Oleh YENG AI CHUN
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang melantik pengarah undang-undang dan pendakwa bebas bagi mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kewibawaan suruhanjaya berkenaan.
Melalui cadangan seperti yang dibangkitkan oleh Makmal Rasuah di bawah enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) memerangi jenayah itu, pengarah bebas itu berkuasa memutuskan sesuatu kes tanpa merujuk kepada Peguam Negara.
Ketua Pasukan Pembantu makmal, Abdul Samat Kasah berkata, pegawai baru itu akan menentukan sama ada kes-kes tertentu perlu diteruskan ke mahkamah atau tidak.
“Ini bukan usaha mengambil alih kuasa Peguam Negara. Kuasa mutlak untuk mendakwa masih di bawah Peguam Negara dan cadangan ini tidak bertentangan dengan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan akhir masih oleh Peguam Negara. Apa pun jika keputusan wakil SPRM itu diubah, jawatankuasa kerja akan meneliti keputusan Peguam Negara sebelum meminta penjelasan," katanya kepada The Star di sini.
Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Peguam Negara berkuasa memulakan tindakan undang-undang, mengendalikan atau membatalkan mana-mana prosiding dalam mahkamah sivil.
Abdul Samat yang juga Penolong Pesuruhjaya SPRM berkata, wakil bebas itu akan berperanan sebagai pengimbang dalam suruhanjaya berkenaan.
Orang awam akan melihat kita lebih telus serta tiada campurtangan, ujarnya sambil memberitahu bahawa bekas-bekas hakim, peguam kanan atau firma guaman boleh dipertimbangkan mengisi jawatan tersebut.
“Ia jawatan kontrak. Kita tidak akan pilih mereka dari Pejabat Peguam Negara kerana akan dilihat bahawa dia akan dibayangi Peguam Negara dan tidak berani membuat keputusan sendiri,” tambahnya.
Pada masa ini, jawatan pengarah undang-undang dan pendakawaan dilantik di kalangan wakil dari Pejabat Peguam Negara.
Kata Abdul Samat, idea ini sedang diuji keberkesanannya dalam inkues Teoh Beng Hock apabila peguam Tan Hock Chuan dilantik mewakili Pejabat Peguam Negara.
Ditanya, bila kajian itu akan selesai sebelum dilaksanakan, beliau berkata, tiada had masa ditetapkan.
“Kami perlu melihat implikasi perundangan tapi kami berusaha keras untuk melaksanakan cadangan itu," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan