HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2009

Syor guna cukai rokok majukan bola sepak

UTUSAN ONLINE


KEMAMAN - Kementerian Belia dan Sukan akan mencadangkan kepada Kabinet agar sebahagian daripada hasil kutipan cukai rokok disalurkan untuk pembangunan bola sepak.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, hasil kutipan cukai tersebut akan dijadikan dana untuk mengisi Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara.

Beliau berkata, sebelum ini, bola sepak menerima banyak penajaan daripada syarikat rokok namun, kini syarikat berkenaan tidak lagi berbuat demikian selepas pengharaman iklan rokok.

''Sebagai contoh, sebelum ini, bola sepak banyak menerima penajaan daripada Dunhill kira-kira RM30 juta namun kini, sukan itu hanya bergantung kepada penajaan TM Berhad sebanyak RM9 juta.

''Justeru, mungkin kita boleh jadikan hasil kutipan cukai ke atas rokok sebagai dana tabung berkenaan," katanya selepas menghadiri majlis berkhatan beramai-ramai di Balai Raya Kampung Gong Chengal, Kemasik di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini penubuhan tabung berkenaan bagi membiayai program pembangunan sukan itu di peringkat akar umbi.

Ahmad Shabery berkata, cadangan tersebut dikemukakan kerana kerajaan yang pada prinsipnya bersetuju dengan penubuhan tabung itu tidak akan dapat menyediakan dana sehingga RM50 juta bagi tujuan pembangunan sukan tersebut.

''Justeru, tabung berkenaan memerlukan sumbangan daripada pihak swasta dan individu kerana kerajaan hanya akan menyediakan sebahagian daripada dana yang diperlukan sahaja.

''Di negara-negara lain, kerajaan tidak menyediakan langsung dana untuk pembangunan sukan sebaliknya penajaan diperolehi daripada pihak swasta,'' katanya.

Beliau memberitahu, jumlah dana kerajaan yang akan diluluskan untuk tabung pembangunan sukan tersebut akan ditentukan oleh Jabatan Perbendaharaan.

''Proses penubuhan tabung ini masih di peringkat awal dan kita akan menunggu keputusan kerajaan berhubung perkara ini," ujarnya.

Tiada ulasan: