HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Disember 2009

Royalti: Kelantan berhak dapat pembayaran tunai

Yusri Amin


KOTA BHARU : Exco Kelantan, Datuk Husam Musa menjelaskan kerajaan pusat perlu membuat pembayaran tunai kepada mana-mana negeri pengeluar petroleum seperti dipersetujui sewaktu pembentukan akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 (Akta PDA).

Dalam satu kenyataan beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Kewangan dan Kebajikan negeri Kelantan memberitahu, perundingan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan Negeri pengeluar petroleum termasuk Kelantan telah bersetuju dengan pembentukan akta itu dengan syarat-syarat berikut.

Kerajaan negeri pengeluar petroleum bersetuju menyerahkan hak atau kuasa perlombongan termasuk hak ke atas pengeluaran petroleum kekal kepada Kerajaan Persekutuan.

Dengan persetujuan itu juga kerajaan negeri akan diberi ‘pembayaran tunai' dua kali setahun iaitu pada Mac dan September mengikut pengeluaran kasar bagi tiap-tiap satu tahun.

"Atas persetujuan itulah maka negeri-negeri telah menyokong pembentukan Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 (Akta PDA) dan kemudiannya menandatangani satu perjanjian .

"Akta PDA adalah Akta yang paling penting berkaitan isu royalti. Akta inilah mengawal pembentukan Petronas, mengesahkan perjanjian petroleum antara Petronas dan Kerajaan Negeri serta mengesahkan kuasa carigali dan pengeluaran petroleum yang dahulunya dipegang oleh negeri akan diserahkan kepada Petronas dengan timbal balas wajib seperti yang disebutkan di atas," katanya.

Menurut Husam, selepas Akta ini diluluskan, barulah Petronas terbentuk, seterusnya diikuti oleh penandatanganan perjanjian pada tahun 1975, antara Kerajaan Negeri dan Petronas yang mewakili Kerajaan Persekutuan di mana perkara pokok dalam perjanjian itu hanya dua perkara iaitu kuasa dan hak ke atas petroleum yang dimiliki oleh negeri-negeri diserahkan kepada Petronas.

"Yang kedua, sebagai balasan hak itu diserahkan, maka Kerajaan Negeri-Negeri di mana pengeluaran petroleum berlaku, akan dibayar bayaran tunai kepada Kerajaan Negeri.

"Jika sekiranya Kerajaan Negeri dijanjikan bayaran melalui apa yang disebut sebagai 'wang ehsan', maka adakah Kerajaan Negeri-Negeri akan bersetuju menyerahkan hak itu kepada Petronas pada waktu itu? Tidak sekali-kali.

"Jika kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri hanya melibatkan tiga batu nautika dari pantai sesuatu negeri seperti yang disebut oleh Datuk Dr. Awang Adek itu benar, adakah perlu Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 itu diadakan? Adakah perlu hak itu diserahkan oleh Kerajaan Negeri sedangkan telaga minyak kebanyakannya berada di luar garis tiga batu nautika itu? Jawabnya juga tidak perlu," tegas Husam.

Penjelasan Husam itu sebagai respon terhadap kenyataan Timbalan Menteri Kewangan II Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menyokong pemberian wang ehsan disalur kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bukan kepada Kerajaan Negeri.

Inya juga sekaligus menolak dakwaan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang tetep bertegas Kelantan tidak berhak menerima royalti.

Sedangkan kerajaan negeri Kelantan terlibat sewaktu perundingan pembentangan Akta Kemajuan Petroleum dan berhak menerima bayaran tunai dari hasil carigali royalti di perairan negeri itu bukannya wang ehsan.

Dalam perkembangan ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh dilaporkan akan menyertai perhimpunan secara besar-besaran bersama 51 NGO bagi memberi penjelasan tentang isu royalti minyak kepada Kelantan yang akan diadakan di Kota Bharu nanti.

Tengku Razaleigh Hamzah, berkata beliau akan memberi penjelasan mengenai isu terbabit dan tidak akan menyembunyikan fakta mengenai projek cari gali minyak di pesisiran pantai Kelantan dan faedah yang sepatutnya diterima rakyat negeri ini.

Tiada ulasan: