HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Disember 2009

Rais Umum Peruntukan Dana RM200 Juta Untuk Industri Kreatif

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI


KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mengumumkan jumlah pembiayaan dana industri kreatif sebanyak RM200 juta lanjutan daripada pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober lalu.

Rais berkata, dana tersebut telah diperuntukkan sebagai pemangkin kepada pembangunan aktiviti industri kreatif seperti penerbitan filem, muzik, animasi, dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

"Kita menyedari dana yang diperuntukkan kecil jumlahnya berbanding industri yang lain. Tapi kita gunakanlah dulu apa yang ada.

"Lebih baik ada daripada tiada," katanya ketika sidang media di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa pengumuman mengenai perkara ini dibuat sekarang.

Menurut beliau, pembiayaan pinjaman yang ditawarkan oleh kerajaan bermula daripada RM50 ribu sehingga RM 5 juta mengikut kelayakan pemohon dan memberitahu bahawa pembiayaan dana ini akan berjalan secepat mungkin.

Kadar faedah pembayaran balik juga turut menyenangkan peminjam iaitu dua peratus setahun yang dikira secara bulanan dikenakan kepada peminjam semasa tempoh pernafasan manakala empat peratus dikenakan selepas tamat tempoh pernafasan.

Tambah beliau lagi, tujuan utama pembiayaan ini diadakan adalah bagi menyediakan sebahagian pinjaman bagi pinjaman yang diperlukan untuk sesuatu penerbitan, pembelian aset dan lain-lain aktiviti berkaitan industri kreatif bagi tujuan pengkomersilan.

Rais berharap tidak ada golongan yang akan memandang skeptikal terhadap pengumuman ini dan berharap dana ini dapat dimanfaatkan secara sistematik dan sepenuhnya.

Bank Simpanan Nasional (BSN) telah diberi mandat oleh kerajaan untuk menguruskan dana yang diperuntukkan dengan menyediakan kemudahan pinjaman untuk membiayai keperluan kewangan bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri kreatif.

"Kemudahan pinjaman industri kreatif ini layak dipohon oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan aktiviti kreatif seperti pemilik tunggal, pemilik bersama dan syarikat sdn bhd.

Entiti perniagaan mestilah menguasai sekurang-kurangnya 51 peratus oleh warganegara Malaysia," jelasnya lagi.

Rais juga berkata, permohonan ini terbuka kepada semua penggiat dan tidak memberi keistimewaan kepada pemohon yang berdaftar kepada persatuan seperti Karyawan dan Seniman semata-mata.

"Itu dikira tidak adil. Permohonan kita adalah terbuka kepada semua," katanya lagi.

Menurut Rais, industri kreatif yang layak memohon dana ini termasuk audio visual dan media baru, rekaan, seni dan kraf dan media cetak.

"Dana ini tidak hanya tertumpu kepada industri filem sahaja,semua yang terlibat dalam industri kreatif layak memohon," jelasnya.

Rais juga turut berharap agar penggiat dalam industri mempelbagaikan lagi hasil karya mereka dengan adanya pembiayaan dana tersebut.

Sementara itu, penerbit filem terkenal, David Teo menyifatkan pengumuman kerajaan itu sebagai satu rahmat.

"Saya bersyukur dengan pengumuman itu, sebelum ini satu dan pun tiada. Jadi ini satu perkembangan yang baik, katanya.

David turut gembira kerana dana yang diberikan kerajaan adalah banyak dan berharap semua pihak menggunakannya dengan bijak dan berhemah.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan akan melantik seorang auditor untuk menguruskan dana tersebut supaya pungutan wang yang dibayar peminjam dapat digunakan kembali pada masa hadapan.

Tiada ulasan: