Orang ramai temui janin terdampar di Sungai Klang
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam sebuah beg plastik yang diletakkan di atas pelantar konkrit berhampiran Sungai Klang di Jalan Jelatik, Datok Keramat di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mayat bayi yang masih mempunyai uri itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 1 petang.
"Bayi perempuan itu dianggarkan antara lapan hingga sembilan sentimeter (sm) panjang dan berkemungkinan baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam.
"Polis tidak menolak kemungkinan sama ada bayi terbabit dibuang di tempat lain dan hanyut kemudian terdampar di situ atau sememangnya ditinggalkan di situ," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Katanya, mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini untuk bedah siasat.
"Ini perbuatan tidak berperikemanusiaan dan kejam kerana membabitkan nyawa seorang bayi tidak berdosa.
"Kita akan tunggu laporan bedah siasat sebelum mengambil tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau turut meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil untuk membantu siasatan.
Akhbar semalam melaporkan penemuan mayat seorang bayi terapung di kawasan rekreasi Lata Renyut, Kuala Balah di Jeli, Kelantan.
Lebih menyedihkan bahagian kepala bayi itu hancur dan ditemui di celah batu kawasan rekreasi terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan