. Sementara itu, Mazlan turut menegaskan bahawa Felda kini telah jauh menyeleweng dan tersasar dari matlamatnya. Peneroka terus dibelenggu dan ditipu mungkin sampai bila-bila jika senario ini tidak diubah. "Banyak kes-kes seperti peneroka yang mahu tanam semula tidak melalui Felda, diugut dengan berbagai tindakan oleh pihak Felda. Pengurus dan pegawai dijadikan senjata untuk mereka memeras kudrat peneroka. Hasilnya, ramai peneroka yang memberontak dan cuba untuk melawan. Namun mereka tidak mendapat pembelaan kerana bergerak secara sendirian. Lantaran itulah ANAK ditubuhkan bagi membela nasib dan masa depan mereka" tegas Mazlan.Peneroka katanya perlu bertindah mempertahankan hak mereka, bukan sahaja mengikut telunjuk Felda dengan membabi buta. Banyak tindakan seperti tanaman semula yang dilakukan oleh Felda Techno Plant, jelas sekali menipu peneroka apabila mengenakan caj yang terlalu tinggi daripada kadar harga yang sepatutnya. "Bayangkan, untuk bayaran membaja sahaja Techno Plant mengenakan caj sehingga mencecah RM8,000. Itu belun termasuk caj-caj tersembunyi yang lain lagi" tambahnya. Mazlan turut menegaskan, masalah lain yang perlu diberi perhatian serius ialah masalah generasi kedua Felda yang seolah-olah terus dipinggirkan sekarang ini. "Felda Plantations perlu dimansuhkan dan tanah rancangan terbabit perlu diserahkan semula kepada generasi kedua untuk diusahakan. Jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran negara semua ini akan dilakukan segera. Lebih 70,000 peneroka baru yang terdiri dari kalangan generasi kedua akan mendapata tempat jika ini dilaksanakan" katanya. Disamping itu Mazlan turut menempelak kewujudan Gabungan Persatuan Wanita (GPW) di tanah-tanah rancangan Felda sekarang ini. Menurutnya, GPW banyak memecah belahkan masyarakat dan keluarga peneroka itu sendiri. Mereka melaksanakan agenda kerajaan untuk memaksa para peneroka terus menjadi hamba kepada Felda "Banyak program anjuran GPW lebih banyak membawa kerosakan akhlak sebenarnya, program seperti poco-poco yang mengajak isteri peneroka bergalak, berjoget atas nama riadah jelas sekali terpesong daripada ajaran Islam. Adalah lebih elok isteri peneroka diajar mendekati Al-Quran daripada terkinja-kinja tidak tentu pasal" katanya. Sementara itu beliau turut mengatakan bahawa ANAK akan mendesak Felda supaya memberi ruang jawatan-jawatan utama dalam agensi itu kepada anak-anak peneroka Felda sendiri.
[Ceramah Mazlan Aliman malam tadi turut disertai oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dan dihadiri oleh Ketua PKR Cabang Paya Besar (Tn Hj.Zahari), Timbalan Ketua AMK Pahang (Kamarul Hatta) serta lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat. Diakhir ceramah, Mazlan turut menyatakan akan melancarkan buku terbarunya berkaitan Felda yang lebih panas tahun depan. Beliau turut mempromosikan bukunya "Felda, Dulu Tolong Kini Along" kepada orang ramai. Di Pahang, jika Pakatan Rakyat gagal menembusi kawasan Felda maka harapan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini dilihat agak sukar. Justeru itu, langkah drastik perlu dilakukan bagi menyakinkan masyarakat Felda supaya terjaga dari lamunan dan membuat perubahan dalam pilihanraya umum akan datang. Pastikan Pakatan menang dalam pilihanraya akan datang jika mereka mahu melalui masa depan yang lebih adil dan terjamin].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan