HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2009

Sani Express Boleh Beroperasi Seperti Biasa - LPKP

Oleh AU YEONG HOW


PETALING JAYA: Lesen operasi bas Sani Express yang terlibat di dalam kemalangan maut dekat Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi tadi mengorbankan 10 orang tidak akan digantung buat masa ini.

Sebaliknya, nasib syarikat itu hanya akan ditentukan sehingga Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa inkuiri tentang kemalangan maut selewat-lewatnya bulan depan.

Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohd Sadique berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya menyediakan laporan berhubung kemalangan tersebut untuk dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

Katanya, jawatankuasa inkuiri yang melibatkan pelbagai agensi teknikal itu juga akan menyediakan laporan siasatan masing-masing.

Tambahnya, antara agensi tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Pengangkutan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan penasihat undang-undang.

"Saya akan memanggil mesyuarat jawatankuasa inkuiri secepat mungkin sekembalinya saya daripada bercuti sekarang," katanya kepada mStar Online di sini semalam.

Beliau yang bercuti di luar negara diminta mengulas cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) supaya LPKP menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai.

Menurut Halimah, LPKP akan membuat keputusan bergantung kepada laporan-laporan yang diterima daripada pelbagai agensi teknikal terbabit.

"Terserah kepada laporan akhir jawatan inkuiri kelak, LPKP akan membuat keputusan sama ada menggantung atau mengambil apa-apa tindakan lain terhadap operasi bas Sani Express," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, bas dua tingkat terbabit yang sedang dalam perjalanan ke Kangar dari Klang, Selangor telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan.

Sementara itu Pengarah LPKP Datin Naimah Ramli berkata, pihaknya telah mengarahkan syarikat bas terbabit meningkatkan tahap keselamatan penumpang.

"Mungkin susah sikit untuk meminta syarikat menggantung operasi (bas-bas) mereka berikutan musim cuti pada ketika ini dengan para penumpang telah pun membeli tiket-tiket mereka.

"Bagaimanapun saya telah pun bercakap dengan pemilik syarikat dan mengarahkan beliau supaya meningkatkan tahap keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya," katanya kepada Bernama.

Tiada ulasan: