SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Seorang pelakon lelaki yang juga pengacara popular rancangan hiburan tempatan antara 21 ditahan dalam serbuan di pusat hiburan tanpa lesen di bumbung sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, awal pagi, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 3.15 pagi di bahagian bumbung premis itu, seramai 361 pengunjung didapati sedang berhibur dipercayai meraikan sambutan Hari Krismas.
Pemeriksaan awal ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua pengunjung berkenaan mendapati 15 lelaki serta lima wanita didapati positif dadah.
Bagaimanapun, pelakon berusia 28 tahun turut ditahan kerana enggan menjalani ujian air kencing ketika pemeriksaan dibuat anggota dan pegawai polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.
Selain itu, seorang lagi pengacara juga pelakon wanita baru, berusia 25 tahun dan seorang pelakon lelaki berusia 40-an, turut menjalani ujian awal saringan air kencing, bagaimanapun dibebaskan selepas negatif dadah.
Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur, Superintendan Sharifah Hawariah Syed Idros berkata, dalam serbuan sama, empat lagi pengunjung pusat hiburan terbabit ditahan kerana melakukan dua kesalahan berbeza.
“Dua daripada mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala dua lagi, masing-masing seorang lelaki dan wanita lingkungan 20-an ditahan kerana membuat kecoh serta memaki hamun polis, mendakwa serbuan itu mengganggu mereka berhibur.
“Siasatan awal mendapati premis hiburan tersebut mula beroperasi sejak enam bulan lalu tanpa lesen,” katanya semalam.
Menurutnya, pusat hiburan di tingkat lapan itu menjalankan perniagaan haram itu bermula tengah malam hingga jam 6 pagi setiap hari dan pemiliknya turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Sharifah Hawariah berkata, 21 pengunjung yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan