Oleh ZAINI RABAN
IPOH - Pemandu bas dua tingkat Sani Ekspres yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara Selatan di sini, mengaku mengantuk dan terlelap sebelum kejadian meragut 10 nyawa itu berlaku awal pagi ini.
Ketua Trafik Daerah Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rejab berkata, pengakuan itu diperoleh selepas polis menyoal siasat pemandu terbabit, Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 38.
"Hasil siasatan polis mendapati, pemandu bas itu telah memandu dari Klang, Selangor pada pukul 9 malam dan kemudian berhenti di hentian rehat dan rawat (R&R) Tapah bagi membolehkan penumpang ke tandas.
"Pemandu juga memberitahu dia mahu berhenti sekali lagi di R&R Sungai Perak dekat Kuala Kangsar untuk menukar pemandu tetapi niat itu tidak kesampaian.
"Dia yang mengantuk terlelap lalu berlaku kemalangan kira-kira pukul 1 pagi ini," katanya di sini hari ini.
Mohd. Rodzi berkata, polis telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret pada pukul 9.45 pagi ini supaya menahan reman Mohd. Kamil bermula hari ini hingga 30 Disember ini.
Jelas beliau, tempoh tahanan reman selama empat hari itu diperoleh bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih lanjut ke atas pemandu terbabit.
Menurut beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
Katanya lagi, jika sabit kesalahan pemandu itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan didenda sehingga RM20,000 serta lesen memandu digantung.
"Polis juga telah menjalankan ujian air kencing ke atas Mohd. Kamil dan mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah atau alkohol semasa memandu.
"Polis meminta mana-mana saksi kejadian supaya datang ke mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan kes kemalangan itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan