HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2009

Jumlah Pesakit Diabetes Di Kedah Tinggi

BERNAMA


ALOR SETAR: Kedah adalah antara negeri yang mencatat jumlah tertinggi penghidap diabetes atau kencing manis di mana 13.6 peratus daripada jumlah populasi penduduk Kedah yang melebihi satu juta orang menghidap penyakit itu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Shahidan Hashim berkata, jumlah pesakit diabetes sangat ketara dan membimbangkan kerana ada sesetengah pesakit diabetes tidak mengetahui mereka mempunyai sakit itu.

"Serangan diabetes tidak mengira usia, jika tidak menjaga kesihatan dengan baik, orang muda juga akan diserang penyakit ini," katanya selepas majlis Walkathon Diabetes 2009 peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Dr Shahidan berkata, golongan muda juga perlu ada kesedaran tentang bahaya penyakit ini dan perlu menjaga kesihatan kerana terdapat juga pesakit diabetes yang baru berumur 15 tahun.

"Sebahagian besar pesakit yang perlu memotong kaki, mengalami masalah buah pinggang dan sakit mata yang serius adalah mereka yang menghidap penyakit diabetes," katanya

Menurutnya, salah satu cara pencegahan dan juga cara untuk mengawal sakit tersebut ialah dengan melakukan senaman seperti berjalan dan berbasikal.

"Berjalan adalah senaman terbaik untuk mencegah penyakit diabetes dan jika seseorang itu sudah menghidap sakit ini, jangan berhenti daripada bersenam dan perlu aktif bergerak," kata Dr Shahidan.

Kira-kira 400 peserta mengambil bahagian dalam acara walkathon tersebut sejauh 4.5 kilometer yang dianjurkan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Kedah.

Selepas tamat acara tersebut, semua peserta menjalani pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan kandungan gula dalam darah, kandungan paras lemak dalam badan, Body Mass Index (BMI) dan juga mendapat kaunseling tentangpemakanan.

Tiada ulasan: