UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Sikap sesetengah ahli Parlimen yang membangkitkan isu mengarut dan tidak matang seperti membawa usul memotong gaji menteri, menjadi punca sidang Dewan Rakyat terpaksa dilanjutkan hingga ke malam.
Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, jika mereka tidak membuang masa dan bercakap benda yang berulang dan yang tidak patut maka waktu asal mesyuarat adalah mencukupi.
Katanya, justeru diharapkan pada masa depan perkara-perkara yang tidak perlu, dapat disekat awal-awal lagi daripada dibawa ke sidang melalui pendirian tegas oleh Speaker.
''Kalau kita perlu pinda peraturan, maka kita pinda. Jangan biarkan isu yang tak patut dibenar dibangkitkan. Macam pembangkang bawa usul potong gaji menteri, dua jam kita bazir masa bahas usul itu.
''Untuk apa, baik saya balik kawasan tolong rakyat yang kena banjir. Lagi bawa faedah. Jadi inilah perkara-perkara yang sebenarnya menyebabkan sidang diheret ke lewat malam. Kalau kita boleh bertegas, saya yakin masa yang diberi cukup,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mencadangkan supaya sidang Dewan Rakyat dihadkan agar tidak berlarutan ke sebelah malam.
Selain bagi mengelakkan 'Peristiwa 14 Disember' yang menyaksikan Bajet 2010 diluluskan dengan majoriti tipis, Rais berkata, apa yang lebih penting ialah kerana penggubal undang-undang juga mempunyai tugas lain selaku anggota Kabinet dan wakil rakyat.
Sementara itu Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran berkata, pihak pembangkang terutamanya dalam hal ini harus bersikap matang dalam berbahas serta mengemukakan usul.
Menurutnya, usul memotong gaji menteri sebanyak RM10 atau RM1 adalah contoh tepat bagaimana masa persidangan dibazirkan begitu sahaja tanpa ada apa-apa tujuan yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan kerajaan.
''Untuk apa? Nak malukan menteri? Pembangkang kena ingat, kerajaan adalah majoriti. Kalau kita kemukakan usul potong elaun anggota pembangkang macam mana? Kalau kita buat, memang lulus usul itu.
''Tapi ini beza antara kerajaan dan pembangkang. Kita tak mahu buat kerja macam itu. Kita bercakap soal yang boleh membawa kebaikan kepada negara bukan nak menghasut atau memburukkan orang lain,'' jelasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, masalah tersebut timbul kerana pembangkang tidak menyelaraskan isu hingga menyebabkan kadang-kadang sampai 20 orang wakil mereka bercakap hal yang sama.
Beliau yang juga Naib Pengerusi BNBBC berkata, sebab itu pembangkang perlu ada Ketua Whip agar dapat memberi tunjuk ajar kepada wakil mereka yang rata-ratanya muka baru supaya tidak bercakap benda yang sama berulang kali.
''Selain itu Menteri sendiri ketika sesi soal jawab lisan hendaklah terus kepada kehendak soalan. Tak payah berjela-jela macam bersyarah. Kalau ada nak buat, kata ya, kalau tiada, jawab saja tak ada. Contohi Britain, sesi soal jawab lisan boleh cecah 40 soalan untuk tempoh sejam.
''Saya juga nak minta ruang pertemuan disediakan agar ahli-ahli Parlimen kalau nak berjumpa orang tak payah keluar dari bangunan Parlimen.
''Insya-Allah kalau ini dapat dilakukan, maka kita tak perlu pun lanjutan waktu sidang. Namun jika ada keperluan sebenar, saya rasa ahli Dewan Rakyat tidak ada masalah, boleh dilanjutkan ke sebelah malam cuma jangan sampai lebih tengah malam,'' ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan