HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Disember 2009

Rakyat kita jadi buruh paksa sepanjang tempoh tahanan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Lima nelayan Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Pontianak, Indonesia diarah menjadi buruh paksa membuat kerja berat termasuk mengangkat batu setiap hari untuk membina jalan berhampiran pusat itu.

Ahmad Faizol Sulong, 23, seorang daripada lima nelayan itu berkata, mereka melakukan kerja itu secara bergilir dengan 23 nelayan lain dari Vietnam yang turut ditahan di situ.

“Walaupun terpaksa melakukan kerja buruh, kami dilayan dengan baik dan bebas bergerak serta membeli barang keperluan di kedai tidak jauh dari pusat tahanan, ” katanya antara lima nelayan tempatan termasuk tekong yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bulan lalu kerana dipercayai melepasi sempadan perairan negara berkenaan untuk menangkap ikan.

Ahmad Faizol berkata, mereka juga terpaksa memakai pakaian yang diberikan oleh nelayan dari Vietnam kerana tidak mempunyai pakaian ketika ditahan di pusat itu, malah untuk makan juga mereka berkongsi dengan nelayan Vietnam dan bergilir memasak setiap hari.

“Beberapa hari selepas ditahan di situ, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri datang melawat dan memberi sumbangan ketika datang melawat kami. Kami berterima kasih kepada beliau kerana wang disumbangkannya membolehkan kami membeli keperluan di kedai selama sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam

Mengimbau kembali kejadian beliau dan empat lagi rakannya ditahan pihak berkuasa Indonesia, Ahmad Faizol berkata, mereka terpaksa bersembunyi di bahagian enjin bot ketika pihak berkenaan melepaskan tembakan dan terkejut melihat lengan kiri tekong botnya, Che Wan Budiman Che Wan Ngah, 31, berlubang dan berdarah akibat ditembak.

“Ketika itu kami sedang mengangkat bubu yang dipasang di dalam kawasan perairan Malaysia, iaitu kira-kira tiga batu nautika dari sempadan Indonesia. Tiba-tiba, kami terlihat sebuah kapal ronda negara jiran menuju ke arah bot kami naiki.

“Kemudian, kami lihat lapan anggota pasukan keselamatan Indonesia menaiki bot kami dan membuat pemeriksaan sebelum kami dibawa menaiki kapal ronda negara berkenaan. Ketika itu juga kelihatan dua helikopter dan sebuah jet milik negara jiran berlegar-legar di udara,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Arif Rosli, 20, berkata, ketika kejadian beliau memang takut dan hanya mampu berdoa supaya mereka selamat dan kejadian itu turut menyebabkan beliau trauma untuk turun ke laut lagi, sebaliknya mahu menjadi nelayan pancing selepas ini.

Tiada ulasan: