BERITA HARIAN ONLINE
KANGAR: Gadis yang dijadualkan bertunang dengan seorang daripada 10 mangsa yang maut dalam nahas bas di Plaza Tol Ipoh Selatan kelmarin, sedih tetapi reda apabila majlis yang bakal berlangsung di rumahnya petang semalam, terpaksa dibatalkan.
Rosma Abdullah, 23, bakal tunang Allahyarham Noor Jismi Noordin, berkata beliau dan keluarga membuat persiapan rapi untuk majlis pertunangan yang dirancang selepas solat Asar di rumahnya di Jalan Harumanis, Sungai Batu Pahat, dekat sini.
“Selain menempah kek memaparkan gambar bersama bakal tunang dan menyiapkan kebaya moden untuk dipakai pada majlis pertunangan hari ini (semalam).
“Pagi tadi (semalam), keluarga membawa pulang kek yang ditempah beberapa hari lalu dari kedai di Kangar untuk diserahkan kepada saya. Kami juga sudah membeli cincin tunang di Alor Setar, pada 3 Disember lalu.
“Arwah yang memilih cincin berharga RM280 untuk disarungkan ke jari saya, tetapi kini semuanya tinggal kenangan,” kata Rosma di rumahnya, di sini.
Noor Jismi antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas bas dua tingkat, Sani Express Sdn Bhd yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara, awal pagi kelmarin.
Mangsa baru beberapa bulan bekerja di bahagian percetakan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam, menaiki bas itu untuk pulang ke Perlis bagi melangsungkan majlis pertunangannya.
Rosma berkata, kejadian itu sukar dilupakan kerana kehilangan insan tersayang pada saat akhir melangsungkan majlis pertunangan.
“Saya masih menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar Noor Jismi kepada rakannya pada malam sebelum kemalangan yang mahu kepulangannya ke Perlis dirahsiakan.
“Sebelum itu, arwah berkali-kali menyatakan tidak mahu pulang menyebabkan saya hilang tumpuan tetapi sebenarnya arwah mahu merahsiakan kepulangannya dan bercadang membuat kejutan muncul pada majlis berkenaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan