Salhan K Ahmad
Sesetengah kontraktor di Terengganu diakui mendapat projek pembinaan hasil daripada hubungan baik dengan pemimpin Umno di negeri berkenaan, kata seorang pemimpin tempatan.
ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata kontraktor berkenaan bagaimanapun masih perlu melaksanakan projek yang diamanahkan kepada mereka menurut spesifikasi yang ditetapkan, walau dikenali baik dengan pemimpin.
"Kontraktor ini dapat projek kerana mereka ada hubungan baik dengan Umno. Itu tidak ada sesiapa yang boleh nafi. Kalau mereka tidak sokong, mereka tidak dapat projek," kata Nawi, mengulas kritikan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) semalam.
MAMPAT menyelar kontraktor yang didakwa "Orang Kuat Umno" yang menjalankan projek pembangunan di negeri itu dengan kualiti yang rendah sehingga ada yang menyebabkan strukturnya runtuh.
Kritikan ini timbul berikutan kejadian insiden struktur bangunan runtuh yang kerap terjadi di negeri itu tahun ini selepas bumbung stadium, yang baru disiapkan dengan harga RM300 juta, ranap awal Jun lepas.
Projek ini juga termasuk pembinaan terminal pengangkutan awam bernilai RM4.2 juta di Kuala Berang yang terjejas apabila sebahagian bumbungnya runtuh kelmarin.
Mengulas kritikan ini, Nawi berkata kontraktor berkenaan bagaimanapun tidak terlepas daripada tindakan sekiranya mutu kerja yang ditunjukkan itu tidak memuaskan.
"Mereka perlu perlihara hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin kerajaan tetapi pada masa sama mereka juga perlu pastikan kualiti kerja mereka mengikut spesifikasi," katanya lagi.
Jelasnya, pandangan itu bagaimanapun tidak bermaksud kontraktor berkenaan boleh bergantung kepada hubungan baik dengan pemimpin politik semata-mata untuk mendapatkan projek.
"Tidak juga. Mungkin sebelum ini mereka dapat projek kerana ada hubungan baik dengan pemimpin.
"Tapi kalau dia tidak perform (menunjukkan prestasi yang baik), mungkin dia tidak akan dapat projek lagi selepas ini.
Beliau memberi contoh seorang kontraktor di kawasannya juga bakal dikenakan tindakan berikutan kegagalan untuk menyiapkan satu projek pembinaan chalet di kawasan rekreasi Air Panas La di Hulu Besut mengikut spesifikasi ditetapkan.
"Kontraktor ini mungkin disenaraihitamkan oleh Jabatan Kerja Raya," katanya mengulas projek bernilai kira-kira RM3 juta itu yang kini dihentikan dan ditender semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan