Abdul Rahim Sabri
Kelantan kelihatan sedang menuju pergolakan baru dengan pengguguran dua setiausaha menteri besar, dipercayai diketahui seawal-awalnya hari ini.
Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, yang sebelum ini dianggap anak didik Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mula melancarkan kritikan terselindung berhubung perlunya sesebuah kerajaan, termasuk PAS, memisahkan daripada kepentingan kekeluargaan.
Menulis di blognya Cetusan Hati semalam, Husam bagaimanapun tidak menyebut secara jelas perkembangan politik di negerinya tetapi membangkitkan kritikan orang ramai terhadap dua mantan perdana menteri apabila kedua-duanya dilihat lebih mengutamakan keluarga sendiri.
Beliau juga mengingatkan betap pada penghujung era kepemimpinan Datuk Asri Muda di Kelantan, menjelang kejatuhan negeri itu ke tangan BN, PAS mendapat jolokan negatif "parti Asri sekeluarga."
Sementara itu, setiausaha politik menteri besar Anual Bakhri Haron berkata kedudukan beliau dan Mohd Saiba Yaakob dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Harian PAS jam 3 petang ini.
Dihubungi Malaysiakini pagi, Anual berkata beliau tidak ada apa-apa masalah untuk melepaskan jawatan tersebut kerana "sebelum ini selalu bercakap kemungkinan untuk melepaskan jawatan ini".
"Saya tidak ada apa (masalah), saya sudah berkhidmat 10 tahun," katanya.
Ditanya sama ada pengguguran tersebut disebabkan perkembangan dan pergolakan yang berlaku di Kelantan, Anual berkata: "Saya tidak pergi sejauh itu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan