HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Disember 2009

Kaji semula pemberian methadone untuk rawatan: Hamidah

BERNAMA


IPOH: Kerajaan Pusat disaran mengkaji semula pemberian dadah jenis methadone kepada penagih dadah bagi merawat ketagihan kerana inisiatif Kementerian Kesihatan itu gagal mengurangkan bilangan penagih.

Exco Kanan Perak, Datuk Hamidah Osman, berkata selain itu, program berkenaan turut disalahguna penagih yang mengambil kesempatan.

"Pendekatan yang digunakan berkaitan dadah methadone semakin menggalakkan penyalahgunaan dadah walaupun tujuan sebenar adalah untuk mencegah penagihan dadah," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Penyelaras Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Supt Md Tahir Kasim, berkata polis terpaksa melepaskan semula penagih yang telah ditangkap jika ujian air kencing mereka positif methadone disebabkan Kementerian Kesihatan telah meluluskan penggunaan dadah berkenaan.

Beliau berkata, polis telah menangkap 21,552 penagih dadah di Perak setakat November tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 42.8 peratus berbanding jumlah tangkapan sebanyak 15,090 penagih sepanjang tahun lalu.

Tiada ulasan: