SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Seleksi Angsana Sdn Bhd, pengendali portal www.mosques.com.my dijangka melancarkan portal direktori masjid di seluruh dunia menjelang akhir tahun depan.
Pengarahnya, Mahmud Zuhdi Zainuddin berkata, ia bakal memuatkan paparan 101 masjid menarik seluruh dunia bagi menggalakkan pelancongan Muslim.
Menurutnya, syarikat sedang mengumpul bahan bagi penghasilan direktori dan sehingga kini memperoleh bahan dari Singapura, Brunei dan Thailand.
“Direktori ini bukan sekadar memaparkan keindahan masjid sebagai pusat beribadat, malah menjadikannya sebagai tempat harus dilawati pelancong.
“Ia dihasilkan khusus untuk pelancong bukan Islam mengenali masjid pelbagai aspek meliputi landskap, lokasi dan seni bina,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebagai permulaan, Seleksi Angsana memaparkan 5,800 masjid seluruh negara menerusi portal dan masa sama melancarkan buku panduan, Masjid Malaysia.
Mahmud berkata, buku itu dijangka berada di pasaran menjelang tahun depan dan akan dipasarkan di kedai buku utama.
“Saya bermatlamat agar buku ini disediakan di setiap masjid bagi memperoleh dana bagi menerbitkan buku lain mengenai masjid pada masa akan datang.
“Diharapkan juga ia mendapat sambutan sektor awam dan swasta, hotel dan agensi pelancongan,” katanya.
Mengenai rancangan itu, ia membabitkan buku ‘101 Masjid Menarik di Dunia dan ‘Masjid Lama di Malaysia’ sebagai pilihan konsep pelancongan Muslim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan